Boboiboy 'ajar' Monsta sesuatu, hasilnya Mechamato '1st time' pecah dominasi filem animasi Jepun


  • Bizz
  • Ahad, 13 Okt 2024

Nizam di pejabat Monsta yang terletak di Cyberjaya, Selangor.

SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, industri animasi Malaysia menunjukkan perkembangan cukup luar biasa menerusi penghasilan beberapa filem dan siri animasi yang bukan sahaja mendapat liputan di dalam negara, tetapi juga di peringkat dunia.

Malah, banyak daripadanya turut berjaya mencatatkan jualan pecah panggung ketika tempoh tayangan, iaitu sesuatu yang sebelum ini sering kali agak sukar dicapai oleh mana-mana naskhah filem tanah air.

Tidak cukup dengan itu, naskhah animasi negara juga berjaya mendapat perhatian meluas masyarakat antarabangsa termasuk di Jepun, negara yang mempunyai tradisi seni animasi mencecah puluhan tahun.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta

Malah, filem animasi tempatan, Mechamato terbitan Monsta melakar sejarah apabila menjadi animasi pertama dari luar Jepun memenangi kategori Anime Fan Award pada Anugerah Festival Anime Tokyo 2023 yang berlangsung pada Februari tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Monsta, Nizam Abd Razak mengakui tidak menyangka apabila siri animasi itu menerima pengiktirafan dan sokongan luar biasa bukan sahaja di Malaysia, malah dalam kalangan warga Jepun.

Berikut merupakan temu bual bersama Nizam yang berkongsikan cerita di sebalik turun dan naik syarikat gergasi animasi tersebut yang kini sudah berusia 14 tahun.

Bagaimana produk Monsta boleh menembusi pasaran luar seperti Jepun yang mana kita ketahui Negara Matahari Terbit itu sendiri terkenal dengan industri animasinya sendiri?

Tembual Animonsta Studio Sdn Bhd CEO Nizam Abd Razak untuk ruangan bisnes M7 di Cyberjaya pada Februari 16.—AZMAN GHANI/The Star

Ketua Pegawai Eksekutif Monsta, Nizam Abd Razak.

Perkara ini diusahakan sudah lama sejak tahun 2009 yang mana kami belajar daripada produksi Boboiboy untuk pasaran Malaysia, kemudian ke Indonesia, Vietnam dan sebagainya. Justeru, pengalaman Boboiboy diterapkan pada Mechamato.

Sebelum ini, kami menjual Boboiboy ke pasaran Jepun dan Korea Selatan, tetapi mereka mengatakan terlalu Malaysian. Jadi apabila menghasilkan Mechamato proses penambahbaikan dilakukan dari segi look dan penceritaan. Mungkin, itu antara faktor siri animasi ini berjaya di peringkat antarabangsa.

Kami menembusi pasaran luar sejak 2014 bermula di Indonesia dan negara jiran lain. Begitu juga mencuba menjengah pasaran Amerika Syarikat dan Eropah, tetapi rezeki belum berpihak. Cuma kini kami menerima maklum balas yang lebih banyak untuk Mechamato berbanding Boboiboy.

Bagi Mechamato sebelum proses production, kami pitching terlebih dahulu di Perancis dan Jepun untuk mendapatkan maklum balas awal sama ada sesuai ataupun sebaliknya. Oleh itu, kami dapat menghasilkan siri animasi itu berpandukan pengalaman dan respons diterima mengikut cita rasa mereka.

Fasa awal, idea siri Mechamato bermula pada 2014 dan idea dibentangkan dengan Jepun dua tahun kemudian. Selepas melalui beberapa proses barulah production dilakukan pada 2019.

Kami berjaya masuk ke pasaran Jepun pada 2021 menerusi Cartoon Network Japan. Setakat ini Mechamato sudah menembusi 65 negara seperti Turki, Portugal, Hong Kong, Taiwan, Australia dan New Zealand.

Memasarkan produk di luar negara bukannya mudah. Justeru, berapa banyak kos diperuntukkan untuk sampai ke tahap itu? Adakah pihak lain turut sama membantu membawa produk animasi menembusi luar negara?

Tembual Animonsta Studio Sdn Bhd CEO Nizam Abd Razak untuk ruangan bisnes M7 di Cyberjaya pada Februari 16.—AZMAN GHANI/The Star

Nizam bergambar di hadapan antara poster yang diterbitkan syarikatnya.

Kos Mechamato untuk empat siri dan sebuah filem bagi lima tahun adalah sebanyak RM30 juta. Ini kos produksi. Jika untuk ke luar negara kosnya sangat tinggi bagi tujuan pemasaran. Sebagai contoh apabila ke Jepun, kos alih suara mahal kerana menggunakan suara pelakon popular yang mana ada syarat tertentu perlu dipatuhi.

Untuk ke luar negara kebanyakannya usaha kami sendiri, tetapi bukan secara terus kerana memerlukan rakan kongsi seperti Cartoon Network Japan. Ini termasuklah, kerjasama dengan pengedar kandungan kanak-kanak nombor satu seluruh dunia, Jetpack Distribution. Kalau kami sendiri hendak pasarkan ke negara lain tidak mampu kerana tiada jaringan. Di sini pentingnya kerjasama seumpama ini.

Selain itu, kami juga menerima bantuan dana daripada kerajaan menerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia untuk eksport produk.

Setakat ini berapa anugerah, pencapaian dan pengiktirafan diperoleh pihak Monsta?

Tembual Animonsta Studio Sdn Bhd CEO Nizam Abd Razak untuk ruangan bisnes M7 di Cyberjaya pada Februari 16.—AZMAN GHANI/The Star

Monsta kini sudah berusia 14 tahun.

Tidak terkira, namun pencapaian terbesar pada Tokyo Anime Award Festival 2023. Bagi memperoleh anugerah di festival besar sedemikian bukan melalui permohonan sebaliknya ia perlu ditayangkan di Jepun. Kami mengetahui tercalon pun daripada peminat.

Dimaklumkan, siri Mechamato menang berdasarkan undian popular daripada peminat. Saya difahamkan juga jumlah keseluruhan sebanyak 180,000 dengan undian dibuka untuk seluruh dunia. Biasanya Anime Fan Award sentiasa dimenangi anime, tetapi julung kalinya produk bukan dari Jepun yang menang.

Selepas Boboiboy, Papa Pipi, Fly With Yaya dan Mechamato, apa perancangan Monsta seterusnya?

Sebelum ini Papa Pipi kami hasilkan dalam bentuk cerita pendek dan tiada siri. Mungkin selepas ini ada siri dan filem untuk Papa Pipi. Selain itu, dalam Mechamato mempunyai watak Maskmana. Golongan dewasa bertanya kenapa tidak menghasilkan siri Maskmana sahaja. Jadi saya sudah memikirkan dan dalam pertimbangan sama ada Monsta mahu ke pasaran lebih matang.

InsyaALLAH kami akan fokus kepada Maskmana atau animasi lain juga akan diketengahkan. Filem terdekat dijadualkan sama ada Papa Pipi atau Boboiboy 3.

Adakah pihak Mosta mempunyai perancangan membina taman tema sendiri?

Tembual Animonsta Studio Sdn Bhd CEO Nizam Abd Razak untuk ruangan bisnes M7 di Cyberjaya pada Februari 16.—AZMAN GHANI/The Star

Nizam menunjukkan antara mainan dan patung yang dihasilkan syarikatnya berdasarkan watak animasi filem terbitannya.

Sememangnya, kami bercita-cita membuka taman tema, tetapi perlu bekerjasama dengan pihak lebih pakar berkaitan. Ini disebabkan taman tema adalah perniagaan kategori berbeza. Monsta pula jenis bisnes melibatkan kandungan. Sekiranya perlu membina sendiri taman tema rasanya tidak akan menjadi realiti. Kalau ada pihak dari dalam atau luar negara sama berminat ke arah ini kami bersedia untuk bekerjasama.

Bayangkan, di taman tema itu ada Boboiboy, Mechamato, Papa Pipi dan Maksmana umpama menjadi Monsta land. Ada pihak dari Singapura bertanyakan selepas melihat kedudukan Monsta. Ini bermakna, pasaran kita semakin luas.

Impian atau kedudukan Monsta 10 tahun akan datang?

Impian saya ingin menjadikan Monsta satu platform yang boleh mengetengahkan idea anak-anak tempatan berkaitan animasi dan watak bercirikan budaya lokal. Pun begitu, ia perlu memiliki nilai universal supaya satu hari nanti dalam tempoh lima atau 10 tahun kita boleh duduk sama tinggi dengan syarikat atau animasi lain peringkat global.

Saya yakin macam Mechamato konsepnya dan kualiti mampu pergi lebih jauh dari Jepun dan rantau ini. Dalam pada itu, mengharapkan Monsta ada 10 animasi yang boleh menjadi francais seluruh dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram