TULAR di media sosial memaparkan seorang wanita dipercayai warga asing ditahan oleh pihak polis.
Menerusi video yang tular di laman X sejak Rabu itu, turut kelihatan beberapa orang awam dan sepasukan anggota polis berada di lokasi kejadian.
Dalam video berdurasi 49 saat itu memaparkan wanita warga asing berkenaan dilihat dalam keadaan terbaring dengan tangannya diikat dipercayai untuk mengelakkan dia daripada melarikan diri.
BACA LAGI: [VIDEO] ‘You are my blood brother’, mat motor sambung tugas wanita ‘towing’ warga Palestin kehabisan minyak
Melalui maklumat awal yang dikongsikan, wanita berkenaan dipercayai cuba menghalang lalu lintas dengan berdiri di tengah jalan.
"Melalui info kata dia halang lalu lintas berdiri tengah jalan, tak bagi kenderaan jalan," katanya di X.
"Macam nak jaga trafik pula," kata seorang lagi pengguna X.
Sementara itu, polis pada Jumaat mengesahkan berjaya menahan warga asing berkenaan selepas mendapat panggilan aduan orang awam pada hari yang sama.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima satu panggilan awam pukul 4.50 petang kerana terdapat seorang perempuan warga asing berkelakuan tidak senonoh dan menghalang lalu lintas di Jalan Setia Perdana, Seksyen U13.
Tambah beliau lagi, anggota unit kereta peronda telah diarahkan ke lokasi kejadian bagi melakukan pemeriksaan.
Semasa pihak polis sampai di lokasi kejadian mendapati perempuan tersebut bersama seekor anjing miliknya dalam keadaan mabuk dan telah bertindak agresif sebelum tangkapan dilakukan.
"Pemeriksaan lanjut ke atas perempuan tersebut mendapati dia tiada pengenalan diri yang sah tinggal di Malaysia.
"Wanita itu telah dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, manakala anjingnya diserahkan kepada pihak Majlis Perbandaran Shah Alam untuk tindakan lanjut.
"Wanita warganegara Rusia berumur 32 tahun itu dipercayai hidup gelandangan dan tiada sebarang rekod jenayah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, wanita itu datang ke Malaysia sejak empat tahun yang lalu untuk melancong dan gagal untuk pulang ke negara asal kerana pandemik Covid-19 serta tidak mempunyai simpanan wang secukupnya untuk pulang.
Mohd Iqbal berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati wanita itu positif dadah.
Jelas beliau, wanita tersebut telah ditahan reman di lokap IPD Shah Alam selama 14 hari bermula Rabu sehingga 22 Oktober ini.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Mohammad Shamsul Md Salleh di talian 017-5453234," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram