'Kami sengaja berlatih di lokasi berbeza', anggota bomba Bagan Jermal amal latihan intensif demi kekal cergas


  • 112
  • Ahad, 13 Okt 2024

Setiap anggota bomba akan sentiasa memastikan mereka berlatih ke tahap yang maksimum bagi memastikan mereka sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal untuk kerja menyelamat.

HAMPIR setiap hari, di celah kehijauan Taman Botani Pulau Pinang, sekumpulan wira celoreng merah sedang bertarung bukan dengan api, tetapi dengan batasan fizikal dan mental mereka sendiri.

Para pengunjung taman yang biasanya menikmati suasana tenang sering terpukau dengan pemandangan sekumpulan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dari Balai Bomba Bagan Jermal yang gagah berani, berlatih dengan tekad yang membara agar sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal untuk kerja menyelamat.

Di bawah panas terik matahari, lengkap dengan but besi, jaket kalis api, topi keledar, dan tangki oksigen, mereka bukan sekadar berjoging, tetapi menguji kekuatan dan daya tahan untuk memastikan mereka sentiasa bersedia menghadapi bencana yang tidak dijangka.

BACA LAGI : [VIDEO] Semangat tentera namun berjiwa atlet, perjalanan luar biasa Saddam Pittli sebagai anak jati Teluk Intan

BACA LAGI : 'Tirai hitam' Kemboja, kesan darah 'melekat' 5 dekad jadi saksi betapa peritnya hidup bawah rejim Khmer Rouge

Setiap langkah mereka adalah satu peringatan bahawa tugas menyelamat bukan sekadar kemahiran, ia adalah perjuangan tanpa henti untuk kekal cergas dan berdaya juang.

Bagi anggota bomba, berlari dengan uniform dan peralatan lengkap di sepanjang taman yang berkeluasan dua kilometer itu merupakan rutin biasa buat mereka.

Mereka akan mendaki bukit mengangkat hos bomba yang berat, alat pemadam api seberat lebih 10 Kilogram (Kg) atau tong yang berisi sebanyak 25 liter air.

Di bawah panas terik matahari, lengkap dengan but besi, jaket kalis api, topi keledar, dan tangki oksigen, setiap anggota bukan sekadar berjoging, tetapi menguji kekuatan dan daya tahan untuk memastikan mereka sentiasa bersedia menghadapi bencana yang tidak dijangka.

Malah, ada dalam kalangan mereka mengikat tong air tersebut pada pengusung dan mengangkatnya di bahu sambil berjalan bersama para pelari dan pejalan kaki.

Anggota bomba tersebut juga akan berulang kali dilihat mengembangkan hos bomba mereka dan kemudian menggulungnya kembali di bawah panas terik matahari.

Menurut, Pegawai Kanan Bomba II Balai Bomba Bagan Jermal, Kartikh Katharasan, mereka akan sentiasa memastikan mereka berlatih ke tahap yang maksimum bagi memastikan mereka sentiasa bersedia dari segi mental dan fizikal untuk kerja menyelamat.

"Kami sengaja berlatih di lokasi yang berbeza untuk membiasakan diri dengan persekitaran yang tidak dikenali," katanya.

Kartikh turut menjelaskan latihan itu juga merupakan salah satu latihan bagi mempersiapkan anggota bomba untuk Cabaran Tempur Bomba Malaysia, satu pertandingan pelbagai peringkat untuk anggota bomba seluruh negara yang bermula pada 1 Mac lalu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Saadon Mokhtar berkata, jabatan beliau telah memilih anggota bomba terbaik di negeri bagi pertandingan akhir cabaran tersebut.

Saadon berkata semua anggota bomba menjalani latihan harian pukul 8 pagi.

"Ia adalah keperluan kerana kami perlu berada dalam keadaan mental dan fizikal yang terbaik pada setiap masa.

"Malah pada waktu malam, ketika bersiap sedia, anggota bomba perlu menghadiri kelas, bengkel dan perbincangan," katanya. — The Star/ ARNOLD LOH

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram