Dragon Ball bakal kembali dengan nafas baharu


  • Hobi
  • Khamis, 10 Okt 2024

Pelbagai pelancaran produk seperti permainan video dan siri animasi baharu akan dikeluarkan dalam beberapa minggu akan datang.

PEMINAT francais Dragon Ball tidak sabar menanti pelbagai pelancaran produk seperti permainan video dan siri animasi baharu dalam beberapa minggu akan datang, walaupun pencipta siri itu telah meninggal dunia pada Mac lepas.

Pelukis manga Jepun popular itu, mendiang Akira Toriyama melancarkan Dragon Ball pada 1984 dan sejak itu ia menjadi salah satu francais manga terlaris di dunia yang melahirkan banyak siri anime, filem dan permainan video.

Walaupun dia sudah tiada tetapi usaha menghidupkan semula animasi tersebut tetap diteruskan apabila Dragon Ball: Sparking! ZERO akan dilancarkan pada Jumaat dengan rekod 182 watak yang terlibat dalam pertempuran.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Sherpa bukan sekadar pandu arah, kami adalah perintis', Nima Rinji jadi individu termuda tawan 14 puncak tertinggi di dunia

BACA LAGI: [VIDEO] Siswa Labah-Labah daki secara merangkak, anak jati Kuching buktikan OKU mampu tawan Everest

photo_6068822865974771335_x

Pelukis manga, Akira Toriyama meninggal pada 1 Mac lepas.

"Ini adalah pelancaran yang sangat penting bagi kami dan harapnya ia akan berjaya," kata pengurus produk syarikat permainan video, Bandai Namco di Perancis, Maurice Fontaine.

Tidak hanya itu, sebuah siri animasi baharu, Dragon Ball Daima juga akan dilancarkan bersempena ulang tahun ke-40 francais itu.

Peminat francais teruja untuk mengetahui sama ada produk baharu itu dapat meneruskan legasi Toriyama yang mampu menjadi kegilaan ramai.

"Persepsi pertama saya dengan siri ini adalah permainan video," kata seorang pelajar Jepun, Tsutomu Tanaka, 19, yang menekankan unsur kesederhanaan dalam penceritaan dan watak-wataknya.

Pada awalnya, Dragon Ball diterbitkan dalam sebuah majalah yang sangat digemari oleh remaja lelaki Jepun, Shonen Jump pada 1984.

photo_6068822865974771332_x

Dragon Ball Daima juga akan dilancarkan bersempena ulang tahun ke-40 francais Dragon Ball.

Kisahnya menceritakan tentang pengembaraan seorang budak memilik fizikal seperti monyet bernama Son Goku melalui rintangan di pelbagai jenis alam semesta.

Selama lebih daripada 500 bab, wira dengan rambut hitam berduri itu melawan musuh dari dunia lain dalam pencariannya untuk mendapatkan tujuh biji bola naga yang memilik kuasa sakti.

"Generasi ayah saya menyukai Dragon Ball, kami menontonnya sebagai keluarga," kata seorang wanita Jepun, Ayase, berusia dalam lingkungan 30-an.

Diterjemah ke seluruh dunia, Dragon Ball melahirkan banyak kartun anime, filem, permainan video, kad perdagangan dan figura koleksi yang menjadikannya sumber pendapatan yang sangat besar.

Arab Saudi mengumumkan awal tahun ini bahawa mereka berhasrat untuk mencipta taman tema pertama di dunia yang diinspirasikan oleh Dragon Ball.

Penerbit, Shueisha berkata, komik itu terjual lebih 260 juta salinan di seluruh dunia.

Sejak 1986, lebih 100 permainan video dan lima siri animasi telah dikeluarkan, dengan jualan berpuluh-puluh juta salinan.

Pakar kartun, Tadashi Sudo berkata, walaupun dalam jangka pendek francais yang menguntungkan itu kelihatan berada dalam keadaan stabil, namun, mereka tidak dapat memastikan perkara itu mampu berada di tahap yang sama dalam jangka waktu yang panjang.

"Jentera komersil sudah sedia ada, namun cabaran di hadapan adalah untuk melihat sama ada kreativiti itu boleh dikekalkan tanpa Toriyama.

"Jika idea baharu berhenti muncul, segala-galanya boleh menjadi berulang dan mungkin sukar untuk menarik minat generasi baharu," katanya. — TheStar

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram