Pasar karat, Tasik Cermin dan lif tertua di Malaysia antara top 'attractive' destinasi wajib diterokai di Ipoh, Batu Gajah


  • Hobi
  • Sabtu, 14 Sep 2024

Tasik cermin merupakan salah satu port tumpuan yang wajib dikunjungi di Ipoh, Perak.

BANDAR paling sibuk di Perak iaitu Ipoh merupakan sebuah destinasi pelancongan yang patut diterokai.

Manakan tidak, banyak lokasi menarik yang menawarkan pemandangan luar biasa dan mampu menjadi 'port healing' bagi seseorang.

Kota itu juga memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat seni bina sejarah yang unik sekali gus menjadi tarikan umum.

BACA LAGI: Norehan 'tak kosong', kaki motor pernah kena paksa buka tudung, kongsi perlu arif jalan sebelum 'ride' di negara orang

BACA LAGI: Individu pertama lukis mural Sultan Pahang sampai diperkenan, Suhaimi Ali pernah 'terbang' hasilkan mural sampai ke di Indonesia

Terdapat lima tempat terindah yang patut dimasukkan ke dalam senarai 'wishlist' anda pada masa terdekat ini.

Kinta Riverfront Walk

Kinta Riverfront Walk merupakan salah satu destinasi menarik yang wajib dikunjungi di Ipoh, Perak.

Terletak di sepanjang Sungai Kinta, kawasan ini menawarkan pemandangan yang indah dan suasana yang tenang untuk bersantai.

Para pengunjung boleh menikmati laluan pejalan kaki yang dipenuhi dengan landskap yang menarik, kafe dan gerai-gerai makanan yang menyajikan hidangan tempatan.

Antara kafe yang dibuka di tempat itu adalah Daily Sekotak, Ngopdul Coffee, #Matperiuk dan Miker Food.

Selain itu, terdapat juga seni mural dan lampu-lampu hiasan yang menambah keindahan tempat ini sehingga menjadikannya tempat yang ideal untuk menikmati suasana indah terutama pada menjelang waktu malam.

'Vibes' yang dimiliki di kawasan itu menyebabkan ramai pengunjung memilih lokasi berkenaan sebagai tempat yang tepat untuk meluangkan masa bersama rakan, keluarga mahupun bersendirian.

Tasik Cermin

Jika anda gemar menikmati alam, Tasik Cermin adalah salah satu destinasi yang patut dikunjungi kerana memiliki keindahan semula jadi.

Menurut Tourism Perak, Tasik Cermin terletak di kawasan berbukit dan dikelilingi oleh hutan tropika.

Pemandangannya yang tenang dan indah menjadikannya tempat yang ideal untuk menikmati keindahan alam semula jadi terutama bagi individu yang mencari tempat yang sesuai bagi melarikan diri dari kesibukan bandar.

Pengunjung boleh lakukan aktiviti santai seperti berjalan-jalan di sekitar tasik, berkelah atau hanya berehat sambil menikmati pemandangan air yang jernih.

Tasik ini juga menjadi lokasi yang sesuai untuk fotografi kerana keindahan landskapnya.

Pasar karat

Individu yang berminat dengan barangan antik wajib datang ke pasar karat yang dibuka bermula pukul 7 pagi hingga 11 tengah hari pada Ahad di jalan Horley, Kampung Jawa, Ipoh.

Banyak barangan klasik yang memiliki memori tersendiri dijual di pasar karat.

Antaranya adalah seperti perabot lama, peralatan dapur klasik, topi, telefon lama, dulang, beg, baju lama, komik, kamera, majalah lama dan dan banyak lagi.

Lebih menarik, jam Dunhill keluaran 1980 yang diperbuat dari Jepun turut dijual di kawasan berkenaan dengan keadaan yang masih elok.

Barang-barang 'rare' itu menyebabkan ramai berminat untuk pergi ke pasar tersebut terutama peminat barangan vintaj.

Kek Lok Tong

Kek Lok Tong merupakan sebuah kuil Buddha yang terletak di Ipoh, Perak.

Kuil itu dibina di dalam sebuah gua batu kapur yang memberi suasana yang tenang dan damai, serta menarik perhatian pelawat yang mencari ketenangan dan spiritual.

Salah satu daya tarikan utama di Kek Lok Tong adalah taman landskap indah yang menampilkan pelbagai jenis flora serta kolam ikan koi.

WhatsApp Image 2024-09-12 at 7.04.39 PM

Kek Lok Tong merupakan salah satu destinasi pelancongan di Ipoh.

Selain itu, kuil itu juga mempunyai banyak patung Buddha dan struktur seni bina yang menarik sehingga mampu memberikan pengalaman yang mendalam mengenai budaya dan fahaman Buddha.

Kek Lok Tong bukan sahaja tempat untuk berdoa bagi masyarakat Buddha tetapi juga destinasi pelancongan yang popular di Ipoh kerana miliki suasana yang unik dan damai.

Kellie Castle

Jika anda mencari menjelajahi sejarah yang unik di Malaysia, Kellie Castle merupakan tempat yang tepat untuk dikunjungi.

Walaupun berada di Batu Gajah, lokasi istana lama itu tidak jauh dari bandar Ipoh dan mengambil masa kira-kira 30 minit atau 20 kilometer sahaja.

Bangunan bersejarah yang memiliki seni bina menarik itu dibangun pada tahun 1915 oleh William Kellie-Smith, seorang pendatang dari Skotlandia yang berusaha membuat istana bergaya Eropah di Malaysia.

Bagaimanapun, pembinaan terhenti pada 1926 apabila William Kellie mati di Lisbon, Portugal akibat pneumonia.

Kini, ramai gemar untuk membuat lawatan secara santai bersama rakan-rakan dan keluarga tercinta ke kawasan itu.

Untuk rekod, Kellie Castle dibuka setiap hari pada pukul 9:30 pagi hingga 5.30 petang.

Bangunan itu memiliki 14 bilik, sebuah bilik bawah tanah dan terowong rahsia.

Tidak hanya itu, Kellie Castle juga bangunan istimewa kerana dilengkapi dengan lif yang pertama dibina di Tanah Melayu.

Reka bentuk Kellie yang menggabungkan elemen-elemen seni bina Eropah, Moorish dan Hindu menjadikannya sebagai sebuah seni bina yang berbeza dari yang lain.

Jadi tidak hairanlah apabila bangunan itu menjadi salah satu port yang sering dikunjungi ramai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram