PERAK FC mengumumkan keputusan untuk menandatangani Moses Raj yang merupakan anak jati negeri itu selepas bek tengah berkenaan bersinar sepanjang beraksi dalam skuad belia.
"Alumni SMK Anderson, Ipoh ini memperagakan aksi yang memukau pada musim ini bersama pasukan Perak FC III sehingga dipanggil Juan Torres Garrido, ketua jurulatih pasukan B-19 untuk mewakili skuad kebangsaan," tulisnya.
Bakatnya sebelum ini dikenal pasti selepas dia beraksi dalam saingan Cheetah Cup yang merupakan pertandingan anjuran kelab berkenaan untuk menggilap bakat di negeri tersebut.
BACA LAGI: Sudah muncul juara Liga Korea, Pan-gon kini fokus berdepan JDT di ACL Elite
Moses Raj mempamerkan bakat besar sejak beraksi dalam skuad Piala Presiden. — Facebook/Perak FC
Jadi, selepas tertarik dengan kebolehannya, Perak FC kemudian mengambil keputusan untuk menawarkan kontrak belia baginya sebelum diletakkan dalam skuad Piala Presiden.
Sepanjang beraksi dalam pasukan simpanan itu, Moses Raj diangkat sebagai antara bintang paling menyinar dengan mengekang asakan pihak lawan selain menjadi ancaman ketika situasi 'set piece' buat skuad The Bos Gaurus.
Bakatnya juga terserlah ketika dipanggil ke dalam skuad Bawah 19 Tahun (B-19) kebangsaan apabila dia pernah menjaringkan gol ketika aksi menentang Oman dalam Kelayakan Piala Asia B-20.
Nyholm boleh digilirkan dengan Moses Raj sekiranya diserap dalam skuad utama. — Facebook/Perak FC
Jadi, tidak hairanlah apabila Perak FC tidak menunggu lama untuk menawarkan kontrak jangka masa panjang baginya yang membolehkan bek tengah itu diletakkan dalam skuad utama.
"Perak FC berharap agar lebih ramai lagi bakat muda dapat dilahir dan diketengahkan seperti Moses Raj bagi mewakili pasukan utama Perak FC pada masa depan," tulisnya lagi.
Sekiranya diserap ke dalam skuad utama, Moses boleh memberi saingan kepada beberapa pertahanan tengah pasukan, seperti Jesper Nyholm yang merupakan nadi utama pasukan.
Meskipun pemain kebangsaan Filipina itu sering diturunkan, penggiliran sudah tentu diharapkan pengendali, Yusri Che Lah untuk memastikan anak-anak buahnya terus berada dalam prestasi terbaik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram