WIRA negara yang merupakan bekas Superintendan Polis, Datuk Paul Kiong menegaskan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat bukan Melayu tidak seharusnya diragui kerana mereka juga telah memberi sumbangan kepada negara bahkan sebelum Malaysia (ketika itu Tanah Melayu) mencapai kemerdekaan.
Beliau berkata, ramai masyarakat bukan Melayu telah berkhidmat dalam pasukan polis dan tentera.
"Malah, ada dalam kalangan mereka yang cedera atau terkorban dalam pertempuran melawan ancaman musuh yang dihadapi negara sebelum dan selepas kemerdekaan.
BACA LAGI : Nyawa di hujung tanduk, Dr Mohd Khir Rezza imbau semula pengalaman rawat tentera parah akibat letupan
BACA LAGI : 'Menyerahlah yob', pengganas Al-Maunah minta izin mandi dulu sebelum serah diri
Paul Kiong mengakui terkilan setiap kali kesetiaan dan semangat patriotisme masyarakat bukan Melayu dipersoalkan, terutama oleh individu tidak bertanggungjawab yang hanya ingin meraih keuntungan politik untuk diri sendiri.
"Sangat menyakitkan hati apabila mendengar serta melihat komen jelik yang menyindir, terutama apabila seseorang itu telah berkorban atau mempertaruhkan nyawanya untuk mempertahankan negara.
"Pengganas komunis yang saya tangkap dan bunuh semuanya orang Cina. Tidak pernah ada sebarang keraguan untuk membunuh mereka hanya kerana bangsa mereka. Tidak sekali. Keutamaan saya adalah kesejahteraan negara, dan kesetiaan saya hanya untuk tanah air.
"Jika saya diminta untuk mengangkat senjata dan berkhidmat untuk negara lagi, saya tidak akan melakukannya dengan cara yang berbeza," katanya kepada The Star.
Bekas Superintendan Polis, Datuk Paul Kiong
Paul Kiong berkata, rakyat Malaysia harus menghargai dan bersyukur atas keamanan dan keharmonian yang dinikmati.
"Jangan kita lupa apa yang telah kita lalui untuk sampai ke tahap ini dan mereka juga telah menyumbang kepada keamanan negara.
"Kepada generasi muda, ingatlah bahawa semangat patriotisme anda harus sentiasa berada di tahap tertinggi.
"Anda hanya akan merasa demikian jika anda mengenali diri anda dan sesama sendiri sebagai rakyat Malaysia, bukan berdasarkan etnik," tambahnya.
Mengimbau kembali detik di mana beliau mempertaruhkan nyawanya untuk keselamatan negara, Paul Kiong berkata, beliau tidak sedikit pun tidak menyesal melakukannya (mempertahankan negara) walaupun terlepas peluang membesarkan keluarganya.
"Suatu ketika, apabila saya pulang ke rumah selepas bertugas lama di dalam hutan, anak saya yang ketika itu masih kecil langsung tidak mengenali saya.
"Terdapat banyak kali saya hampir maut semasa menjalankan risikan dan tembak-menembak dengan musuh, tetapi ia berbaloi. Kami menyerang musuh dengan hebat dan kami menang," katanya.
Paul Kiong berkongsi gambar kenangan membuat laporan risikan mengenai kegiatan komunis di pejabat medan sementara Cawangan Khas polis.
Atas pengorbanan dan keberaniannya yang luar biasa, Paul Kiong menerima anugerah tertinggi negara, Darjah Kebesaran Seri Pahlawan Gagah Perkasa, juga dikenali sebagai Grand Knight of Valour, pada tahun 1983.
Pada tahun 1988, keberaniannya sekali lagi mendapat pengiktirafan apabila beliau menerima anugerah tertinggi Perak iaitu Pingat Keberanian Handal (PKH) kerana menumpaskan enam anggota komunis di negeri itu.
Lapan tahun kemudian, beliau menerima Pingat Pahlawan Pasukan Polis (Anugerah Keberanian Polis) daripada pasukan polis dan pada tahun 2011, beliau dianugerahkan gelaran Datuk dengan anugerah Panglima Mahkota Wilayah.
Menutup bicara, Paul Kiong turut menyeru kerajaan untuk meneliti lebih mendalam tentang kebajikan para veteran polis dan tentera untuk memastikan kebajikan mereka tidak diabaikan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram