Mendiang bapa terkorban serang pangkalan Al-Maunah, ibu tetap beri restu Inspektor S Baladevan teruskan legasi polis


  • 112
  • Sabtu, 12 Okt 2024

Antara sebahagian daripada persembahan khas bertajuk 'Op Subuh' ketika sambutan Hari Pahlawan 2024 di Dataran Pahlawan Julai lalu.

DERU angin yang menghembus dari Bukit Jenalik, Sauk, Perak, membawa seribu kenangan pahit bagi Inspektor S Baladevan. Di situlah, dua dekad yang lalu, darah bapanya, Detektif Kpl R. Sanghadevan, tumpah demi negara.

Tanggal 2 Julai 2000, tragedi berdarah di Sauk meragut nyawa seorang wira yang kini hanya dikenang melalui cerita-cerita pengorbanan yang tak akan pudar dimakan zaman.

Namun bagi Baladevan, kisah itu bukan sekadar sejarah kelam. Ia adalah obor yang terus menyala dalam jiwanya, membakar semangat untuk mengorak langkah meneruskan legasi bapanya dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

BACA LAGI : 'Berkawad di dapur', diet setiap platun berbeza, pensyarah MSU 'berjuang' dalam dunia kulinari TLDM

BACA LAGI : Cabaran penebang pokok di musim tengkujuh, 14 tahun dalam lindungan ALLAH setinggi 50 meter dari atas tanah

Mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, semangat patriotisme dan keberanian bapanya kini terpancar dalam setiap langkah yang diambilnya.

"Bapa adalah idola saya," kata pegawai polis berusia 44 tahun yang kini bertugas di Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Screenshot 2024-10-11 005446

Inspektor S Baladevan

Baladevan tidak dapat menahan emosinya dan terpaksa berhenti beberapa ketika sebelum meneruskan perbualan apabila mengenangkan bapanya.

"Minat untuk menyertai polis sudah ada sejak saya kecil. Selepas mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya memberitahu bapa tentang hasrat untuk menyertai polis, tetapi dia nasihat supaya saya menyambung pelajaran terlebih dahulu sebelum menyertai pasukan.

"Bapa turut menasihati saya supaya berusaha meraih pangkat lebih tinggi daripada yang dimilikinya dan dia menggalakkan saya sambung belajar dahulu sebelum menyertai pasukan polis," katanya ketika ditemui selepas sambutan Hari Pahlawan 2024 di Dataran Pahlawan Julai lalu.

Baladevan yang juga anak kedua daripada enam beradik, menceritakan selepas tamat pengajian, beliau terus memutuskan untuk menyertai polis, dan keputusan itu mendapat sokongan penuh daripada ibunya, S Malligarani pada ketika itu.

Mengimbau kembali kejadian yang menimpa bapanya 24 tahun lepas, Baladevan berkata, tragedi berdarah itu berlaku ketika beliau baru mendaftarkan diri untuk melanjutkan pelajaran diploma dalam jurusan kejuruteraan mekanikal di Johor Bahru, Johor.

"Bapa sempat bersama saya selama tiga minggu di sana untuk tujuan pendaftaran dan urusan lain. Kejadian ini berlaku selepas seminggu dia mula bertugas," ujarnya.

"Saya sedang mengikuti kelas pengajian, apabila menerima panggilan telefon daripada pegawai polis yang memintanya pulang ke Kuala Kangsar, Perak dengan segera.

"Setibanya di rumah, barulah saya dapat tahu mengenai kejadian yang menimpa ayah saya. Melihat persembahan khas bertajuk 'Op Subuh', baru saya memahami dengan lebih jelas apa yang berlaku ketika itu," katanya.

16 anggota Al-Maunah yang berjaya ditahan ketika operasi 'Ops Subuh' di Bukit Jenalik, Sauk di Perak pada 2000. — Facebook/Orang Perak

16 anggota Al-Maunah yang berjaya ditahan ketika operasi 'Ops Subuh' di Bukit Jenalik, Sauk di Perak pada 2000. — Facebook/Orang Perak

Op Subuh, yang dilaksanakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PDRM, adalah operasi khas untuk menyerbu pangkalan Al-Maunah yang berpusat di Sauk, Perak pada 2 Julai 2000.

Kumpulan itu merancang untuk menggulingkan kerajaan pada masa itu, dan operasi berkenaan telah berjaya menewaskan ketua kumpulan Al-Maunah, yang menyebabkan semua anggota kumpulan itu kemudiannya menyerah diri.

Namun tragedi di Bukit Jenalik telah meragut nyawa Sanghadevan, seorang anggota Cawangan Khas PDRM, serta seorang anggota komando Grup Gerak Khas ATM, Truper Mathew Medan.

Sementara itu bapa mendiang Mathew, Medan Nunying, 84, menyatakan rasa bangga dengan pengorbanan anaknya.

"Melihat persembahan tadi, saya sangat sedih. Kita perlu bersama-sama mempertahankan negara ini daripada musuh. Kita semua rakyat Malaysia, ini negara kita," kata Medan Nunying. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram