[VIDEO] Penduduk Elmina kesal beli rumah mahal-mahal tapi bingit kena hadap 'mat rempit'


  • Tular
  • Jumaat, 25 Okt 2024

Tangkap layar video memaparkan sekumpulan mat rempit di kawasan Bandar Elmina sehingga sering mengganggu ketenteraman di kawasan penduduk.

PENDUDUK di sekitar kawasan Bandar Elmina dekat Sungai Buloh, Selangor meluahkan rasa kecewa dan kesal dengan kehadiran sekumpulan mat rempit yang sering mengganggu ketenteraman di kawasan mereka.

Seorang pengguna X (Twitter), @EdhamOthman mendakwa gangguan bunyi itu menjadi semakin teruk ketika hujung minggu yang mana kebanyakan daripada mat rempit tersebut akan melakukan aktiviti lumba haram.

"Setiap hari Sabtu dan Ahad, mat dan minah rempit ini akan melepak di bulatan besar di Elmina itu.

BACA LAGI: Tragedi teman ayah pergi bank, budak 7 tahun maut kena hempap bongkah simen di Melaka

BACA LAGI: [VIDEO] Pekerja kedai makan cedera lengan kanan kena tetak lelaki berparang di Raub

"Mereka akan meletakkan motosikal mereka menghadap jalan, lelaki dan perempuan 'sama naik'.

"Harga rumah di Elmina ini rata-rata sejuta ke atas, mana tak bising penduduk beli rumah mahal-mahal tetapi rasa macam duduk litar lumba," tulisnya.

Individu tersebut berkata demikian selepas melihat video tular yang dimuat naik di laman X, @update11111 pada Khamis.

Melalui video seminit lebih tersebut, kelihatan sekumpulan mat rempit menunggang motosikal mereka dengan cara yang berbahaya tanpa mempedulikan orang lain.

Seorang lagi warga maya, @Effin^Hykal yang juga salah seorang penduduk di Elmina turut meluahkan rasa kesal dengan kehadiran sekumpulan mat rempit tersebut.

"Kumpulan mat rempit tersebut kerap membuat bising dan melakukan aksi berbahaya dengan berlumba motosikal di jalan-jalan sekitar kawasan perumahan Elmina.

"Pernah sekali balik kerja nampak mereka melakukan aksi seperti wheelie, zig zag dan menunggang dalam keadaan laju sambil menundukkan badan.

"Aksi tersebut bukan sahaja bahaya kepada diri sendiri malah pengguna jalan raya lain. Tahun ini sahaja dah ada beberapa kes kemalangan maut yang melibatkan penunggang motosikal di kawasan ini," dakwanya.

Sementara itu, Sime Darby Property Bhd (SDP) telah mengeluarkan kenyataan untuk mengambil tindakan membanteras kegiatan mat rempit tersebut bersama pihak polis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram