[VIDEO] Tak perlu guna paku, rumah kayu tradisional di Malaysia boleh guna teknik pasak dan tanggam


  • Massa
  • Sabtu, 26 Okt 2024

Rumah kayu tradisional boleh bertahan lebih 80 tahun meskipun dibina tanpa menggunakan paku atau bahan logam lain. — Gambar hiasan

BINAAN rumah kayu merupakan antara warisan seni bina tradisional yang sering kali mencerminkan budaya dan adat resam terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu di Malaysia.

Terdapat pelbagai jenis reka bentuk rumah kayu tradisional di setiap negeri seperti Rumah Melaka, Rumah Limas Johor dan Rumah Minangkabau Negeri Sembilan.

Kebiasaannya, kayu cengal, merbau dan keruing pula digunakan secara meluas dalam pembinaan rumah ini kerana daya tahan mereka terhadap cuaca serta kehadiran anai-anai.

BACA LAGI: Anggur premium tumbuh di negara 4 musim hidup subur di Gopeng

BACA LAGI: [VIDEO] Bekas fasilitator kongsi tip penting sebelum buat gimik macam UiTM Segamat

rumah-kampung-malaysia-tradisional

Setiap reka bentuk binaan rumah kayu tradisional menggambarkan budaya dan warisan di Malaysia. — Gambar hiasan

Lebih istimewanya binaan itu apabila ketinggan tiang rumah menjadi inovasi yang bukan sahaja berfungsi untuk mengelakkan banjir tetapi juga memberikan pengudaraan yang baik serta mewujudkan ruang dalaman lebih selesa meskipun ketika cuaca panas.

Bukan itu sahaja, pembinaan rumah kayu juga memerlukan teknik tepat bagi menghasilkan struktur yang kukuh dan berdiri teguh dalam jangka masa panjang.

Oleh itu, kebanyakan rumah kayu yang tersergam indah selama beberapa dekad menggunakan teknik pasak dan tanggam dalam proses pembinaannya.

Dua cara itu sekali gus dapat menjadikan sesebuah bangunan atau rumah kukuh tanpa memerlukan penggunaan paku serta menunjukkan kehalusan dan kemahiran tukang kayu tempatan yang mahir menyambungkan kayu dengan tepat tanpa perlu bergantung kepada bahan logam.

1200px-Letca2-15

Teknik pasak dan tanggam yang digunakan bagi mengukuhkan struktur binaan rumah kayu tradisional. — Gambar hiasan

Teknik tersebut juga membolehkan struktur rumah dileraikan, dipasang semula dan dipindahkan sekiranya berlaku sebarang perpindahan dari satu lokasi ke lokasi lain.

Sambungan itu pada masa sama memberi fleksibiliti kepada struktur rumah untuk bergerak dan menyesuaikan diri dengan perubahan suhu serta kelembapan, menjadikannya lebih tahan lama dalam iklim tropika di negara ini.

Teknik berkenaan juga sebenarnya digunakan oleh beberapa negara lain termasuk Jepun yang terkenal dengan kemajuan teknologi dan reka bentu bangunannya ekoran kekerapan risiko berdepan bencana alam seperti gempa bumi dan tsunami.

Walaupun mempunyai sedikit perbebzaan kerana mengambil kira struktur binaan, namun ia tetap melalui cara sama iaitu dengan menggunakan potongan dan sambungan kayu yang tepat untuk mengunci dua bahagian kayu bersama-sama.

Kaedah sambungan kayu itu secara tidak langsung dapat memberi ketahanan lebih baik terhadap bencana alam berbanding dengan struktur yang bergantung kepada paku atau bahan logam.

Buktinya, terdapat sebuah rumah kayu tradisional dikenali sebagai 'Rumah Warisan Tok Taib dan Nayan' di Kampung Chengal, Batu Satu, Jalan Temerloh-Mentakab, Pahang yang masih berdiri teguh walaupun sudah berusia 88 tahun.

Selain memukau orang ramai dek keunikan reka bentuk dengan ciri tradisional masyarakat Melayu Kampar berasa dari Riau, Sumatera, Indonesia, ia juga dibina secara pasak tanpa menggunakan sebarang paku. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram