'Tirai hitam' Kemboja, kesan darah 'melekat' 5 dekad jadi saksi betapa peritnya hidup bawah rejim Khmer Rouge


  • 112
  • Rabu, 25 Sep 2024

Bou Meng (Gambar kecil) pernah menyaksikan sendiri Tentera Khmer Rouge membunuh kanak-kanak dengan cara menghentak kepala mangsa di dinding dan sebuah pokok di penjara tersebut.

PHNOM Penh, ibu kota Kemboja, dikenali sebagai sebuah destinasi pelancongan yang kaya dengan sejarah, budaya dan keindahan sungai yang tersendiri.

Namun, di sebalik keindahan bandar bersejarah dan kecantikan Sungai Mekong itu terselit kisah hitam yang mungkin tidak akan dilupakan oleh penduduknya sampai bila-bila.

Dalam tempoh hampir empat tahun dari 1975 hingga 1979 pemerintahan rejim Pol Pot, jutaan rakyat Kemboja menjadi mangsa kebuluran, penyeksaan, dan pembunuhan dalam usaha fanatik rejim untuk mewujudkan masyarakat agraria yang utopia.

BACA LAGI: [VIDEO] Bekas komando dedah bahayanya peluru, roket, misil yang sudah 'expired'

BACA LAGI: [VIDEO] 'Sampai kiamat kita sendiri', bapa terkorban nahas pesawat terhempas tidak lemahkan semangat Perajurit Muda Indiran

Bagi pelancong yang berkunjung ke Phnom Penh, lawatan ke lokasi-lokasi bersejarah seperti Killing Fields dan Tuol Sleng Genocide Museum (Muzium Tuol Sleng) memberikan pengalaman yang amat menyentuh hati.

Tempat-tempat itu menjadi saksi bisu kepada kekejaman manusia terhadap sesama manusia, di mana beribu-ribu individu yang tidak bersalah telah menjadi korban.

Tuol Sleng 2

Jutaan rakyat Kemboja menjadi mangsa kebuluran, penyeksaan, dan pembunuhan pemerintahan rejim Khmer Rouge.

Bahkan bagi penulis sendiri, pengalaman melancong ke Phnom Penh bukanlah sekadar sebuah trip pelancongan biasa, tetapi lebih kepada pengalaman yang penuh keinsafan.

Biarpun zaman itu sudah berlalu hampir lima dekad, ada dalam kalangan mangsa dan waris yang terselamat mengalami kecacatan fizikal dan mental.

Pertemuan penulis dengan Bou Meng yang merupakan salah seorang daripada tujuh bekas tahanan Penjara Tuol Sleng yang masih hidup sejujurnya memberikan satu pengalaman yang tidak boleh dilupakan pada empat tahun yang lalu.

Walaupun sudah berusia 79 tahun ketika itu, namun tidak sedikit pun bayang-bayang kekejaman rejim Pol Pot terpadam dalam ingatan dan sejarah hitam tersebut masih menghantuinya.

Malah, beliau pernah menyaksikan sendiri Tentera Khmer Rouge membunuh kanak-kanak dengan cara menghentak kepala mangsa di dinding dan sebuah pokok di penjara tersebut.

Tuol Sleng Bou Meng

Penulis bersama Bou Meng (kanan) pekarangan Muzium Tuol Sleng.

Lebih sayu lagi, isterinya Ma Yoeun dan anaknya turut terkorban menjadi mangsa kekejaman manusia tidak berhati perut itu.

Bou Meng hanya bernasib baik tidak dibunuh kerana mempunyai kemahiran melukis.

"Saya dan isteri ditangkap dan dibawa ke penjara S-21 (Penjara Tuol Sleng) oleh Tentera Khmer Rouge pada 1976.

"Dalam 'penjara neraka' itu, saya diseksa selama beberapa minggu dengan pelbagai jenis alat penyeksaan seperti kejutan elektrik, dirotan, dipukul dengan cemeti, kuku dicabut dan sebagainya.

"Saya terpaksa membuat pengakuan palsu untuk terus hidup," ceritanya sambil menunjukkan buku yang menceritakan pengalaman beliau.

Bercerita lanjut, Bou Meng berkata dia hanya bernasib baik tidak dibunuh kerana mempunyai kemahiran melukis.

Namun, isterinya tidak sebertuah itu. Menurut rekod di Tuol Sleng, Ma Yoeun telah diseksa dan dibunuh pada 16 Ogos 1977. Anak-anak mereka pula dihantar ke pusat kanak-kanak, di mana mereka akhirnya mati kelaparan.

Bou Meng

Bou Meng (tiga dari kanan) merupakan salah seorang daripada tujuh bekas tahanan Penjara Tuol Sleng yang masih hidup.

Penjara Tuol Sleng yang merupakan sebuah Sekolah Tinggi Chao Ponhea Yat pada ketika itu bertukar menjadi tempat penyeksaan yang menempatkan hampir 20,000 tahanan yang kemudiannya dibunuh ketika di zaman pemerintahan kuku besi itu.

"Kami dipukul setiap masa, ada yang dicabut kuku menggunakan playar, dikenakan renjatan elektrik serta dipaksa bekerja sepanjang hari tanpa rehat dan diberikan nasi bubur cair bagi mengalas perut.

"Setiap hari ada sahaja yang meninggal dunia, darah di lantai dan bau yang kurang menyenangkan itu sendiri sudah menjadi 'santapan' kami setiap hari," katanya.

Bercerita lanjut, Bou Meng menyifatkan Tentera Khmer Rouge seperti binatang yang tidak mempunyai perasaan.

"Mereka (tentera) membunuh artis, guru, peguam, doktor, wartawan, ahli agama atau sesiapa saja yang terlihat pandai dan mempunyai pendidikan.

"Satu keluarga akan dibunuh kerana bagi mereka kepandaian itu akan diwarisi. Ada kalanya, ada tahanan yang dibunuh hanya kerana memakai cermin mata yang menampakkan seolah-olah bijak, ujarnya.

Tuol Sleng

Walaupun hampir lima dekad berlalu namun kesan darah daripada mangsa kekejaman Tentera Khmer Rouge masih lagi kelihatan di lantai Muzium Tuol Sleng.

Kini, Bou Meng menghabiskan masa tuanya dengan menjual buku tulisannya di pekarangan Muzium Tuol Sleng dan bercerita dengan pengunjung mengenai kekejaman dan pengalamannya menghuni tirai besi itu.

Ditanya kenapa dia masih lagi masih berada di situ dan menceritakan pengalaman kepada orang luar, Bou Meng menjelaskan walaupun parutnya masih berbekas namun dia rasa bertanggungjawab untuk menceritakan pada dunia luar kekejaman tentera Khmer Rouge. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram