NEGERI Pantai Timur seperti Terengganu dan Kelantan memang sinonim dengan penghasilan seni kraf batik.
Kedua-dua negeri ini terkenal sebagai pusat utama pembuatan batik di Malaysia kerana memiliki ramai pembuat batik yang mahir dalam teknik tradisional seperti batik lukis dan batik blok.
Bagaimanapun, untuk mencipta kelainan, seorang pengusaha batik di Kampung Padang Durian, Pendang, Kedah tampil dengan teknik baharu yang luar biasa, dikenali sebagai teknik cetakan kreatif (ecoprint).
BACA LAGI: Bermula di Simpang Renggam, istana belon 'fans' tegar JDT kini tawan seluruh Johor
Bercerita mengenai teknik ecoprint tersebut, Khairizal Ishak, 36, berkata, kaedah itu menggunakan tumbuhan semula jadi seperti daun, kulit kayu dan akar pokok yang corak dan warnanya lebih mesra alam tanpa menggunakan bahan kimia.
Menurutnya, dia sudah menjalankan penyelidikan menggunakan tumbuhan semula jadi sejak kira-kira empat tahun lalu.
“Teknik ini tidak ramai orang buat kerana prosesnya rumit yang memerlukan masa antara sembilan ke 14 hari untuk menghasilkan lima pasang batik, namun ia ada peminatnya tersendiri,” katanya yang memiliki diploma dalam pembuatan batik.
Teknik ecoprint menggunakan tumbuhan semula jadi seperti daun, kulit kayu dan akar pokok.
Corak dan warna batik semula jadi
Ujar Khairizal, warna dan corak batik terhasil secara semula jadi daripada dedaun pilihan seperti daun jarak, daun lemuni, daun ceri dan daun ketapang yang ditampal pada kain sebelum digulung dan diikat kemas untuk dikukus selama dua jam.
“Daun-daun ini perlu dirawat semalaman untuk diletakkan atas kain bagi mendapatkan corak dan warna batik sekali gus penghasilan batik melalui teknik ini sepenuhnya secara semula jadi tanpa menggunakan sebarang warna yang ada bahan kimia," jelasnya yang turut menghasilkan batik canting.
Khairizal turut berkongsi, antara cabaran pembikinan batik menggunakan teknik tersebut termasuk dari segi mendapatkan bekalan daun berkenaan.
Selain itu katanya, ketelitian adalah antara aspek penting yang perlu dititikberatkan semasa proses pembuatan bagi memperoleh hasil batik terbaik.
Ditanya antara kenangan manis yang dilakar sepanjang karier penghasilkan batik, tutur Khairizal, dia amat berbangga kerana pernah mendapat tempahan daripada Yang di-Pertuan Agong ke-14, Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah; Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Biacaranya lagi, Khairizal memberitahu bahawa dirinya mampu menghasilkan tempahan pelanggan termasuk butik kira-kira 50 pasang batik ecoprint sebulan yang dijual pada harga RM580 sepasang (empat meter), namun selepas tercetusnya pandemik Covid-19 ia merosot kepada kira-kira 20 pasang sebulan.
Usahawan itu berkata, meskipun sektor ekonomi terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada ketika itu, ia sama sekali tidak mematahkan semangat lelaki ini untuk meneruskan perniagaan batiknya, apatah lagi dia juga turut menerima bantuan kerajaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
“Sebelum ini, saya banyak menyertai acara seperti Hari Kraf Kebangsaan untuk mempromosi dan menjual batik, tetapi kini perniagaan saya banyak bergantung kepada jualan dalam talian dan tempahan daripada pelanggan tetap.
"Saya juga merancang untuk mengadakan kelas dalam talian bagi mereka yang ingin belajar teknik menghasilkan batik termasuk kepada individu dari luar negara,” ujarnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram