MAHKAMAH Wilayah Narathiwat pada Isnin membenarkan polis menahan enam rakyat Malaysia yang ditahan dalam serbuan di Golok, Jumaat lalu untuk tempoh sehingga tiga bulan atau 84 hari.
Memetik laporan Berita Harian, jurucakap mahkamah berkata, perintah tahanan tersebut diberikan bagi membolehkan polis meneruskan siasatan kes tersebut.
Tambahnya lagi, keputusan dibuat pada tengah hari ini (Isnin) dengan keenam-enam suspek akan kekal dalam tahanan mahkamah hingga pukul 4 petang (waktu Thailand).
"Mereka akan dihantar ke penjara Narathiwat untuk penahanan lanjut selama hingga 84 hari atau tiga bulan bagi membolehkan polis Thailand menjalankan siasatan ke atas kes tersebut.
"Dalam tempoh 84 hari ini, pegawai penyiasat boleh menyoal siasat keenam-enam suspek setiap 12 hari," kata jurucakap itu.
Tambahnya lagi, keluarga suspek boleh memohon untuk membebaskan mereka dengan jaminan namun jumlahnya akan ditentukan oleh mahkamah.
Di bawah undang-undang Thailand, individu yang didapati memiliki 6,000 pil boleh dikenakan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda sebanyak 200,000 baht (RM25,880). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram