MALAYSIA disenaraikan sebagai syurga makanan kelima paling popular di Asia, menurut tinjauan oleh platform pelancongan digital popular Agoda.
Menurut tinjauan itu, 49 peratus daripada pelancong mengatakan mereka melawat negara ini bagi menikmati hidangan kulinari.
Tinjauan oleh platform yang berpangkalan di Singapura itu mendedahkan bahawa Korea Selatan sebagai destinasi makanan teratas di Asia, dengan 64 peratus pelawat menyebut makanan sebagai sebab utama mereka melancong, diikuti oleh Taiwan (62 peratus), Thailand (55 peratus) dan Jepun (52 peratus).
BACA LAGI: [VIDEO] Siswa Labah-Labah daki secara merangkak, anak jati Kuching buktikan OKU mampu tawan Everest
Ramai pelancong teruja untuk menikmati hidangan di Malaysia.
Pengarah Agoda Malaysia Brunei, Fabian Teja berkata, hal itu membuktikan bahawa makan bukan sahaja perlu untuk kelangsungan hidup tetapi juga komponen penting dalam keseluruhan pengalaman budaya mengembara.
“Ada segelintir pelancong berasa teruja sehingga menempah restoran di luar negara sebelum mendapatkan tiket penerbangan.
"Data tinjauan kami jelas menunjukkan bahawa pelancong mencari destinasi untuk menikmati makanan dan tradisi tempatan, bukan sekadar bersiar-siar," katanya.
Tinjauan yang dijalankan antara 1 dan 19 Ogos itu melibatkan lebih 4,000 responden dari 10 negara, termasuk Indonesia, India, Jepun, Korea, Malaysia dan Singapura.
Keputusan juga menunjukkan bahawa Malaysia adalah destinasi utama bagi pencinta makanan dari Singapura, manakala pelancong Malaysia kerap melawat Thailand, Indonesia dan Taiwan untuk pengalaman kulinari mereka. — TheStar/LO TERN CHERN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram