PENGALAMAN mengajar seni kulinari di Kem Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Manjung, Perak bukan sahaja memberi cabaran tersendiri, tetapi juga mengukuhkan disiplin dan kepakaran dalam penyediaan makanan.
Bagi seorang pensyarah kulinari, Hasrul Mohamed, menyesuaikan diri dengan kehidupan ketenteraan yang penuh disiplin dan tuntutan fizikal memberi perspektif baharu dalam bidang yang biasanya dianggap lembut dan kreatif.
"Seperti dua dunia yang sangat berbeza, saya sendiri ketika mendapat arahan dari pihak Management and Science University (MSU) untuk mengajar anggota tentera di bawah satu program khas bersama pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM), saya panik dan takut.
Pensyarah kulinari, Hasrul Mohamed
"Saya takut tak mampu dan bimbang akan membuat kesilapan tetapi apabila difikirkan semula saya patut berbangga diberi peluang berkongsi ilmu dengan wira dan wirawati negara pada ketika itu dan pada 2014 bermulalah perjalanan karier saya sebagai tenaga pengajar di kem TLDM Lumut.
"Saya ingat lagi, sampai sahaja di pintu gerbang kem dan ketika nak lapor diri, jantung saya berdegup kencang. Bayangkanlah, suasana di kem sangat berbeza dan saya pula orang luar. Macam saya pula yang nak daftar masuk tentera," katanya kepada Majoriti.
Namun, bagi lelaki yang berusia 43 tahun itu, walaupun pernah menghadapi pelbagai cabaran ketika mengajar, dia tekad untuk memberikan pembelajaran yang terbaik buat anak didiknya di kem tersebut.
"Sejujurnya, pada awal permulaan saya mengajar pelatih (anggota TLDM) agar sukar. Saya orang awam, mereka pula tentera dan agak sukar untuk mereka menerima arahan daripada orang luar.
"Namun saya mengambil pendekatan dengan cara mendekati mereka dengan cara psikologi. Saya akan ikut latihan, kalau kawad saya pergi kawad dan kalau mereka berlari saya akan ikut berlari. Apa sahaja latihan yang mereka buat, saya akan cuba buat walaupun susah.
"Saya buat begitu sebab nak memahami mereka dan dari situ, Alhamdullilah kehadiran saya semakin diterima," ujarnya lagi.
Hasrul (tiga dari kanan) bersama para pegawai TLDM.
Bercerita lanjut, anak jati Selangor itu berkata, dia juga pernah berhasrat untuk berhenti apabila menerima tentangan daripada pihak tertentu.
Hasrul turut mengakui, ada ketikanya, dia pernah berhasrat untuk berhenti kerana pihak berkaitan banyak membantah perubahan yang cuba dlakukan ketika mengajar di sana.
"Segalanya perlu mengikut protokol dan syarat yang sangat ketat. Saya rasa, kalau begitu, lebih baik mereka uruskan sendiri tetapi ada juga pegawai-pegawai yang menyokong saya dan membantu saya dalam apa juga cadangan.
"Tanpa mereka, saya mungkin tak dapat melakukan perubahan. Jadi, saya berjaya sebab ada sokongan dari orang-orang ini. Saya mula pada 2014 hingga 2019. Sepanjang masa itu, saya berulang-alik ke sana dan semakin lama, saya rasa seperti bukan lagi orang luar, bukan lagi dengan MSU," katanya dalam nada bergurau.
Hasrul (Berdiri tengah) bersama barisan para pelatih TLDM di sebuah program.
Bapa kepada lima anak ini juga turut meluahkan rasa bangga apabila diberi peluang mengendalikan program serta menyediakan makanan dalam beberapa program yang dianjurkan TLDM.
"Sebelum ini, jika ada mesyuarat berkaitan penyediaan makanan, mereka tak akan panggil orang luar. Tapi bila saya berada di sana, setiap kali ada mesyuarat atau perbincangan tentang makanan, saya akan dijemput sekali.
"Di situ, saya kongsikan idea-idea untuk buat penambahbaikan. Bukannya saya ubah terus, tapi saya buat perubahan sedikit demi sedikit supaya apa yang ada di luar sana dapat juga mereka rasai," jelasnya.
Antara pengalaman manis Hasrul ketika menjadi tenaga pengajar bersama pihak TLDM adalah ketika dia diberi peluang menyediakan santapan buat Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
"Satu lagi pengalaman yang tidak dapat saya lupakan adalah ketika saya dan pasukan saya dipilih untuk menyediakan hidangan bagi Sultan Kelantan.
"Pada mulanya, saya tidak pasti apa jenis makanan yang sesuai untuk Tuanku, namun selepas melakukan kajian, saya mendapati baginda gemar makanan-makanan klasik barat.
"Saya mencuba pendekatan fusion dengan menggunakan bahan-bahan yang agak sukar diperolehi. Salah satu hidangan yang saya sediakan adalah 'French Onion Soup', yang menggunakan teknik khas untuk memanaskan bawang.
"Walaupun pada awalnya 15 daripada 20 pegawai tidak menyokong idea saya, akhirnya baginda sangat berpuas hati dengan hidangan tersebut dan saya mendapat penghargaan yang tinggi daripada pihak TLDM serta pegawai-pegawai lain.
"Sejak itu, saya sering dijemput untuk mengetuai acara-acara besar dan menyediakan menu-menu istimewa, " katanya dengan bangga.
Hasrul bersama para pelatih TLDM pernah diberi peluang menyediakan santapan untuk Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.
Selain daripada itu, Hasrul turut diberi peluang untuk berlayar dan menyelami kehidupan tentera sepanjang mengajar di TLDM, Lumut.
"Saya pernah berlayar dan diberi peluang untuk memasak dalam kapal selam pelantar minyak dan kapal perang TLDM beberapa kali dan setiap tempat itu ada cabarannya yang tersendiri.
"Diet pun perlu diambil kira. Contohnya, pelatih-pelatih yang saya ajar terdiri daripada pelbagai unit ada dari kapal, ada dari pangkalan, pelantar minyak, dan dari pulau.
"Rutin kerja mereka berbeza. Malah, ada pelatih yang berkhidmat dengan komando atau dikenali sebagai Pasukan Khas Laut (Paskal), diet mereka juga berbeza.
"Untuk pelatih-pelatih yang bekerja di dalam kapal selam, diet mereka juga lain kerana mereka tak boleh masak dengan menggunakan api terbuka. Kebanyakan mereka menggunakan teknologi retort (makanan yang siap diproses dan hanya perlu dipanaskan, tanpa perlu api terbuka)," jelas beliau.
Menutup bicara, Hasrul juga meluahkan rasa bangga kerana ada dalam kalangan pelatih didikannya sudah berjaya membuka kedai makan sendiri selepas mereka bersara.
"Walaupun saya sudah tidak mengajar di kem Lumut tetapi hubungan saya dengan para pelatih masih akrab. Saya sangat gembira kerana ada dalam kalangan mereka yang mempunyai kedai sendiri selepas bersara.
"Kalau berkesempatan saya akan datang ke kedai mereka dan berkongsi ilmu. Lagipun itu matlamat saya, kongsi ilmu kulinari pada semua dan saya sendiri kadang-kadang akan belajar ilmu baharu daripada mereka ini," ujar Hasrul yang juga bekas chef sebuah hotel terkemuka di ibu negara sebelum menjadi pensyarah di MSU. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram