Nyawa di hujung tanduk, Dr Mohd Khir Rezza imbau semula pengalaman rawat tentera parah akibat letupan


  • 112
  • Jumaat, 04 Okt 2024

Bagi Dr Mohd Khir Rezza, berkhidmat di perubatan ketenteraan memerlukan keupayaan untuk bertindak dalam keadaan lebih mencabar.

BEKAS pegawai perubatan tentera, Dr Mohd Khir Rezza Rahimi, 38, mendedikasikan lebih sedekad kehidupannya dalam bidang perubatan tentera.

Menceburi dunia perubatan atas minat mendalam, ditambah dorongan kuat daripada keluarga juga menjadi antara faktor bapa kepada tiga cahaya itu meneruskan perjuangannya di Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Berkongsi cerita, Dr Mohd Khir Rezza berkata, beliau memulakan perkhidmatan dalam pasukan tentera itu pada 10 Oktober 2011 dan bersara pada 9 Jun 2023.

BACA LAGI : 'Tirai hitam' Kemboja, kesan darah 'melekat' 5 dekad jadi saksi betapa peritnya hidup bawah rejim Khmer Rouge

BACA LAGI : Wira tanpa suara: Anjing perang dan pengorbanan di sebalik misi menentang komunis

WhatsApp Image 2024-10-03 at 11.43.54

Dr Mohd Khir Rezza bertanggungjawab dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan warga tentera.

Berbekalkan tawaran biasiswa daripada ATM, beliau melanjutkan pengajian dalam bidang Sarjana Muda Perubatan di Moscow, Rusia yang membuka peluang luar biasa untuknya dalam sektor perubatan tentera.

Sepanjang kerjaya, anak kelahiran Kuala Lumpur itu bertanggungjawab dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan warga tentera serta keluarga mereka, terutamanya dalam mempersiapkan diri menghadapi pelbagai cabaran ketika bertugas.

"Tugas ini memerlukan keupayaan untuk bertindak dalam keadaan mencabar, berbeza dengan perubatan awam yang lebih teratur dan dilengkapi dengan sumber yang lebih baik," katanya kepada Majoriti.

Ketika ditanya antara cabaran sepanjang berkhidmat di ATM, Dr Mohd Khir Rezza menjelaskan, antara ujian terbesar yang dihadapinya termasuk merawat kecederaan akibat letupan dan kemalangan ketika latihan penerjunan.

WhatsApp Image 2024-10-03 at 11.43.55

Dr Mohd Khir Rezza pernah menerima tawaran biasiswa daripada ATM.

Setiap situasi, ujarnya, menuntut kecekapan dan ketenangan untuk merawat mangsa di bawah tekanan serta dalam keadaan yang serba kekurangan.

"Cabaran terbesar adalah membuat keputusan yang pantas dalam keadaan cemas melibatkan nyawa berada di hujung tanduk.

"Keadaan ini memerlukan tumpuan penuh dan keberanian untuk bertindak dengan segera," tambahnya.

Menurut Dr Mohd Khir Rezza lagi, latihan intensif yang dilalui selama bertahun-tahun membantu dirinya untuk kekal fokus dan membuat keputusan yang rasional dalam situasi genting.

Selain persediaan fizikal melalui latihan kecergasan konsisten, beliau juga melengkapkan dirinya dengan latihan simulasi untuk menguji kemampuan bertindak dalam keadaan kritikal.

WhatsApp Image 2024-10-03 at 11.43.54 (1)

Dr Mohd Khir Rezza memulakan perkhidmatan dalam ATM pada 10 Oktober 2011 dan bersara pada 9 Jun 2023.

"Pertolongan cemas adalah keutamaan dalam ketenteraan kerana ia boleh menentukan peluang hidup seseorang sebelum rawatan lanjut diberikan.

"Keupayaan memberi rawatan awal dengan cepat adalah kritikal dalam situasi medan perang yang rata-ratanya terjadi akibat pendarahan atau trauma," ujarnya lagi.

Bercerita lanjut mengenai penjagaan kesihatan mental, Dr Mohd Khir Rezza yang kini berkhidmat di sebuah pusat perubatan swasta berkata, beliau menekankan kepentingan rawatan bagi Gangguan Tekanan Selepas Trauma (PTSD) melalui pendekatan holistik.

Jelasnya, ia termasuk terapi kaunseling dan sokongan rakan sepasukan, yang amat penting dalam mengurangkan kesan jangka panjang terhadap individu.

Penjagaan kesihatan anggota tentera, katanya, lebih intensif dan menyeluruh berbanding perubatan awam kerana mereka sering terdedah dengan kecederaan yang lebih serius.

"Dalam perubatan tentera, inovasi dan keberanian diperlukan kerana kita sering bekerja dengan kemudahan yang terhad," tambah beliau.

WhatsApp Image 2024-10-03 at 11.43.56

Beliau mendedikasikan lebih sedekad kehidupannya dalam bidang perubatan tentera.

Kongsinya lagi, antara pengalaman paling sukar dilupakan sepanjang perkhidmatan termasuk ketika melaksanakan latihan penerjunan bersama pasukan 10 Briged (PARA).

Maklum Dr Mohd Khir Rezza, latihan tersebut bukan sahaja mencabar dari segi fizikal dan mental, tetapi juga mengukuhkan rasa bangga beliau sebagai sebahagian daripada pasukan yang sentiasa bersedia menghadapi apa jua keadaan.

"Latihan ketenteraan mengajar saya untuk bertindak dengan pantas dan tepat.

"Keyakinan ini kekal bersama saya walaupun selepas meninggalkan perkhidmatan di ATM," katanya sebelum menutup cerita. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram