Pegawai polis didakwa bunuh pelajar di Ipoh tukar pasukan peguam


Perbicaraan hari pertama kes pegawai kanan polis, Mohd Nazri didakwa membunuh pelajar Tingkatan Lima tahun lalu di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak yang bermula hari Isnin ditangguhkan ke Selasa.

PERBICARAAN hari pertama kes pegawai kanan polis, Mohd Nazri Abdul Razak didakwa membunuh pelajar Tingkatan Lima tahun lalu di Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak yang bermula Isnin ditangguhkan ke Selasa.

Ia adalah susulan selepas peguamnya menarik diri daripada mewakilinya dalam kes itu.

Peguam M Athimulan bersama bekas Ketua Polis Perak yang kini Peguam, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman akan mewakili pegawai berpangkat Deputi Superintenden (DSP) tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Padah tunggang motosikal lawan arus, lelaki hampir hilang nyawa bertembung kereta di Penampang

BACA LAGI: Hasrat ke KL tak kesampaian, remaja maut mulut berbuih terkena renjatan elektrik ketika cas telefon pintar dalam bas di Pulau Pinang

Ketika ditemui di luar mahkamah, Athimulan berkata, beliau tidak mengetahui punca peguam terdahulu dilepaskan.

"Kami telah dilantik, jadi peguam terdahulu telah dilepaskan," katanya.

Beliau berkata terdapat banyak dokumen yang perlu mereka lalui, dengan 30 keterangan saksi, dan dokumen tambahan.

"Kami telah diberikan 30 kenyataan saksi dan sejumlah dokumen serta dokumen tambahan yang mana ia perlu disemak dan diteliti terlebih dahulu.

"Jadi kami minta agar perbicaraan pada hari ini dilapangkan dan ditangguh esok (Selasa)," katanya.

Sementara itu, pihak pendakwa yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz memaklumkan mahkamah bahawa beliau dimaklumkan mengenai pertukaran pasukan pembelaan hari yang sama.

"Saya diberitahu tertuduh telah melantik peguam baharu, dan kumpulan peguam baharu akan memohon penangguhan.

"Pihak pendakwaan tidak ada bantahan terhadap penangguhan itu," ujarnya.

Pada masa sama, Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membenarkan penangguhan itu selepas mahkamah dimaklumkan bahawa tertuduh, Mohd Nazri melantik peguam baharu dan memohon prosiding pada Isnin dilapangkan.

Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz mewakili pihak pendakwaan bersama Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin Hui pada prosiding kes hari ini.

Hadir sama, peguam pemerhati yang dilantik keluarga mangsa, Datuk Wan Azmir Wan Majid.

Sebelum ini, Mohd Nazri diwakili Peguam, Jacky Loi Yap Loong, Lim Chi Chau, Lim Jin Wen, Cindy Wong dan M Kuhan.

2999327

Kenderaan tertuduh yang dipercayai digunakan bagi melanggar mangsa.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie.

Dalam kejadian itu, Muhammad Zaharif, 17 tahun, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, di sini, maut di lokasi kejadian selepas motosikalnya dikejar dan dilanggar dari arah belakang sebuah kereta.

Mohd Nazri didakwa melakukan perbuatan tersebut di Jalan Taman Jati 1, berhampiran SMK Jati, antara jam 12.05 dan 12.40 tengah hari, 15 Disember lalu.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 dan 40 tahun.

Jika tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah juga disebat tidak kurang 12 sebatan. — The Star/ MANJIT KAUR

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram