MEMILIKI lebih 40 tahun pengalaman dalam bidang kraf tidak menghalang Latifa Husna Mat Lajis untuk terus mengikuti trend dan teknik terkini menerusi tontonan tutorial video di laman sosial.
Artis bunga kertas dan juga penulis buku ini juga aktif dalam menyertai beberapa kumpulan komuniti kraf di Facebook dan juga Pinterest.
Melihatkan kemahiran artistik penggiat kraf dari negara seperti Vietnam, Thailand dan Romania, Latifa Husna mengakui dirinya sering berasa rendah diri.
"Mereka sanggup berkongsi tip dan trik untuk membantu penggiat kraf lain memperbaiki kemahiran kami," katanya.
Wanita yang menjengah usia 50-an itu merupakan penulis Kraf Bunga Daripada Beg Plastik (2011) dan Variasi Seni Kraf Tisu (2015).
Latifa Husna memiliki lebih 40 tahun pengalaman dalam bidang kraf bunga kertas.
Ibu kepada seorang cahaya mata ini turut memberi galakan agar orang ramai menceburi bidang kraf bunga kertas disebabkan ia merupakan salah satu perniagaan yang menguntungkan.
"Gunting, kertas warna dan pistol gam adalah barangan utama yang diperlukan dalam kraf bunga kertas dan ia tidaklah mahal.
"Selain itu, terdapat permintaan tinggi untuk bunga kertas yang sering digunakan sebagai pengisi dalam jambangan coklat, kek hari jadi, hiasan untuk sesi fotografi dan pelamin atau latar belakang perkahwinan," ujarnya.
Bekas guru itu juga pernah melancarkan perniagaan kraf bunga dari rumahnya pada 2006, selain telah mengendalikan ratusan majlis perkahwinan dengan penghasilan bunga kertasnya.
Lebih menarik, karya wanita itu juga pernah muncul dalam iklan di televisyen.
Pada 2020, Latifa Husna mencatatkan pencapaian terbesar apabila bunga ros kertas hasil tangannya dipaparkan dalam muzik video penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi lagu berjudul Terang.
Bunga ros kertas hasil tangannya dipaparkan dalam muzik video Siti Nurhaliza menerusi lagu berjudul Terang.
Di Instagram, selain karya artistiknya, dia juga sering berkongsi foto dan tutorial video mengenai kraf susunan bunga ros kertas, orkid dan peony menggunakan bunga segar.
Sepanjang tahun, Latifa Husna giat hadir ke beberapa bengkel kraf bunga oleh Institut Seni Malaysia dan kursus reka bentuk dalaman di Pusat Reka Bentuk Lanjutan di Kuala Lumpur.
Walaupun media sosial digunakan sebagai platform utama untuk memperoleh idea, dia masih juga menjadikan koleksi buku oleh penggiat kraf Jepun, Yoshiko Hase dan Megumi Hase sebagai inspirasi tambahan.
Kraf bunga beg plastik
Latifa Husna meminati bidang gubahan bunga sejak menuntut di universiti lagi dan menyertai pertandingan gubahan bunga yang dianjurkan oleh badan siswi sempena Hari Siswi.
Bermula dari situ, tercetus ilham untuk dirinya mencipta gubahan bunga daripada bahan-bahan terbuang.
Anak kelahiran Melaka ini juga tertarik dengan beg plastik kerana keceriaan warnanya di samping teksturnya yang lembut dan memikat.
Wanita ini banyak belajar menggubah melalui pemerhatian dan kajian bagi menghasilkan gubahan yang ada nilai kesenian khususnya dari segi konsep, komposisi warna, gaya dan persembahan meskipun material yang digunakan adalah bahan-bahan terbuang.
Sejak kecil hasilkan cenderahati
Cinta Latifa terhadap bunga dan kraf sebenarnya bermula sedari kecil.
Sejak zaman kanak-kanak, dia sering membantu saudara-maranya menghasilkan cenderahati untuk perkahwinan Melayu seperti bunga telur dan bunga manggar.
Siapa sangka, aktiviti penyediaan barang-barang tradisional ini akan menimbulkan minatnya dalam seni pembuatan kraf.
Latifa Husna sering berkongsi foto kraf bunga ros kertas, orkid dan peony menggunakan bunga segar di laman sosialnya.
“Pada 1970-an dan 1980-an, bunga manggar dan bunga telur dibuat secara manual. Masing-masing penduduk kampung sentiasa bersemangat dan bergabung tenaga untuk membantu dalam acara komuniti seperti perkahwinan serta perayaan.
“Zaman sekarang, aktiviti dan perjumpaan seperti itu semakin berkurangan kerana barang-barang perkahwinan seperti ini mudah didapati di kedai dan dalam talian,” ujarnya yang juga mencipta bunga menggunakan kertas tisu dan beg plastik.
Bagi Latifa Husna, membuat bunga kertas merupakan antara kaedah untuk melegakan tekanan sekali gus membantunya untuk kekal tenang.
“Kraf bunga memerlukan kesabaran dan mata yang teliti terhadap perincian. Ia juga boleh menjadi satu terapeutik.
"Setiap kejayaan dalam menyiapkan sesuatu projek membantu meningkatkan keyakinan bahawa saya boleh mencapai lebih banyak lagi.
“Saya berharap orang yang kehilangan pekerjaan akan mencuba kemahiran baharu seterusnya mengubahnya menjadi satu bentuk perniagaan. Yang paling penting, jangan berputus asa, walaupun anda gagal pada percubaan pertama,” bicaranya. — The Star/SHEELA CHANDRAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram