TULAR satu video memaparkan dua wanita dipercayai mencuri tiga botol minyak pelincir di sebuah stesen minyak yang berlokasi di Taman Selasih dekat Kulim, Kedah sejak Selasa.
Berdasarkan maklumat awal yang dikongsikan warga maya mendakwa, kejadian yang berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan dipercayai berlaku pada Ahad lalu.
Melalui video yang dikongsikan di laman X (Twitter) dan Facebook memaparkan kedua-dua wanita itu memasuki stesen minyak berkenaan dalam keadaan yang mencurigakan.
BACA LAGI: Masih terbayang beg mayat mangsa tragedi tanah runtuh Batang Kali, 2 minggu Aliff bertarung emosi
Kedua-dua wanita berkenaan terus menuju ke arah rak yang menjual minyak pelincir tersebut sebelum salah seorang daripada mereka yang berpakaian serba hitam mengambil sebotol minyak pelincir dan berpura-pura menanyakan sesuatu kepada pekerja kaunter bagi mengaburi tindakan licik mereka.
Tidak sedar tindakannya dirakam CCTV, seorang lagi rakan subahat wanita tersebut terus mengambil tiga lagi botol minyak pelincir berkenaan dan memasukkannya ke dalam beg miliknya.
Difahamkan, empat botol minyak pelincir telah diambil dan hanya sebotol sahaja yang dibayar.
Kedua-dua wanita tersebut terus beredar daripada premis stesen minyak berkenaan selepas membuat pembayaran.
Menjengah ke ruangan komen di Facebook, rata-rata warga maya mengecam tindakan kedua-dua wanita berkenaan.
Seorang warga maya Zul Hilmi mendakwa kedua-dua wanita itu seperti sudah biasa melakukan perbuatan tersebut.
"Tengok gaya macam sudah biasa buat guna modus operandi yang sama.
"Ini bukan orang susah, kalau susah mesti rembat (curi) sebotol sahaja. Ini sampai tiga dia ambil dan bayar satu sahaja," tulisnya.
Sementara itu, seorang lagi warga maya, Aidi Azli Hj As'ad menyifatkan tindakan kedua-dua wanita tersebut satu perbuatan yang kurang cerdik.
"Tindakan yang sia-sia. Akhirnya kena tangkap. Tiada hasil juga," tulisnya.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan stesen minyak berkenaan mahupun pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram