TERINSPIRASI oleh legasi keluarga yang berjuang dalam pasukan beruniform, Fitri Noratiqah Saffinge kini menerajui satu inisiatif baharu yang unik dengan memperkenalkan sebuah program berasaskan ketenteraan yang berlandaskan usaha untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Program Junior Combat Survival Camp dilaksanakan untuk mempersiapkan generasi muda dengan kemahiran ikhtiar hidup, seterusnya menjadikan mereka lebih cekap dalam menghadapi situasi kecemasan dan ancaman keselamatan.
Menurut Fitri Noratiqah yang lebih dikenali dengan nama Sephia Ameena Dhia, dia memperoleh inspirasi untuk menjalankan program tersebut daripada arwah bapanya yang juga seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM).
"Arwah datuk anggota polis dan abang sulung pula anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sehubungan itu saya memandang kerjaya beruniform ini sebagai salah satu karier yang berkonsepkan perjuangan dan bakti kepada nusa bangsa walaupun setelah bergelar veteran.
"Setiap modul dalam program ini direka mengikut situasi semasa dan kemahiran tambahan yang memberi manfaat kepada diri mereka sendiri dalam mengenal pasti serta beradaptasi dengan situasi getir dan membuat tindakan susulan.
"Selain itu ia juga bagi memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai pengorbanan para perajurit negara dan menyemai semangat patriotisme dalam mendidik mereka," katanya kepada Majoriti.
Sephia Ameena Dhia bertanggungjawab dalam merancang pelan latihan yang sesuai dan diolah mengikut keperluan had pengetahuan serta kemampuan orang awam.
Bercerita lanjut, Sephia Ameena Dhia yang juga pengasas kepada BlackParade Tactics menjelaskan, selain Junior Combat Survival Camp, dia turut menjalankan Program Ilmu Kemahiran Ikhtiar Hidup bagi golongan belia dan juga dewasa.
Ujar wanita berusia 31 tahun itu lagi, dia bertanggungjawab dalam merancang pelan latihan yang sesuai dan diolah mengikut keperluan had pengetahuan serta kemampuan orang awam.
"Saya akan cuba terapkan program mengikut cara yang sama seperti bagaimana keluarga mendidik saya. Disiplin adalah keutamaan kerana ia akan membentuk pemikiran yang baik dan mempengaruhi serba-serbi tindakan dalam rutin kehidupan kita.
"Anak-anak ini masih boleh dilentur lagi dengan mengajar mereka adab dan tanggungjawab, ilmu kemahiran ikhtiar hidup, pembentukan jati diri yang teguh, keharmonian sosial kemasyarakatan serta rasa cinta akan agama, bangsa dan negara.
"Saya juga berharap anak-anak muda dapat menghargai pengorbanan dan jasa para perajurit dalam memastikan negara Malaysia kekal aman," ujarnya.
Menurut anak jati Johor Bahru, Johor itu lagi, program Junior Combat Survival Camp sudah mencapai siri keeenam, manakala siri ketujuh pula dijadualkan berlangsung pada Disember depan.
Setakat ini maklumnya, peserta program tidak hanya melibatkan anak-anak anggota beruniform, tetapi juga orang awam.
"Kebanyakan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sini menyatakan bahawa mereka berminat dengan modul latihan kami yang seakan-akan berada dalam latihan ketenteraan, di samping mahu mendisiplinkan anak-anak.
"Untuk perancangan masa hadapan, kami juga ingin melebarkan sayap membawa modul latihan program Junior Combat Survival Camp ke seluruh negara," katanya sambil menambah turut ada permintaan daripada kenalan untuk melaksanakan program berkenaan di Singapura, Indonesia dan Thailand.
Modul latihan program Junior Combat Survival Camp program direka mengikut situasi semasa dan kemahiran tambahan yang memberi manfaat kepada peserta kanak-kanak.
Ditanya antara momen yang paling memberi kesan kepadanya sehingga kini, Sephia Ameena Dhia bercerita, sedari kecil dia gemar membelek gambar sewaktu bapanya berkhidmat dalam TDM, dengan anggota lain yang segak berpakaian celoreng masing-masing.
"Memori paling diingati adalah apabila bapa suka menceritakan kenangannya sepanjang berkhidmat termasuk perihal rakan-rakan seperjuangannya.
"Bapa juga memiliki koleksi barang-barang Every Day Carry (EDC) dan koleksi item taktikal juga.
"Ini sedikit sebanyak mempengaruhi saya untuk mewujudkan Program Junior Combat Survival Camp ini dan berharap sentiasa ada ramai perintis baharu bagi menggantikan veteran yang sudah tamat perkhidmatan," tuturnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram