[VIDEO] Tak larat bersembunyi sebab lapar, lelaki tetak jiran di Keningau akhirnya dicekup lepas sebulan larikan diri


  • 112
  • Jumaat, 18 Okt 2024

Pada 20 September lalu, mangsa Mohd Yusof Peyong maut akibat ditetak suspek kerana suspek cemburu mangsa bertindak membantu isterinya semasa pasangan tersebut bertengkar.

LELAKI yang menetak jirannya hingga maut di Kampung Linkudau dekat Keningau, Sabah pada 19 September lalu, ditahan pada Rabu selepas dipercayai keluar dari lokasi persembunyiannya kerana lapar.

Suspek warga Filipina berusia 43 tahun ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau, di kawasan semak berhampiran kilang terbiar di Kampung Kauran, kira-kira pukul 9 malam.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Garai berkata, bertindak atas maklumat awam, pasukan polis ke lokasi untuk mengesan suspek di dalam kawasan perumahan di kampung berkenaan, kira-kira pukul 5 petang.

BACA LAGI: [VIDEO] Niat murni leraikan pergaduhan jiran punca lelaki maut kena tetak depan anak, suspek masih bebas di Keningau

BACA LAGI: Murid darjah satu maut, motor ditunggang abang umur 10 tahun dilanggar van di Baling

Katanya, suspek yang dikesan bersembunyi di lokasi berkenaan cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis.

“Suspek yang bersembunyi di kawasan semak di kilang itu ditahan tanpa pergelutan mahupun kecederaan terhadap suspek dan seterusnya dibawa ke IPD Keningau bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, suspek mengaku menikam mangsa 58 tahun pada 19 September lalu kerana berang dengan mangsa yang bertindak membantu isterinya membuat laporan polis.

“Suspek terus melarikan diri ke hutan di Jalan Tenom dan baru keluar pada 15 Oktober lalu kerana kelaparan,’ ujarnya.

Jelasnya, suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 20 September lalu, Majoriti melaporkan seorang lelaki maut akibat ditetak selepas cuba membantu jirannya, pasangan suami isteri yang bertengkar dalam kejadian di Lingkudau, Taman Juta, Keningau.

Pemangku Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superitendan Alizam Dalaman berkata, mangsa berusia 58 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat pendarahan teruk pada tangan kira-kira pukul 9.40 malam.

Alizam berkata, kejadian itu dikatakan berpunca daripada perasaan cemburu suspek kerana mangsa bertindak membantu isterinya semasa pasangan tersebut bertengkar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram