PENUBUHAN Pasukan Gerakan Am (PGA), yang dahulu dikenali sebagai Pasukan Polis Hutan (PPH), membawa legasi kecekalan dan keberanian dalam mempertahankan negara daripada ancaman komunis dan musuh luar.
Salah seorang bekas anggotanya, Sarjan Mejar (B) Damin Hadis, menggambarkan pengalaman beliau sewaktu bertugas lebih 40 tahun lalu penuh dengan 1001 cerita dan cabaran yang tersendiri.
Menurut pesara berusia 79 tahun itu, senjata api yang dipegangnya tidak pernah lekang, menjadi teman setia yang melambangkan tahap kesiapsiagaan tinggi pasukan tersebut.
Baginya, senapang tidak hanya alat pertahanan, tetapi juga ibarat bantal peluk yang memberi ketenangan ketika tidur, menekankan betapa pentingnya peranan PGA dalam menjaga keselamatan negara.
Beliau berkata, terlalu banyak peristiwa hitam dan tragis disaksikannya sepanjang bersama PPH bermula 1968 ketika ditugaskan dalam Platun 9 Kompeni C Batalion 1, Ulu Kinta, Perak yang digelar ‘Tiger Platoon’ serta digeruni komunis dan Platun 2 Batalion 8 Kem Simpang Renggam, Kluang, Johor.
Damin merupakan salah seorang penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) 2018.
Bercerita lanjut, penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) 2018 itu berkata, PPH ketika itu banyak ditugaskan di Thailand atas persefahaman dua negara bagi menggempur komunis termasuk kem mereka sama ada di kawasan perkampungan atau hutan.
Ceritanya, pertempuran hampir dua jam antara pasukannya dengan 50 komunis di kebun getah Kampung Ban Na Lee, selatan Thailand pada 1975 antara peristiwa segar dalam ingatan sehingga kini.
"Pertempuran dengan komunis itu telah mengorbankan rakan saya Yasin yang bertugas sebagai pengintip dan Komander Platun Inspektor Yusof.
"ketika itu, saya dan rakan sepasukan yang lain diarahkan untuk membersihkan jalan bagi memastikan laluan konvoi selamat serta tiada musuh bagi tugasan keesokannya yang melibatkan rondaan 20 kekuatan anggota menggunakan dua kenderaan perisai dipanggil ‘pirate’ dan sembilan pacuan empat roda Land Rover.
"Dalam perjalanan hujan panas turun, saya terus teringat petua orang tua dahulu, apabila hujan panas akan ada orang mati atau peristiwa berdarah berlaku dan semasa platun melalui jalan kampung kira-kira pukul 2.30 petang, tiba-tiba kami diserang hujan peluru kerana komunis melakukan serang hendap.
"Yasin terkena tembakan di kepala, seorang lagi rakan nyaris terkena sebelum Inspektor Yusof mara ke depan melindunginya sambil menjerit "jangan encik, jangan encik” namun, komunis dari atas bukit menembak pegawai itu sehingga badannya hancur,” kata Damin.
Damin (Dua kiri) bersama rakan-rakannya ketika bertugas di Selatan Thailand.
Menurut Damin, meskipun beliau tidak mengalami sebarang kecederaan dalam serang hendap itu, peristiwa berkenaan turut menyebabkan tujuh anggota PPH cedera parah, manakala 10 komunis dibunuh dan 21 cedera parah, "katanya.
Bercerita lanjut Damin berkata, serangan komunis tidak terhenti di situ kerana ketika rakan-rakannya yang cedera sedang mendapat rawatan di sebuah hospital di Bentong, Pahang, beliau menerima maklumat risikan bahawa komunis mahu menyerang hospital dan membunuh anggota PPH, namun dengan pantas kawalan ketat bersenjata dilancarkan tetapi tiada serangan komunis berlaku.
Tidak lama selepas kejadian itu berlaku, beliau minta meminta untuk ditukarkan ke cawangan lain memandangkan telah berumah tangga pada 1974 dan tinggal berjauhan dengan isteri Zainab Mohamed, 71, sebelum berpindah ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, Johor pada 1976 dengan melaksanakan tugas-tugas am.
Beliau yang telah berkhidmat selama 35 tahun sejak 1965 dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga antaranya pernah bertugas di pelbagai cawangan dan Unit Kawalan Kawasan (UKK), selain menjadi penolong Ketua Balai Polis Permas dan bertugas di Cawangan Kebajikan sebelum bersara pada 2000.
Damin yang turut menerima Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Ketiga pada 1998 berkata, selain peristiwa serang hendap itu, beliau juga pernah bertugas membuat rondaan keselamatan semasa Rusuhan Anti-Johnson 1966 dan Rusuhan Krisis Mata Wang 1967 sebelum menyertai PPH.
Menutup bicara, Damin turut menasihati generasi muda terutama yang bertugas dalam badan beruniform agar sentiasa berwaspada dan jangan sesekali membenarkan ideologi komunis wujud atau tumbuh di negara ini.
Perjalanan kisah Damin telah dibukukan yang berjudul ‘Menjunjung Kedaulatan Berpasak Keamanan: Biografi SM (B) Hj Damin Bin Hadis’ yang diterbitkan pada 20 Februari 2020. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram