'Menyerahlah yob', pengganas Al-Maunah minta izin mandi dulu sebelum serah diri


  • 112
  • Khamis, 12 Sep 2024

Mengimbau semula detik berunding dengan pemimpin kumpulan Al-Maunah, Abdul Razak lebih banyak menggunakan pendekatan daripada aspek keagamaan. — Facebook/PDRM

BIARPUN sudah lebih dua dekad berlaku, namun tidak pernah terpadam sedetik pun dalam ingatan masyarakat peristiwa pertempuran antara pasukan keselamatan negara dan sekumpulan individu yang menggelarkan diri mereka Al-Maunah di Bukit Jenalik, Sauk di Perak.

Malah kisah tersebut seolah-olah kembali menggamit memori pahit masyarakat selepas serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor dilakukan anggota kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) pada Mei lalu sehingga mengorbankan dua anggota polis manakala seorang anggota mengalami kecederaan parah.

Kedua-duanya mempunyai unsur yang sama iaitu melibatkan ajaran bersifat ekstremis sehingga mencetuskan kegusaran awam.

BACA LAGI : Hanya tulang 'terbaring' di tilam, rangka warga emas ditemui dipercayai meninggal dunia 4 tahun lalu

BACA LAGI : Francis Chai 'Crocodile Hunter' tanpa senapang, sentiasa hormati 'Bujang Senang'

Orang Perak

16 anggota Al-Maunah yang berjaya ditahan ketika operasi 'Ops Subuh' di Bukit Jenalik, Sauk di Perak pada 2000. — Facebook/Orang Perak

Mengimbau kembali tragedi hitam yang berlaku di Bukit Jenalik pada 2000, Majoriti mewawancara individu penting dalam menangani ancaman kumpulan Al-Maunah, Datuk Abdul Razak Mohd. Yusoff.

Tanpa berselindung, bekas Timbalan Ketua Polis Pahang itu mengakui sedikit gementar dalam operasi pada 6 Julai 2000 itu.

"Gementar bukan kerana takut tetapi saya tidak mahu pertumpahan darah berlaku. Bayangkan pada ketika itu ahli keluarga pengikut Al-Maunah pun ada di bawah bukit meminta mereka menyerah.

"Kalau boleh kita nak operasi itu berakhir dengan aman tetapi pada masa sama saya harus memastikan anggota saya yang lain dalam keadaan selamat.

"Sepanjang operasi, pasukan keselamatan berjaya menangkap beberapa anggota Al-Maunah yang cuba melarikan diri untuk menyerah diri.

"Pada waktu itu juga ramai lagi ahli kumpulan itu ingin menyerah diri, tetapi takut ditembak oleh pasukan keselamatan atau rakan mereka sendiri kerana dianggap pengkhianat," katanya.

2086791

Abdul Razak menamatkan perkhidmatannya dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas lebih 36 tahun berkhidmat dalam pasukan itu.

Mengimbau semula detik berunding dengan pemimpin kumpulan ekstremis bersenjata yang menceroboh kem Rejimen Askar Wataniah di Gerik, bapa kepada lima orang anak itu berkata, dia lebih banyak menggunakan pendekatan daripada aspek keagamaan.

Keadaan menjadi tegang apabila Ketua nombor dua Al-Maunah, Zahit Muslim, menghampiri anak sungai untuk mengambil wuduk.

Namun, Abdul Razak pada ketika itu yang sedang membidik senjata ke arahnya, memutuskan untuk tidak melepaskan tembakan dan berdoa agar Zahit menyerah diri.

Berikut adalah perbualan sebenar antara Abdul Razak yang ketika itu merupakan anggota unit polis elit pasukan Komando VAT69 (VAT69) dan Zahit menggunakan loghat Perak.

Abdul Razak : Menyerahlah yob...Menyerahlah yob.

Zahit : Assalamualaikum!... jangan tembak teman, teman mujahiddin!”

Abdul Razak : Waalaikumsalam, takkan teman nak tembak, kita sesama orang Islam, tapi menyerahlah!.

Zahit : Memang teman nak menyerah, tapi bagi teman mandi dulu...panas!.

Susulan daripada situasi itu, beberapa ahli kumpulan tersebut turun bersama Zahit menyerahkan diri.

Abdul Razak 2

Abdul Razak (di hadapan) berkhidmat bersama VAT69 selama 20 tahun. — Facebook/Abdul Razak Yusoff

Namun begitu, krisis berkenaan tidak berakhir dengan mudah apabila Ketua kumpulan Al-Maunah, Mohd Amin Mohd Razali, yang pada mulanya bersetuju untuk menyerah diri selepas menunaikan solat, tetapi tiba-tiba mengubah fikiran.

Ketegangan memuncak apabila Amin dan pengikutnya melaungkan bahawa mereka lebih rela mati syahid daripada menyerah dalam keadaan yang memalukan.

"Sepanjang rundingan, Mohd Amin enggan bertentang mata dengan saya dan banyak kali mendakwa dirinya lebih alim berkaitan hal ehwal agama.

"Mohd Amin bersetuju menyerah diri. Bagaimanapun, penyerahan dirinya tidak berakhir tanpa insiden.

"Amin terlibat dalam pergelutan dengan bekas Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd Said," ceritanya.

649895

Mohamed Amin (tengah) dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada 2006. — Facebook/PDRM

Selepas beberapa jam, akhirnya semua anggota kumpulan Al-Maunah menyerah diri sekali gus menamatkan operasi empat hari pasukan polis dan tentera di bukit itu.

Tragedi hitam itu juga turut mengorbankan dua anggota polis iaitu Sarjan Mohd Shah Ahmad, Detektif Koperal R Sanghadevan, anggota komando Grup Gerak Khas Angkatan Tentera Malaysia Truper Mathew Medan.

Mohamed Amin bersama dua lagi pengikutnya dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada 2006. Dua lagi orang kanannya kemudian dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas disabit bersalah kerana khianat. Mereka digantung pada tahun yang sama.

Enam daripada mereka dipenjara 10 tahun bagi tuduhan lebih ringan, manakala bakinya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram