Suami wanita rempuh mati pelajar UiTM Dungun mohon maaf, akui isteri berubah lepas kehilangan bayi 10 tahun lalu


  • Massa
  • Jumaat, 11 Okt 2024

Suspek wanita (tengah) yang merempuh dua motosikal hingga menyebabkan kematian tiga pelajar UiTM Kampus Dungun pada Rabu, direman empat hari bermula Khamis.

"SAYA mewakili isteri saya ingin memohon maaf kepada semua ahli keluarga."

Demikian kenyataan suami pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CR-V yang merempuh empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun sehingga meragut tiga nyawa pada malam Rabu lalu.

Jelas Azhar Ahmad, dia memang berniat untuk minta maaf kepada semua ahli keluarga pelajar terbabit namun hasrat itu terpaksa ditangguhkan atas nasihat pihak berkuasa dan rakan-rakan.

BACA LAGI: Suspek wanita rempuh 4 penuntut UiTM Dungun tak pernah terima rawatan mental

BACA LAGI: Mangsa ke-4 kena rempuh wanita disyaki kurang siuman sudah sedar di Hospital Dungun

"Saya menangis dan sangat sedih dengan kejadian itu dan saya, mewakili isteri, dengan sepenuh hati memohon maaf kepada keluarga mangsa dan semua pihak atas apa yang berlaku, ujarnya lagi.

Menceritakan semula kejadian, lelaki berusia 53 tahun itu mendakwa hanya menyedari isterinya keluar dengan selepas dia dan anak lelakinya selesai menunaikan solat Maghrib.

"Selepas solat, saya mendapati isteri saya tiada di rumah dan pintu pagar rumah terbuka luas, manakala kereta yang diletakkan di depan rumah juga tiada.

"Saya sebenarnya saya sudah sorok kunci kereta, tidak tahu bagaimana isteri saya boleh jumpa," jelasnya.

Azhar berkata, dia hendak keluar mencari isterinya apabila menerima panggilan daripada rakan yang melihat kenderaannya terlibat dalam kemalangan.

"Saya dan anak bergegas ke lokasi kejadian kira-kira dua kilometer. Hati saya sebak apabila melihat empat remaja lelaki terbaring di situ," katanya.

Azhar turut meluahkan rasa kesal yang mendalam di atas kemalangan itu dan merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan isterinya malam itu.

Katanya, isterinya yang sudah dikahwininya selama 30 tahun itu merupakan seorang isteri serta ibu yang baik dan penyayang tetapi pernah mengalami masalah kesihatan mental 10 tahun lalu selepas dia mengalami kehamilan luar rahim dan bayi itu digugurkan.

"Dia koma selama empat hari dan kehilangan banyak darah," katanya.

"Selepas sedar, dia menjelaskan isterinya berubah dan mula berhalusinasi dan bercakap seorang diri.

“Saya sudah membawa isteri saya mendapatkan rawatan di hospital dan juga rawatan tradisional, namun tiada sebarang perubahan," katanya.

Tambah Azhar, walaupun dalam keadaan tersebut, isterinya masih menunaikan tanggungjawabnya, mengemas rumah dan memasak.

“Dia juga sangat menyayangi anak dan cucu, sering membeli dan memasak makanan untuk mereka," katanya.

Media sebelum ini melaporkan tiga pelajar UiTM Cawangan Dungun maut, manakala seorang lagi parah selepas dirempuh sebuah SUV pada Rabu.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Khairil Anwar Jamaludin, Muhammad Akmal Md Tukirin, Ku Adib Aizad Ku Azmi, masing-masing berusia lingkungan 20-an.

Sementara itu, mangsa keempat Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridwan, 20 mengalami kecederaan parah kini dilaporkan sudah sedarkan diri di Hospital Dungun. — The Star/Ho Jia Wen

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram