Saksi rakan terkorban depan mata, bekas staf JKR trauma diserang komunis ketika bina laluan Gerik-Jeli


  • 112
  • Rabu, 16 Okt 2024

Anwar Ibrahim (kiri) menyampaikan menyampaikan cenderamata kenangan kepada Mohamad Sarif (kanan) bekas pekerja yang terkesan akibat serangan komunis.

TIDAK ramai yang tahu bahawa di setiap keselesaan yang dinikmati pengguna Lebuhraya Timur-Barat (LRTB) hari ini, tersimpan satu sejarah berdarah yang mencerminkan perjuangan dan pengorbanan besar wira negara.

Laluan strategik yang menghubungkan Gerik, Perak dengan Jeli, Kelantan tersebut bukan sahaja sebuah projek pembangunan infrastruktur yang penting, malah ia menjadi saksi kepada salah satu pertempuran getir negara dengan gerakan komunis pada era 1970-an.

Di sebalik setiap batu yang dipasang dan setiap inci tanah yang digali, darah dan keringat mereka yang berjuang untuk mempertahankan negara telah tumpah sekali gus menjadikan pembinaan lebuh raya itu jauh lebih bermakna daripada sekadar projek infrastruktur.

BACA LAGI : [VIDEO] Kecil-kecil sudah resap semangat tentera, anak jati Johor Bahru jadi watak penting BlackParade Tactics

BACA LAGI : Nyawa di hujung tanduk, Dr Mohd Khir Rezza imbau semula pengalaman rawat tentera parah akibat letupan

_MG_5433

Sebuah Tugu Peringatan JRTB telah dibina bagi mengenangkan jasa mereka yang telah terkorban sepanjang pembinaan LRTB.

Dalam tempoh pembinaannya yang mengambil masa 12 tahun, banyak nyawa terkorban dan ancaman keselamatan sentiasa membayangi mereka yang terlibat, menjadikan LRTB lebih daripada sekadar lebuh raya biasa.

Untuk rekod, dianggarkan 3,000 anggota keselamatan seperti polis dan tentera dilibatkan untuk menjaga keselamatan pekerja pembinaan laluan tersebut pada ketika itu.

Bagi bekas pekerja pembinaan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) (FT004), Mohamad Sarif Long yang terlibat dalam peristiwa serangan komunis pada 1974, menyifatkan tragedi berdarah itu tidak akan terpadam dalam ingatanya.

Mengimbau kembali peristiwa tersebut, warga emas berusia 77 tahun itu, dia menangis apabila teringat rakan sekerjanya yang terkorban.

Dalam kejadian itu, tiga rakannya yang hanya dikenali Husin, Ali dan Ismail maut ditembak komunis.

Bercerita lanjut, Mohamad Sarif berkata ketika kejadian, dia bersama lima rakan sedang melakukan kerja-kerja pembinaan di jalan itu sebelum diserang pengganas komunis dari arah bukit.

Menurut bapa kepada enam anak itu, beliau terselamat kerana sempat bersembunyi di bawah lori Jabatan Kerja Raya (JKR) selama kira-kira dua jam sebelum bantuan daripada askar tiba.

"Lori yang kami naiki berada di tengah jalan dan tembak-menembak berlaku antara pengganas komunis di atas bukit dengan pasukan tentera di bawah gaung.

"Selepas serangan tamat, saya lihat banyak darah dan paling menyedihkan apabila rakan pemandu iaitu Ismail, serta Ali yang hendak bercuti dan Husin yang hendak bertunang maut terkena tembakan. Saya dan dua rakan sahaja yang terselamat dalam kejadian itu," katanya.

448961951_3657165794542369_5752350576916951497_n

Untuk rekod, dianggarkan 3,000 anggota keselamatan seperti polis dan tentera dilibatkan untuk menjaga keselamatan pekerja pembinaan laluan tersebut pada ketika itu.— Facebook/Orang Perak

Mohamad Sarif yang berasal dari Johor, berkata selepas kejadian itu beliau dirawat di Hospital Gerik dan hingga kini masih trauma kerana sering dibayangi keadaan rakan-rakan yang meninggal dunia serta dirinya sendiri yang nyaris terkorban ketika insiden itu.

Pada 21 Mei 1974, serangan pengganas komunis telah memusnahkan puluhan unit jentera berat, manakala serangan pada 27 Ogos tahun yang sama menyebabkan tiga pekerja JKR terbunuh semasa bekerja membina laluan itu.

Ratusan anggota daripada unit keselamatan turut gugur antara 1968 hingga 1989 semasa pembinaan jalan raya itu, yang dianggap sebagai 'Lebuhraya Pertahanan' kerana pembinaannya sebagai antara strategi melumpuhkan pergerakan pengganas komunis pada era pascakemerdekaan Tanah Melayu.

JRTB akhirnya berjaya dibuka kepada orang awam pada Julai 1982 selepas melalui pelbagai cabaran dan ancaman oleh komunis selama hampir 12 tahun dan bagi mengenang peristiwa serta pengorbanan mereka yang terlibat dalam pembinaan laluan itu, sebuah Tugu Peringatan JRTB telah dibina.

Pengorbanan Mohamad Sarif dan rakan-rakannya yang lain turut menerima pengiktirafan daripada kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan cenderamata kenangan kepada 37 bekas pekerja pembinaan laluan itu yang hadir termasuk Mohamad Sarif dan meluluskan pemberian saguhati RM1,000 kepada 87 keluarga bekas pekerja yang terkesan akibat serangan komunis.

Menurut Mohamad Sarif, pemberian saguhati itu merupakan kali pertama diterimanya daripada kerajaan selepas hampir lima dekad kejadian serangan komunis tersebut yang menyebabkan tiga pekerja pembinaan JRTB terkorban. — The Star/ ILI AQILAH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram