KEKURANGAN jurulatih skuba tempatan berkaliber tinggi di Malaysia masih menjadi cabaran bagi industri selaman negara, terutama apabila membabitkan peranan pengajar jurulatih (instructor trainer) yang sangat diperlukan untuk melatih dan membimbing generasi pelapis penyelam dan jurulatih skuba.
Menyedari kepentingan melahirkan tenaga pakar dalam bidang ini, Sub Inspektor Mohd Dalila Mansor tampil memperhebatkan inisiatif pembangunan ke arah itu melalui pelbagai usaha di peringkat nasional.
Memberi fokus melatih bakal-bakal jurulatih skuba, Mohd Dalila mengakui Malaysia masih kekurangan jurulatih profesional di peringkat lebih tinggi seperti pengajar jurulatih.
BACA LAGI: 'Menyerahlah yob', pengganas Al-Maunah minta izin mandi dulu sebelum serah diri
Beliau yakin dengan usaha membuka pusat latihan selam skubanya sendiri, DM Skuba terletak di dalam Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL) mampu melatih bakal-bakal jurulatih skuba terutamanya dalam kalangan masyarakat tempatan.
Mohd Dalila telah menghasilkan sebuah buku bertajuk Penyelaman Perairan 20 Meter pada tahun 2015 bagi berkongsi pengalaman dan sebagai panduan kepada sesiapa yang berminat dalam mendalami aktiviti selam.
Pusat latihan telah beroperasi sejak 12 tahun lalu tersebut lengkap dengan bilik pengajaran, manakala praktikal dijalankan di kolam renang di dalam PULAPOL dan ujian mendapatkan lesen menyelam biasanya dilakukan di Pulau Perhentian, Terengganu.
"Dahulu kos mempelajari asas menyelam agak mahal kerana kebanyakan jurulatih yang mengajar adalah dari luar negara disebabkan kurang kepakaran anak tempatan.
"Sebab itu juga saya nekad untuk membuka pusat latihan selam skuba agar mereka yang berminat dalam aktiviti ini mampu mendapatkan lesen yang diiktiraf di DM Skuba.
"Harga untuk permulaan mengambil ujian dan lesen bermula sekitar RM1,500 ke atas bergantung kepada lesen yang ingin diambil," katanya kepada Majoriti.
Untuk makluman, Mohd Dalila yang juga bekas Timbalan Ketua Balai Polis Daerah Cheras merupakan satu-satunya individu dari Asia yang telah mencapai tahap tertinggi sebagai jurulatih penilai di bawah organisasi skuba, Rebreather Association Of International Dives (RAID) yang berpangkalan di Sweden sejak 2015.
Dengan pengiktirafan itu, beliau bukan sahaja menjadi jurulatih tetapi juga memiliki kelayakan untuk membuat penilaian kepada semua jurulatih skuba di seluruh dunia yang ingin meningkatkan tahap kejurulatihan mereka.
Mohd Dalila (Duduk tengah) merupakan satu-satunya individu dari Asia yang telah mencapai tahap tertinggi sebagai jurulatih penilai di bawah organisasi skuba, Rebreather Association Of International Dives (RAID) yang berpangkalan di Sweden sejak 2015.
Selain itu, bekas jurulatih Komando 69 berusia 57 turut memiliki sebuah rumah penginapan, D'Raii Chalet yang berlokasi Pulau Perhentian Besar dekat Kampung Besut, Terengganu.
Menurut Mohd Dalila, chalet yang menelan belanja hampir RM80,000 tersebut sudah beroperasi hampir sembilan tahun.
Katanya, chalet itu direka untuk memenuhi keperluan penyelam antarabangsa, di mana penyelam boleh terus menginap berhampiran pusat selaman Universal Dive Center yang terletak di sebelah chalet tersebut.
"Tujuan saya ialah memberi kemudahan kepada para penyelam untuk meneroka keindahan dasar laut Pulau Perhentian tanpa perlu bergerak jauh.
"Ia bukanlah chalet mewah tetapi cukup selesa dan dilengkapi keperluan asas bagi pelanggan yang ingin menginap di sana," ujarnya sambil menambah harga penginapan adalah bergantung kepada musim percutian dan hujung minggu.
Mohd Dalila turut memiliki sebuah rumah penginapan, D'Raii Chalet yang berlokasi Pulau Perhentian Besar dekat Kampung Besut.
Berkongsi tentang perjalanan awal memulakan perniagaan chalet tersebut, Mohd Dalila mengakui ia bukanlah perjalanan yang mudah.
"Lumrah berniaga, ada naik turun tetapi Alhamdulillah, perniagaan yang saya mulakan bersama kawan baik saya, Siti Aminah Baharudin masih lagi bertahan sehingga kini.
"Untuk modal permulaan bisnes tidak menjadi masalah sebenarnya, namun kami terpaksa menghentikan operasi chalet ketika Covid-19 melanda.
"Pada ketika itu, saya sendiri terpaksa melepaskan semua pekerja dan mengalami kerugian. Tiga tahun yang agak sukar sebenarnya dari segi masa, mental dan wang ringgit," katanya.
Tambah beliau lagi, bagi meningkatkan pendapatan warga tempatan, beliau turut melatih beberapa penduduk yang berminat dalam aktiviti tersebut sekali gus menjana ekonomi mereka.
"Selain berniat untuk membantu anak-anak Melayu menjana pendapatan, saya juga ingin memberi kesedaran kepada 'anak-anak pulau' tentang kepentingan memiliki lesen menyelam yang diiktiraf kerana mereka boleh meletakkan permintaan gaji yang lebih tinggi," katanya.
Beliau turut menekankan, selam skuba turut memberi pengkhususan dalam bidang-bidang pekerjaan tertentu bagi membantu meningkatkan kerjaya.
"Sejujurnya, selam skuba boleh memberi pendapatan yang tinggi. Jangan anggap ia sebagai aktiviti selaman sahaja dan satu kerugian apabila mereka tidak meningkatkan kepakaran yang ada.
"Malah, kalau dilihat sekarang permintaan untuk bidang fotografi, perkapalan dan pelabuhan, kimpalan mahupun siasatan forensik dalam selam skuba juga meningkat tanpa mengira jantina," ujarnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram