DEMI mengecapi kecemerlangan, iltizam yang tinggi dalam mencapai cita-cita disasarkan amat diperlukan.
Sedekad menceburi bidang kejuruteraan, YFY Engineering Sdn Bhd mampu bersaing sama tinggi dengan syarikat gergasi terkenal pada masa kini.
Siapa sangka sekilas pandang susuk individu berpenampilan sederhana, berbudi pekerti dan merendah diri itu merupakan ahli perniagaan berjaya.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Yunus Faiz menjalankan perusahaan YFY Engineering Sdn Bhd sejak 2014.
Mencungkil pengalaman Yunus Faiz Yahya, 41, sebagai pemilik kepada syarikat kejuruteraan tersebut, pastinya banyak boleh dikongsi buat dorongan mereka yang ingin menceburi bidang sama.
Ujar Yunus Faiz, minatnya terhadap industri kejuruteraan berputik sejak di bangku sekolah sehinggalah melangkah ke alam pekerjaan.
Berlatar belakang pendidikan dalam teknologi kimpalan, graduan Diploma Kejuruteraan (Teknologi Kimpalan), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Bangi, Selangor itu mengambil langkah berani untuk keluar dari zon selesa.
Mula dengan mencari pengalaman sebagai pekerja di beberapa syarikat bertaraf antarabangsa, anak keempat daripada enam beradik itu cenderung mengusahakan perniagaan sendiri.
Minat Yunus Faiz terhadap industri kejuruteraan berputik sejak di bangku sekolah sehinggalah melangkah ke alam pekerjaan.
Kejayaan
Pengalaman diperoleh sepanjang bekerja dengan sebuah syarikat swasta untuk pemasangan sistem komunikasi rel kereta api Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya Line menjadikan dia berani mengubah jalan hidupnya.
“Memilih bisnes bidang kejuruteraan banyak yang perlu diusahakan untuk bersaing dengan syarikat lebih kukuh dan hebat.
“Bagi saya kejujuran dan kualiti kerja adalah perkara harus dititikberatkan demi memastikan syarikat mendapat kepercayaan pelanggan dan pemain industri,” katanya yang menjalankan perusahaan tersebut sejak 2014.
Selain itu, kepakaran menguruskan bidang kejuruteraan juga menjadi elemen utama agar kekal bertahan dalam sektor berat berkenaan.
Yunus Faiz berkata, kualiti kerja adalah antara perkara harus dititikberatkan demi memastikan syarikat mendapat kepercayaan pelanggan.
Projek besar pertama dikendalikan adalah menyediakan kabel Mass Rapid Transit (MRT) Sungai Buloh-Kajang Line (SBK) dimiliki oleh MRT Corporation pada 2016.
Berikutan itu, dari semasa ke semasa syarikat dimiliki anak jati Kuala Lumpur itu diberikan kepercayaan untuk mengendalikan projek lain antaranya pemasangan sistem komunikasi pada SBK Line (MRT).
Sistem komunikasi itu meliputi sistem kamera litar tertutup, fiber optik, radio, pembesar suara dan sebagainya.
“Projek-projek dikendalikan dengan teliti dan banyak yang perlu dipelajari memandangkan sistem komunikasi sentiasa berubah dengan pantas selari peredaran semasa.
“Bukan itu sahaja, kemampuan syarikat memberikan perkhidmatan kejuruteraan juga semakin meningkat apabila mendapat projek yang lebih mencabar.
“Ini termasuklah melaksanakan projek pengendalian konkrit sementara di dasar laut dan pemasangan paip untuk Hyundai Engineering Co LTD di Melaka tahun lalu,” tambahnya.
Definisi berjaya bagi Yunus Faiz apabila projek dijalankan mendapat kepercayaan dan pelanggan tetap.
Pasang kabel
Bukan itu sahaja, perkembangan projek turut meliputi penyelenggaraan serata pemasangan kabel utama di laluan utama lebuh raya utama seluruh negara dan pembinaan bangunan bagi pintu masuk utama (PMU) untuk Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Detik pencapaian dalam perniagaan diusahakan Yunus Faiz tidak datang bergolek kerana dirinya perlu berkorban dari segi masa dan tenaga demi menaikkan syarikat.
Tutur Yunus Faiz, definisi berjaya baginya apabila projek dijalankan mendapat kepercayaan dan pelanggan tetap.
Menutup bicara, dia memberitahu bahawa syarikatnya mula stabil dan selesa setelah lima tahun beroperasi selepas secara perlahan-lahan memiliki gudang dan aset lain.
“Sebagai syarikat kontraktor kejuruteraan, pembelian aset seperti jentera dan mesin berat adalah keutamaan dan memerlukan modal besar.
“Perlahan-lahan syarikat mampu membeli pelbagai aset sendiri termasuk lori, jentera dan gudang untuk kegunaan projek pada masa hadapan,” akhirinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram