DI sebalik uniform yang dipakai dan pengorbanan yang telah dilakukan, veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) seringkali berhadapan dengan cabaran baharu setelah menamatkan perkhidmatan mereka.
Namun, di tengah kekeliruan dan ketidakpastian itu, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) bangkit sebagai sinar harapan bagi mereka ke arah masa depan yang lebih terjamin.
Malah, agensi itu juga komited bagi memperkasa dan membina semula kehidupan veteran dengan menyediakan pelbagai program latihan peralihan yang menyeluruh sekali gus memberikan pesara tentera dengan kemahiran yang diperlukan untuk bersaing dalam dunia pekerjaan.
Kejayaan 60 peratus veteran yang mengikuti program latihan yang Perhebat pada tahun lalu bukan hanya menunjukkan pencapaian dalam mencari pekerjaan, tetapi juga menandakan kebangkitan semula semangat juang pesara untuk terus berkhidmat kepada negara dalam kapasiti yang baru.
Dengan sokongan dan bimbingan Perhebat, setiap veteran diberikan peluang untuk menulis semula cerita hidup mereka, mengubah cabaran menjadi peluang dan memupuk semangat keusahawanan demi masa depan yang lebih cerah.
Sebahagian daripada 201 veteran tentera pada majlis graduasi latihan peralihan yang diadakan di Kota Baru, Kelantan pada tahun ini.
Pendaftar Sektor Pengurusan Latihan Perhebat, Mohd Zamri Mohd Salim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 17 peratus mereka mendapat pekerjaan bermajikan, menjadi usahawan tunas atau bekerja sendiri (23 peratus) dan usahawan (20 peratus).
"Perhebat memantau perkembangan kerjaya keseluruhan 6,851 veteran yang tamat latihan peralihan pada tahun tersebut dan 60 peratus mereka berjaya mempunyai pekerjaan kedua.
"Selebihnya, 40 peratus veteran ATM sedang mencari pekerjaan,” katanya pada Majlis Penyampaian Sijil Perhebat, di sebuah hotel di Tunjong, Kelantan baru-baru ini.
Tambah beliau lagi, sejak Mei lalu, seramai 3,256 anggota ATM yang bakal bersara telah menamatkan latihan tersebut di seluruh negara.
Menurut Mohd Zamri, pemantauan penting bagi tujuan analisis data oleh Kementerian Pertahanan dalam usaha memperkemaskan dasar dan kaedah padanan kerjaya veteran setelah tamat perkhidmatan.
Kata beliau, jumlah anggota ATM yang memohon untuk mengikuti latihan peralihan Perhebat turut melonjak dengan amat ketara.
“Sebanyak 93.1 peratus atau 5,478 anggota memilih perhebat berbanding lima kategori latihan peralihan lain sehingga Mei lalu.
“Transformasi dan penambahbaikan kurikulum latihan menjadi faktor penarik kepada pegawai kanan ATM berpangkat leftenan jeneral, mejar jeneral, brigedier jeneral, kolonel, leftenan kolonel dan mejar memilih untuk mengikuti latihan peralihan di Perhebat sebagai persediaan persaraan,” ujarnya.
Kata beliau, dalam usaha memberi nilai tambah dan peluang kepada anggota serta veteran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi sekali gus meningkatkan kebolehpasaran dalam sektor pekerjaan, Perhebat juga dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
“Antaranya melaksanakan Program Recognition of Prior Experiential Learning yang menyediakan Sijil Kemahiran Malaysia, Diploma Kemahiran Malaysia dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia.
“Sejak dilaksanakan pada 2017, sejumlah 4,796 anggota dan veteran ATM berjaya ditauliahkan pensijilan-persijilan berkenaan,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram