WALAUPUN hampir 10 tahun sudah berlalu, namun peristiwa sebuah helikopter Ecureui Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terhempas di Kampung Rambai Lama Gobek, Tanah Merah, Kelantan ketika misi menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir pada masih segar lagi dalam ingatan Superintendan Hasli Hassan.
Peristiwa yang berlaku pada 2014 itu meninggalkan kesan mendalam kepada Hasli, yang merupakan kru helikopter berkenaan.
"Masa itu, keadaan sangat mencabar. Kami terbang dalam cuaca yang tak menentu, dan tiba-tiba angin lintang kuat melanda. Helikopter hilang kawalan dan terhempas," katanya kepada Majoriti.
Mengenang detik-detik cemas tersebut, ketika kejadian beliau dan tiga lagi rakan setugas yang lain berada pada ketinggian kira-kira 300 kaki (91.44 meter) sebelum terhempas.
"Kejadian itu berlaku terlalu cepat dalam sekelip mata sahaja, sebelum saya tidak sedarkan diri, saya hanya terbayang wajah keluarga tersayang.
"Angin lintang yang kuat serta keadaan cuaca yang tidak menentu menyebabkan helikopter hilang kawalan dan terhempas.
"Alhamdulillah, saya dan rakan-rakan selamat, walaupun kami mengalami kecederaan," cerita Hasli yang kini berusia 46 tahun.
Superintendan Hasli Hassan
Menurut beliau yang bertugas di Pasukan Gerakan Udara Subang yang berpangkalan di Subang Selangor, trauma daripada kejadian itu masih kekal hingga kini, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkhidmat.
"Walaupun saya mengalami kesan fizikal seperti kebas dan lenguh jika duduk terlalu lama, saya tetap komited dengan tugas saya.
"Bagi saya, kepuasan terbesar adalah dapat membantu orang ramai, terutama dalam situasi kecemasan," ujarnya.
Namun di sebalik tragedi tersebut, anak jati Kok Lanas, Kelantan itu juga mempunyai kisahnya yang tersendiri dalam menyertai pasukan Sang Saka Biru.
Anak kelahiran Kok Lanas, Kelantan itu mendedahkan tidak pernah bercita-cita untuk menjadi seorang polis dan beliau membuat pilihan untuk menyertai pasukan keselamatan berkenaan datang atas faktor kekangan ekonomi dan peluang kerjaya.
"Dulu saya belajar dalam jurusan perakaunan di sebuah universiti tempatan dan lebih berminat menjadi guru.
"Namun, selepas tamat pengajian, saya menerima tawaran menyertai polis sebab sukar mendapatkan pekerjaan pada masa itu.
"Tambahan pula saya anak sulung dari sembilan adik-beradik dan ibu bapa saya pula hanya petani. Pada ketika itu, sekiranya saya melanjutkan pelajaran untuk menjadi seorang pendidik sudah tentu memerlukan kos yang besar," kata beliau.
Pada tahun 2001, selepas tamat diploma pada usia 22 tahun, Hasli memulakan latihan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.
Tanpa minat mendalam dalam bidang kepolisan, beliau tidak pernah menyedari kewujudan Unit Udara dalam PDRM sehinggalah ketika hampir tamat latihan.
"Sebenarnya, saya masuk polis sebab kerja itu ada gaji tetap. Saya tak pernah terfikir akan jadi untuk menjadi salah seorang kru dalam unit udara pada ketika itu," jelas beliau.
Namun, takdir telah membawa Hasli ke arah yang tidak dijangkakannya. Beliau terpilih untuk menjalani latihan sebagai juruterbang helikopter di Ipoh selama dua tahun, yang kemudian mencorak kariernya sebagai salah seorang anggota penting dalam Unit Udara PDRM.
Kini, Hasli masih aktif sebagai juruterbang helikopter dalam unit udara PDRM dan merancang untuk meneruskan minatnya dalam bidang perniagaan selepas bersara.
"Minat saya dalam berniaga sudah lama ada, sejak di bangku sekolah lagi. Mungkin selepas bersara nanti, saya akan fokus pada bidang tersebut," kata beliau mengakhiri perbualan.
Dengan lebih dua dekad pengalaman dalam PDRM, Hasli tetap komited untuk menjalankan tanggungjawabnya, walaupun risiko yang dihadapi adalah tinggi.
Dedikasinya menjadi inspirasi kepada anggota muda dan orang awam yang menghargai sumbangannya dalam menjaga keselamatan negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram