AKTIF dalam pelbagai program kemasyarakatan mengajar Nur Izyan Syahira Kamaruddin lebih mengenali karakter dan karenah manusia.
Guru praktikal berusia 24 tahun yang kini menjalankan latihan industri di sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur itu tidak menolak bahawa program komuniti membantu memperbaiki kemahiran sosialnya di tempat awam.
Pernah melibatkan diri dalam program fasilitator, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, Bimbingan dan Kaunseling di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Selangor itu berkesempatan berkongsi pandangannya terhadap isu tular sejak beberapa hari ini.
BACA LAGI: Bagai dapat durian runtuh, lelaki warga emas terima wang tidak dituntut RM18,000
Sebelum ini, kecoh di semua platform media sosial apabila sekumpulan fasilitator di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Segamat, Johor bertengkar sesama sendiri sebagai gimik untuk menyambut ulang tahun seorang daripada mereka ketika sesi orientasi bersama pelajar baharu.
Perkara itu sekali gus menimbulkan pelbagai persepsi orang ramai dan memberi anggapan bahawa para fasilitator berkenaan tidak matang dalam menjadi contoh kepada pelajar baharu.
Mengulas sedikit tentang isu tersebut, Nur Izyan berkata, gimik tersebut bukanlah perkara serius yang perlu diperbesar-besarkan kerana ia bergantung kepada keadaan dan penerimaan seseorang di kawasan itu.
Menurutnya, penerimaan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dengan pelajar sekolah rendah atau menengah adalah berbeza.
Nur Izyan (berdiri) yang berpengalaman dalam program fasilitator.
"Saya rasa setiap program sebegitu ada gimik tersendiri mungkin untuk memeriahkan suasana atau sebagai hiburan untuk pelajar.
"Tetapi, bergantung juga pada penerimaan setiap orang dan ia bukan kesilapan, cuma mungkin boleh diperbaiki lagi cara nak sampaikan gimik itu.
"Jadi, saya rasa ia tak salah kalau fasi itu faham sasaran peserta mereka supaya penyampaian kita itu lebih sesuai, menarik dan orang suka tengok," katanya kepada Majoriti.
Bagi Nur Izyan yang juga pernah menjadi fasilitator kepada pelajar-pelajar Sekolah Henry Gurney, sasaran peserta seperti jantina dan latar belakang mereka juga merupakan elemen penting perlu diambil kira sebelum melakukan sesuatu gimik.
Kelab Inspire antara kelab fasilitator di bawah naungan UIAM yang disertai Nur Izyan.
Nur Izyan pada masa sama menyarankan orang ramai agar tidak terlalu mengecam tindakan tersebut secara keterlaluan tanpa memahami situasi sebenar.
"Saya rasa tak patut orang luar beri kecaman terlalu teruk sebab mungkin mereka ada pertama kali jadi fasi atau pertama kali buat gimik seperti itu.
"Mereka juga boleh belajar untuk perbaiki lagi cara mengendalikan program dengan lebih baik selepas ini," jelasnya.
Di samping itu, Nur Izyan tidak menafikan penglibatan dalam acara sedemikian sememangnya penting terutamanya di peringkat muda sepertinya agar dapat meningkatkan lagi kemahiran kepimpinan, menyelesaikan konflik dan mengawal emosi ketika berdepan dengan konflik.
Program sukarelawan atau komuniti membantu meningkatkan kemahiran sosial dan komunikasi di tempat awam.
Selain menjadi fasilitator, anak kelahiran Terengganu itu juga gemar melibatkan diri dalam program sukarelawan dan kemanusiaan seperti bergotong-royong dalam aktiviti pembersihan atau memberi sumbangan keperluan harian kepada golongan memerlukan.
Menurutnya, dengan cara itu membolehkannya menimba ilmu dan suasana baharu iaitu melalui perkongsian pengalaman.
"Jadi, pengalaman orang lain itu sangat berguna untuk saya sebagai pelajar pendidikan dan pada masa sama guru kaunseling.
"Ada yang saya dengar budak belasan tahun terlibat dengan dadah disebabkan terpengaruh disebabkan faktor-faktor persekitaran dan orang sekeliling.
"Sertai program-program ini pun sebenarnya tingkatkan kemahiran waktu nak bekerja tak kisah cikgu atau pekerjaan lain," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram