KISAH jejaka berusia 26 tahun ini pernah tular suatu ketika dulu. Semuanya selepas beliau berkongsi kisah menjual semula hantaran perkahwinan, gara-gara putus tunang pada 2022.
Insiden yang berlaku itu, ternyata menyimpan 1,001 hikmah buat Mirzan. Kisah pahit tersebut secara tidak langsung mencetuskan idea untuk membuka perniagaan menjual semula barangan berjenama terpakai atau lebih dikenali sebagai preloved.
Bermula dengan niat untuk menjual semula barang-barang hantaran yang dibeli, nampaknya usaha itu membuka laluan rezeki lain buat Mirzan.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
@iconluxe.my Cantik giler beg ni. Tak perlu nak explain dah tahu jenama apa sebab ianya sangat iconik. dengan harga jauh lebih murah berbanding di retail, better anda grab cepat takut terlepas sebab kita ada 1 unit sahaja! #Belmar #preloved #original #iconluxe ♬ original sound - iconluxe.my
Selain bertemu jodoh dengan seorang wanita yang juga merupakan pelanggan pertama, pertemuan tersebut merawat luka hatinya.
Hari ini, Mirzan atau nama lengkapnya Muhammad Mirzan Johor, mampu tersenyum bangga melihat syarikatnya Icon Luxe, semakin berkembang dan dikenali ramai termasuk dalam kalangan selebriti terkenal tanah air.
Ikuti temu bual bersama usahawan muda itu mengenai pasaran barangan mewah terpakai yang mendapat permintaan tinggi ketika ini.
Boleh perkenalkan latar belakang anda sebelum menceburi bidang perniagaan preloved?
Saya lahir dalam keluarga yang serba sederhana. Bapa seorang yang sangat berdisiplin dan tegas. Jadi, kami lima beradik dibesarkan untuk berdikari jauh sekali dimanjai.
Saya diberi pendedahan berdikari seawal usia 13 tahun apabila mula bekerja. Pelbagai jenis pekerjaan dilakukan antaranya bekerja di kafe, katering, bengkel, kedai percetakan, perunding insurans dan hartanah.
Muhammad Mirzan (dua dari kanan) kini memiliki bilik pameran sendiri di Lexa Galleria, Wangsa Maju. — Instagram/mirzanjohor
Bagaimana boleh tercetus idea menjalankan perniagaan menjual beg berjenama mewah?
Sebelum Icon Luxe ditubuhkan, saya memiliki perniagaan lain iaitu Icon+ FuzzTrac, mengeluarkan produk pelangsingan badan. Setahun selepas penubuhan syarikat tersebut, saya bertunang dan merancang untuk berkahwin.
Bagaimanapun, menjelang 32 hari sebelum menamatkan zaman bujang, bekas tunang minta putus, sedangkan barang-barang hantaran telah dibeli.
Awalnya, saya tidak merancang untuk menjual semula barangan hantaran tersebut, sehinggalah saya mahu berangkat mengerjakan umrah tahun lalu. Saya sekadar berkongsi cadangan menjual barang-barang hantaran dalam aplikasi X dan tidak sangka ia tular.
Jadi, saya terfikir dengan menjual semula barangan berjenama mewah, sebenarnya lebih mudah dan menarik perhatian ramai.
Saya lihat perkara itu sebagai peluang untuk menceburi bidang baharu iaitu perniagaan menjual barangan berjenama mewah preloved. Dari situlah timbulnya syarikat Icon Luxe yang hanya mengambil masa tiga hari perancangan sebelum ditubuhkan.
Alhamdulillah, sekarang saya sudah pun memiliki bilik pameran sendiri di Lexa Galleria, Wangsa Maju di Kuala Lumpur yang dilengkapi 28 bilik pakaian.
Syarikat Icon Luxe hanya mengambil masa tiga hari perancangan sebelum ditubuhkan. — Instagram/mirzanjohor
Apakah cabaran sewaktu membuka bisnes Icon Luxe?
Keyakinan pelanggan agak sukar apabila kita baru sahaja bertatih. Itulah cabaran perlu dihadapi, lebih-lebih lagi pada usia saya yang dianggap muda.
Sejujurnya, saya sendiri pada mulanya tiada pengetahuan tentang barangan berjenama mewah. Namun, Alhamdulillah, berkat kesabaran dan usaha menimba ilmu, Icon Luxe semakin dipercayai.
Beg Indy Bamboo yang dijual dengan harga RM3,990. — Instagram/iconluxe.hq
Berapa produk atau jenama ditawarkan di bawah Icon Luxe?
Saya fokus barangan preloved berjenama dengan nilai tinggi. Antaranya Louis Vuitton, Dior, Prada, Chanel, Gucci dan Fendi.
Fokus kami untuk barangan terpakai sahaja. Menariknya, Icon Luxe turut menawarkan pelan bayaran ansuran selama 36 bulan kepada pelanggan.
Adakah harga ditawarkan untuk barangan berjenama mewah ini, jauh lebih murah walaupun berstatus barangan asli?
Sudah tentu. Bagaimanapun, saya akan pastikan kualiti dan keadaan barangan yang dijual masih dalam keadaan baik seperti baharu demi kepuasan dan kepercayaan pelanggan.
Beg Kelly II Sellier Mini yang dijual dengan harga RM129,000. — Instagram/iconluxe.hq
Bagaimanakah anda melihat permintaan semasa pembeli terhadap jenama-jenama mewah yang dijual, pada saat ada segelintir pembeli mula memboikot terhadap beberapa jenama mewah atas isu Palestin?
Sejujurnya, isu ini sangat sensitif untuk disentuh, lebih-lebih lagi jika dibicarakan secara agresif tentang jenama yang secara terang-terangan terlibat dengan konflik antara Palestin dan Israel.
Namun, apa yang saya lakukan adalah memfokuskan jualan produk yang tidak lagi ada apa-apa talian dengan pihak tertentu.
Pembayaran dibuat melibatkan pemilik asal, penjual dan pembeli sahaja. Tiada istilah memberi sumbangan kepada ‘pihak sana’.
Saya akui kesannya tetap terasa akibat konflik yang berlaku menyentuh sensitiviti masyarakat di negara ini.
Icon Luxe memberi fokus pada barangan preloved berjenama dengan nilai tinggi antaranya Louis Vuitton, Gucci dan Fendi. — Instagram/mirzanjohor
Nasihat anda kepada pembeli agar mereka tidak terpedaya membeli barangan dikatakan asli, tetapi sebaliknya?
Isu penipuan barangan tiruan membabitkan produk berjenama memang kerap berlaku dan sukar dielakkan. Secara asas, paling utama pembeli kena tahu dari segi harga. Kalau harga yang dijual tidak masuk akal dan terlalu murah, maka kena berhati-hati kerana besar kemungkinan produk itu adalah tiruan.
Harga barangan preloved tidak terlalu jauh dengan harga asal. Skil tambahan yang boleh digunakan adalah, kenal pasti spesifikasi logo produk sama ada asli atau palsu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram