[VIDEO] Semangat tentera namun berjiwa atlet, perjalanan luar biasa Saddam Pittli sebagai anak jati Teluk Intan


  • 112
  • Jumaat, 11 Okt 2024

Saddam Pittli (Memegang Jalur Gemilang) bukan sahaja seorang anggota tentera tetapi juga seorang atlet elit yang telah menempa namanya tersendiri dalam pelbagai kejohanan dalam dan luar negara.

SEKILAS pandang, tiada siapa menyangka bahawa di sebalik seragam tenteranya, Mohd Saddam Mohd Pittli menyimpan kisah kegemilangan tersendiri di arena sukan antarabangsa.

Pada usia 33 tahun, beliau yang lebih dikenali dengan nama Saddam Mohd Pittli bukan sahaja seorang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang setia berkhidmat kepada negara, tetapi juga seorang atlet elit yang telah menempa namanya tersendiri dalam pelbagai kejohanan larian berhalangan hingga ke pentas dunia.

Dari seorang koperal yang berkhidmat untuk nusa dam bangsa, Saddam Pittli telah membuktikan bahawa semangat juang seorang anggota ATM tidak hanya terhad di medan pertempuran, tetapi turut bersinar di trek sukan tempuh berhalangan.

BACA LAGI: Nyawa di hujung tanduk, Dr Mohd Khir Rezza imbau semula pengalaman rawat tentera parah akibat letupan

BACA LAGI: 'Tirai hitam' Kemboja, kesan darah 'melekat' 5 dekad jadi saksi betapa peritnya hidup bawah rejim Khmer Rouge

Saddam Pittli pernah dinobatkan individu paling gagah Asia Tenggara pada 2018.

Saddam Pittli pernah dinobatkan individu paling gagah Asia Tenggara pada 2018. — KIX HD

Bapa kepada tiga anak itu berkata, beliau yang pada ketika itu yang berumur 18 tahun mula berminat untuk menyertai ATM selepas rakan kepada ayahnya mencadangkan agar beliau menyertai tentera berdasarkan kebolehannya dalam sukan larian.

"Saya memang minat bersukan sejak dari kecil lagi, selepas mendapat keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (SPM), kawan ayah cadangkan saya masuk tentera sebab ATM pun ada unit sukan dan atlet mereka sendiri.

"Pada 2009, selepas menamatkan latihan ketenteraan, saya menyertai pasukan 22 Rejimen Medan Bertindak (RMB) di Sandakan, Sabah dan dari situ, bermulalah episod saya sebagai seorang anggota unit beruniform," katanya kepada Majoriti.

Menurut Saddam sepanjang perkhidmatannya, beliau berhadapan dengan pelbagai cabaran, termasuk latihan fizikal yang intensif.

"Antara cabaran terbesar yang pernah saya lalui adalah ketika saya terpaksa berjauhan dengan keluarga ketika ayah saya bertarung dengan nyawanya diri sendiri.

"Pada ketika itu, ayah sakit kanser dan ditempatkan di unit rawatan rapi di hospital tetapi saya teruskan juga ikut operasi demi tugas.

"Alhamdulillah, sepanjang tiga bulan saya mengikut operasi keadaan ayah semakin baik," ujarnya.

Saddam Pittli mendedikasikan setiap kemenangannya kepada keluarga cinta.

Bercakap mengenai kariernya sebagai seorang atlet sukan ekstrem, anak jati Teluk Intan, Perak itu berkata, sukan berhalangan mempunyai cabaran yang tersendiri kerana ia bukan seperti sukan larian yang dipertandingkan dalam temasya olahraga yang biasa.

Saddam Pittli menjelaskan untuk sukan tersebut perlu mempunyai kekuatan fizikal maksimum untuk merentasi pelbagai halangan seperti mengangkat beban dan meredah selut.

Antara pencapaian terbaiknya apabila berjaya menghadiahkan pingat perak dan gangsa pada Sukan Sea 2019 kepada negara.

Bukan itu sahaja, beliau juga dinobatkan sebagai penerima Lambang Emas Atlet ATM 2020 dan penerima Anugerah Khidmat Cemerlang Tentera Darat 2020.

Malah, Saddam Pittli pernah dinobatkan sebagai ‘Individu Paling Gagah Asia Tenggara’ yang menundukkan 21 finalis lain dari Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam dalam pertarungan hebat R U Tough Enough? Asia Tenggara pada 2018.

"Sejujurnya, untuk sampai ke tahap ini bukanlah mudah memerlukan banyak pengorbanan dari segi wang dan masa.

"Untuk menyertai beberapa pertandingan dalam setahun, sekurang-kurangnya saya kena membelanjakan lebih daripada RM10,000 ke atas. Kos-kos ini termasuk yuran pertandingan, tempat tinggal dan sebagainya.

"Tetapi, meskipun menghadapi kekangan kewangan, ia tidak membuatkan saya patah semangat. Walaupun, kebanyakan perbelanjaan untuk penyertaan perlumbaan ditanggung sendiri, saya bersyukur kerana ada rakan baik sudi membantu dalam tajaan persendirian," ujarnya.

Mengulas mengenai diet pemakanan untuk mengekalkan tenaga dan untuk mendapatkan badan yang tegap serta sasa, Saddam menjelaskan beliau tidak mempunyai spesifik diet sebaliknya hanya menjaga makan.

"Sebenarnya disiplin yang penting, boleh sahaja makan apa yang kita nak tetapi berpada-pada.

"Tetapi saya ada satu tabiat, sebelum bertanding saya suka makan durian. Durian ini macam 'booster' bagi saya sebelum bertanding," katanya dalam nada bergurau.

Saddam Pittli ketika menerima anugerah Anugerah Lambang Emas dari Majlis Sukan Angkatan Tentera (MSAT) pada 2018.

Menutup bicara, Saddam Pittli berhasrat untuk membuka sebuah akademi sukan berhalangan suatu hari nanti.

Katanya, sukan berhalangan tersebut perlu dikembangkan lagi memandangkan pendedahan terhadap sukan itu masih kurang.

Beliau juga meluahkan rasa bangga kerana anak sulungnya, Syahid Al Zahran turut mengikuti jejak langkahnya meminati sukan itu.

Walaupun baru berumur lapan tahun, namun Syahid telah memenangi beberapa pertandingan antaranya Kejohanan Spartan Kids di Johor, Malaysia dan Jakarta, Indonesia tahun ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram