Dua dekad cipta beribu-ribu kolam seluruh Malaysia, hasil tangan master kolam tempatan pikat hati masyarakat Singapura, Australia


  • Bizz
  • Rabu, 30 Okt 2024

Ruben berkata, mencipta kolam tidak begitu sukar, sebaliknya memerlukan kemahiran dan kesabaran.

MENJELANG sambutan Deepavali, Ruben Prakash, 38, sibuk dengan pelbagai aktiviti.

Sebagai seorang artis kolam di Kuala Lumpur, sejak beberapa minggu lalu, dia menghabiskan banyak masa untuk menghiasi rumah-rumah penganut Hindu dan pusat beli-belah dengan kolam yang meriah.

Sehingga Oktober ini, dia berjaya menyiapkan kira-kira 50 kolam yang ditempah khas dan masih mempunyai 50 lagi untuk diselesaikan sebelum Deepavali, iaitu pada 31 Oktober.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

Artist who does kolam decorations for Diwali. For Lifestyle –KAMARUL ARIFFIN/TheStar

Ruben menyasarkan untuk menyiapkan kolam seluas empat kaki persegi.

"Pada hari Deepavali, saya akan mula menghias kolam di rumah pelanggan mulai pukul 6 pagi.

"Saya biasanya menyasarkan untuk menyiapkan kolam seluas empat kaki persegi (0.37 meter persegi) dalam masa kira-kira 15 hingga 30 minit.

“Walaupun perlu bekerja keras, melihat reka bentuk berwarna-warni yang menghidupkan rumah untuk perayaan ini sudah cukup menggembirakan saya," katanya sambil menyiapkan kolam terakhirnya di Kuil Sri Muthu Mariamman di Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Kolam, atau rangoli, adalah bentuk seni tradisional India, dengan penghasilan corak rumit dilukis di atas tanah, biasanya di pintu masuk rumah.

Dibuat menggunakan tepung beras, bijirin beras dan semolina dengan serbuk berwarna atau pewarna makanan, kolam dicipta untuk menyambut tetamu dan dewa, melambangkan kemakmuran, keharmonian dan tenaga positif.

Artist who does kolam decorations for Diwali. For Lifestyle –KAMARUL ARIFFIN/TheStar

Sejak dua dekad lalu, dia mencipta beribu-ribu karya seni kolam di seluruh Malaysia.

Ujar Ruben, sudah menjadi tradisi keluarga untuk menghiasi anjung rumah semasa perayaan keagamaan seperti Navaratri dan Deepavali.

“Semasa Deepavali atau pesta cahaya, kolam berfungsi sebagai jemputan, mengalu-alukan tetamu ke rumah kami, terutamanya Dewi Lakshmi, dewi kekayaan dan kemakmuran Hindu,” jelasnya yang sudah hampir 20 tahun menjadi artis kolam.

Corak kolam Ruben berakar umbi dalam budaya India dan termasuk teratai, burung merak, alat muzik tradisional India seperti tabla dan veena serta tarian klasik seperti kathak dan bharatanatyam.

Dia juga telah meniru corak sari yang rumit dalam kolamnya, yang mempamerkan kekayaan warisan India.

Kolam terbesarnya berukuran 73.1 meter di Pintu Masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 di Sepang, Selangor.

Lifestyle cover photo of Mr Ruben's and team finishing kolam at The Gardens Mall on October 06.-AZMAN GHANI/The Star

Ruben juga menghabiskan banyak masa untuk menghiasi pusat beli-belah dengan kolam yang meriah.

Sentuhan artistik Ruben

Minat Ruben terhadap kolam bermula semasa berada di Pure Life Society (PLS), sebuah rumah untuk kanak-kanak kurang bernasib baik di Jalan Puchong, Kuala Lumpur.

“Ketika berumur 15 tahun, seorang artis dari India melawat pusat kami dan mengajar corak asas kolam, termasuk proses mencampurkan warna dan mencipta corak.

"Pengalaman tersebut membangkitkan minat saya terhadap karya seni ini,” ujar Ruben, yang tinggal di PLS bermula dari umur sembilan hingga 25 tahun.

Dalam dua dekad yang lalu, dia mencipta beribu-ribu karya seni kolam di seluruh Malaysia, selain turut mengembangkan bakatnya di Singapura, Australia dan Indonesia.

Selain kolam untuk Deepavali, Ruben juga menghasilkannya untuk rumah terbuka, sambutan kemerdekaan dan majlis perkahwinan.

Dia percaya bahawa mencipta kolam tidak begitu sukar, sebaliknya memerlukan kemahiran dan kesabaran.

Lifestyle cover photo of Mr Ruben's and team finishing kolam at The Gardens Mall on October 06.-AZMAN GHANI/The Star

Kolam dicipta untuk menyambut tetamu dan dewa, melambangkan kemakmuran, keharmonian dan tenaga positif.

Di bengkelnya di Bandar Metro Puchong, Ruben mempunyai lebih 50 guni berisi beras merangkumi warna kuning, merah jambu, jingga, ungu, hijau dan biru.

Setiap guni mempunyai berat kira-kira 50 kilogram (kg), dengan warna dicampurkan dengan teliti menggunakan pewarna gred makanan.

Ruben menjelaskan, penting untuk mencampurkan warna dan memastikan ia kering dengan betul.

“Setiap warna dalam reka bentuk kolam memerlukan warna yang teliti. Warna dicampurkan untuk mencipta variasi warna yang terang.

"Pada hari yang panas, ia mengambil masa sejam sahaja untuk bijian beras berwarna kering, tetapi semasa musim hujan, ia boleh mengambil masa sehingga sehari.

"Jika bijirin tidak kering dengan betul, ia boleh membentuk kulat atau kulapuk, menimbulkan bau yang tidak menyenangkan,” kata Ruben, yang mula merancang corak kolamnya pada Julai lalu.

Beberapa minggu selepas projeknya dipamerkan, dia mengumpul beras, mencuci dan mendermakannya kepada pusat perlindungan haiwan di Sepang dan Ulu Kelang, Selangor.

“Sesetengah orang berpendapat menggunakan beras untuk kolam adalah membazir, tetapi kami akan pastikan ia tidak membazir.

“Beras diwarnai dengan pewarna makanan, menjadikannya selamat untuk haiwan. Kami menggunakan semula beras untuk tujuan yang baik,” bicaranya yang turut aktif berkongsi hasil ciptaan di Instagramnya. — The Star/SHEELA CHANDRAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram