Stadium Hoki Nasional jadi pentas 26 konsert tahun depan — Hannah Yeoh


  • Primer
  • Selasa, 05 Nov 2024

Stadium Hoki Nasional, yang sebelum ini hanya tertumpu pada acara hoki, kini tersedia untuk konsert, dengan 26 tempahan untuk tahun hadapan

KONSERT dan acara bukan sukan di venue utama seperti Stadium Nasional Bukit Jalil dan Axiata Arena mencatat kutipan pendapatan lebih tinggi berbanding acara sukan tradisional, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Beliau berkata, trend itu menunjukkan kepentingan untuk mempelbagaikan tawaran acara bagi memaksimumkan penggunaan dan keuntungan fasiliti sukan negara.

Menurutnya, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) selaku agensi yang bertanggungjawab menguruskan venue dalam Bandaraya Sukan Kuala Lumpur (KLSC), telah memastikan penggunaannya secara optimum.

BACA LAGI: Kepala terkena papan anjal, Tze Liang dikejarkan ke hospital beberapa hari sebelum hari jadi

BACA LAGI: [VIDEO] Lesap RM500, peniaga buah di Muar dakwa dipukau lelaki warga asing konon minta ajar tengok RM20

"Sehingga Oktober tahun ini, hasil kutipan sewaan venue telah menjana RM2.147 juta daripada 26 acara sukan yang diadakan di kompleks tersebut.

"Dalam tempoh yang sama, bagi acara bukan sukan seperti konsert mencatatkan hasil sewaan RM8.5 juta melibatkan 54 acara.

"Ini menjadikan jumlah pendapatan sewa venue sehingga Oktober kepada RM10.647 juta, menandakan hasil tertinggi yang pernah dicatatkan oleh KLSC," katanya dalam jawapan kepada Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

WhatsApp Image 2024-11-05 at 16.03.07

Lokasi strategik Axiata Arena menjadikannya pilihan utama bagi penganjuran konsert.

Bagi acara sukan, katanya Stadium Nasional Bukit Jalil, dengan kapasiti 85,000 orang, menjana RM1.197 juta.

“Arena Axiata yang boleh memuatkan 13,000 orang membawa masuk RM875,000.

"Manakala Stadium Hoki Nasional yang berkapasiti 15,000 hingga 20,000 orang mengutip RM75,000," katanya.

Sementara itu ujar Hannah, bagi acara bukan sukan mengikut venue, Stadium Nasional Bukit Jalil menjana RM1.8 juta, manakala Axiata Arena mencatatkan RM6.4 juta.

“Stadium Hoki Negara yang juga pernah digunakan untuk konsert berjaya mengutip RM210,000.

"Ini menunjukkan venue paling popular untuk acara bukan sukan ialah Axiata Arena," katanya.

Minister of Youth and Sports Hannah Yeoh at the launch National  Women Footbal League 2024 at Lalaport BBCC. (27/6/202). —AZHAR MAHFOF/The Star

Hannah Yeoh

Menurut Hannah lagi, lokasi strategik Axiata Arena menjadikannya pilihan utama bagi penganjuran konsert.

Tambah beliau, Malaysia juga mempunyai daya tarikan unik sebagai destinasi konsert.

“Kita mungkin kehilangan Taylor Swift, tetapi kita menarik ramai penghibur lain dari Hong Kong, China, India, Indonesia, artis tempatan dan artis dari Korea, Jepun, Eropah, United Kingdom (UK) serta Amerika Syarikat (AS).

"Landskap budaya yang pelbagai mewujudkan pasaran yang besar untuk konsert di Malaysia," katanya.

Sebagai tindak balas kepada peningkatan permintaan untuk lokasi konsert, Hannah berkata, beberapa inisiatif sedang dijalankan untuk meningkatkan perkhidmatan.

"Stadium Hoki Nasional, yang sebelum ini hanya tertumpu pada acara hoki, kini tersedia untuk konsert, dengan 26 tempahan untuk tahun hadapan," katanya.

Menjawab soalan tambahan Zakri Hassan (PN-Kangar) mengenai kualiti padang, ujar Hannah, dua tapak semaian rumput 3.2 hektar sedang dibangunkan untuk penggantian rumput untuk memastikan pemulihan padang yang cepat selepas acara berlangsung.

"Kementerian telah bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk meneroka penyelesaian rumput hibrid, dan geran pemadanan telah ditawarkan kepada negeri untuk menaik taraf infrastruktur.

"Setakat ini, hanya Kelantan yang menggunakan geran ini untuk menambah baik kemudahannya," katanya. — The Star/ALLISON LAI/RAGANANTHINI VETHASALAM/BENJAMIN LEE

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram