Terpaksa menyelam seawal Subuh di Semporna, kesan tapak kaki dekat dinding jerat penjenayah 'wanted' di P.Pinang


  • 112
  • Sabtu, 14 Sep 2024

Mohd Dalila menunjukkan buku hasil tulisannya ketika ditemui wartawan Majoriti di PULAPOL di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

LEBIH dua dekad berkecimpung dalam aktiviti selam skuba menjadikan Sub Inspektor Mohd Dalila Mansor antara figura penting dalam industri itu bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat antarabangsa.

Malah Bekas Timbalan Ketua Balai Polis Daerah Cheras ini juga merupakan satu-satunya individu dari Asia yang telah mencapai tahap tertinggi sebagai jurulatih penilai di bawah organisasi skuba, Rebreather Association Of International Dives (RAID) yang berpangkalan di Sweden sejak 2015.

Dengan pengiktirafan itu, beliau bukan sahaja menjadi jurulatih tetapi juga memiliki kelayakan untuk membuat penilaian kepada semua jurulatih skuba di seluruh dunia yang ingin meningkatkan tahap kejurulatihan mereka.

BACA LAGI: 'Menyerahlah yob', pengganas Al-Maunah minta izin mandi dulu sebelum serah diri

BACA LAGI: Francis Chai 'Crocodile Hunter' tanpa senapang, sentiasa hormati 'Bujang Senang'

Di sebalik sukan ekstrem yang diceburi, Mohd Dalila menyimpan 1,001 pengalaman yang sukar dilupakan sepanjang berkhidmat dalam dunia kepolisan.

Mengimbau kembali permulaan kerjayanya, bapa kepada dua anak ini menyatakan minat untuk menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dipupuk sejak di bangku sekolah lagi.

240585790_913320076274737_7157728482137404228_n

Mohd Dalila ketika memangku tugas sebagai Timbalan Ketua Balai Polis Daerah Cheras.

Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau terus memohon untuk menjadi anggota polis dan berjaya lulus dalam temubduga. Latihan asas yang dilalui di Pusat Latihan Polis Pulau Pinang dan kemudian di Pusat Latihan Polis Hutan (SLPG) Ulu Kinta, Ipoh, membuka jalan kepada beliau untuk menyertai pasukan elit 69 Komando.

Menurut bekas jurulatih Komando 69 berusia 57 tahun itu lagi, beliau mula mempelajari selam skuba pada usia 20 tahun ketika memasuki pasukan 69 Komando.

"Pada awalnya, tiada Unit Selam Tempur diwujudkan dalam unit tersebut. Oleh itu, saya bersama lima anggota lain mengambil inisiatif untuk mempelajari teknik menyelam yang betul di Sea Venture Dive Centre, Ipoh, Perak dengan menggunakan wang saku kami sendiri.

"Alhamdulillah, berkat kesabaran dalam menuntut ilmu dan mengikut arahan yang diberikan, kami berjaya menamatkan pembelajaran sehingga ke tahap tenaga pengajar.

"Dengan kelayakan dan pengiktirafan yang ada pada kami ketika itu, maka tertubuhnya Unit Selam Tempur dalam 69 Komando pada 1990," katanya kepada Majoriti.

Melalui kepakarannya itu, beliau pernah ditugaskan dalam beberapa misi rahsia melibatkan keselamatan negara.

Kongsinya, beliau pernah ditugaskan untuk menyelam bagi membuat intipan terhadap penjenayah lanun di Semporna, Sabah pada tahun 90-an.

"Satu operasi yang sukar, saya dan bersama seorang anggota yang lain ditugaskan dalam satu misi khas untuk menyelam dan mengintip penjenayah tersebut di sebuah pulau berdekatan Pulau Semporna selama lapan hari.

"Penjenayah berasal dari Filipina itu merupakan penjenayah yang dikehendaki pada ketika itu kerana telah melakukan beberapa rompakan di sekitar Sabah.

"Kami mula menyelam pada waktu subuh selama 45 minit bagi memastikan persekitaran di kampung tersebut selamat bagi memudahkan pasukan yang lain untuk membuat serbuan.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana kemahiran yang dipelajari dalam unit elit pasukan Komando 69 telah banyak membantu dan saya manfaatkan sepenuhnya," ujarnya.

38763068_109772796629473_4511798097168302080_n

Mohd Dalila mendapat pengiktirafan sebagai seorang jurulatih pengajar oleh RAID dan menjadi anak Melayu pertama yang mendapat pengiktirafan tersebut di peringkat antarabangsa pada 2012.

Bercerita lanjut, anak jati Jelebu, Negeri Sembilan itu turut berkongsi kisah ketika beliau diarahkan menjalankan satu operasi khas di Pulau Pinang, yang mana pasukannya telah menembak mati seorang penjenayah yang dikehendaki di negara pada ketika itu.

"Masa itu, pasukan saya diarahkan untuk menggeledah tingkat atas dan ketika itulah kami menemui jejak kaki dan tapak tangan suspek di dinding.

"Selepas mengetepikan almari di tepi dinding, kami menemui satu lubang kecil yang muat untuk satu orang menyembunyikan diri. Di lubang itulah tembak-menembak antara polis dan penjenayah yang sedang bersembunyi berlaku," jelasnya.

Walaupun pernah berhadapan dengan misi yang berbahaya, namun tidak pernah sekali pun terdetik dalam hatinya untuk berhenti menjadi seorang anggota polis.

"Tidak dinafikan saya banyak terlibat dalam operasi untuk kes-kes menarik dan berprofil tinggi, namun saya tidak boleh nyatakan dengan lebih terperinci kerana ia diklasifikasi sebagai 'rahsia sulit' dalam penyiasatan," katanya lagi.

189206422_836970663909679_3350312561093758080_n

Sehingga kini, Mohd Dalila dipertanggungjawabkan oleh RAID yang berpangkalan di Sweden untuk mengiktiraf dan memberi sijil kepada para pelajar yang berjaya menamatkan pembelajaran dengan sempurna.

Tidak hanya terbatas membanteras jenayah, jasa Mohd Dalila dalam dunia selam skuba juga tidak boleh disangkal.

"Saya telah menghasilkan sebuah buku bertajuk Penyelaman Perairan 20 Meter pada tahun 2015 bagi berkongsi pengalaman dan sebagai panduan kepada sesiapa yang berminat dalam mendalami aktiviti selam.

"Selain itu, saya telah mendapat pengiktirafan sebagai seorang jurulatih pengajar oleh RAID dan menjadi anak Melayu pertama yang mendapat pengiktirafan tersebut di peringkat antarabangsa pada 2012.

"Selain menjadi Instructor Examiner dalam PDRM dan di peringkat kebangsaan, saya turut diiktiraf oleh RAID sebagai pemeriksa tenaga pengajar yang ke-9 bagi peringkat antarabangsa dan yang pertama di Asia.

"Sehingga kini, saya dipertanggungjawabkan oleh RAID untuk mengiktiraf dan memberi sijil kepada para pelajar yang berjaya menamatkan pembelajaran dengan sempurna," katanya sambil menambah dia mempunyai pusat latihan selam skubanya sendiri, DM Skuba yang beroperasi di dalam Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (PULAPOL).

Jelas beliau, pusat latihan tersebut lengkap dengan bilik pengajaran, manakala sesi praktikal dijalankan di kolam renang dalam PULAPOL.

"Pusat latihan ini bukan hanya untuk polis tapi turut terbuka kepada orang awam. Jadi kalau ada yang berminat boleh sertai program di sini.

"Harus saya ingatkan, selam skuba ini tidak hanya terbatas pada aktiviti rekreasi tetapi aktiviti ini juga turut memberi pengkhususan dalam bidang-bidang pekerjaan.

"Jangan risau, harga kami di sini berpatutan dan tak mahal," katanya secara berseloroh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram