POLIS menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan berhubung kes kematian anak mereka berumur empat tahun pada 15 Oktober lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendent Nixon Joshua Ali, kedua-dua suspek berusia 34 dan 28 tahun itu ditahan di rumah mereka di Sg. Setiam, Bintulu pada Khamis.
“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
BACA LAGI: Pemandu Bezza maut kereta berpusing, 2 lagi parah nahas 4 kenderaan di Bandar Penawar
Menurut Nixon, pihaknya menerima laporan berhubung kematian kanak-kanak terbabit pada 15 Oktober lalu, kira-kira pukul 7.50 malam di Hospital Bintulu.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati terdapat kesan kecederaan di bahagian kepala dan pinggang mangsa dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut untuk tampil dan menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan, Mohamad Hashim Kasman di talian 01115377837 atau bilik Gerakan IPD Bintulu di talian 086-318304.
Sementara itu, seorang pengguna TikTok, bella1992_shop mendakwa suspek wanita yang juga ibu tiri mangsa pernah berkongsi satu video memaparkan kanak-kanak malang itu berada dalam kesakitan.
Dakwa wanita yang hanya dikenali sebagai Enabella Bella, suspek memaklumkan mangsa yang juga anak tirinya, Stanley Robin Anak Roland mengalami kecederaan akibat dihempap sebuah kipas selepas terjatuh dari atas almari dan hanya mampu terbaring kesakitan.
Enabella Bella turut mendakwa budak lelaki malang itu juga sering didera dan diabaikan oleh kedua-dua orang tuanya.
"Dia (mangsa) terjatuh dari almari atas sebelum dihempap kipas," katanya sambil menunjukkan ke arah almari tempat mangsa terjatuh.
Melalui video berdurasi kurang seminit itu juga, kelihatan mangsa terbaring di suatu ruang di memanggil ayahnya.
Tambah Enabella Bella, kanak-kanak malang itu juga sering didera dan diabaikan oleh kedua-dua orang tuanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram