TMJ terima mengadap PMX dan Hamidin, bincang perancangan bola sepak negara


  • Primer
  • Rabu, 23 Okt 2024

Tunku Ismail (kanan) ketika terima mengadap Anwar Ibrahim dengan pelbagai perkara sempat dibincangkan. — X/TMJ

TIDAK boleh dinafikan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim amat mementingkan perkembangan arena bola sepak kerana pelbagai usaha dicurahkan untuk melihat sukan terbabit terus berkembang.

Meskipun berstatus pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), ia bukan alasan buatnya daripada memberi penekanan terhadap pembangunan bola sepak tanah air dengan perkara itu dapat disaksikan sejak bertahun-tahun lamanya.

Malah, baru-baru ini, Tunku Ismail sekali lagi sempat berbincang mengenai perkara itu ketika menerima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

BACA LAGI: 'Pemilik Liverpool, Man United pun tak block fans', tindakan FAM sekat penyokong diselar pemerhati

BACA LAGI: FAM ucap terima kasih kepada PM Anwar, mahu guna sebaiknya dana RM15 juta

GakVMhPaMAAWAp-

Dari kiri: Hamidin, Tunku Ismail, Anwar dan Hannah Yeoh ketika pertemuan tersebut.

Perkara itu dikongsikan di akaun X peribadinya memaparkan keempat-empat figura berkenaan dengan mereka sempat berbincang beberapa perkara dalam pertemuan terbabit.

"Antara perkara yang dibincangkan adalah mengenai perancangan serta pembangunan sukan bola sepak negara dan pasukan kebangsaan," tulisnya sambil menyertakan beberapa keping gambar.

Peminat bola sepak tanah air sudah tentu terus menanti-nantikan isi daripada perbincangan terbabit memandangkan hala tuju sukan terbabit masih belum cukup jelas sehingga hari ini.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025 baru-baru ini, kerajaan mengumumkan RM230 juta akan diperuntukkan bagi pembangunan sukan dengan RM15 juta daripadanya disalurkan kepada FAM.

Dana berkenaan akan digunakan bagi Harimau Malaya, pasukan bawah 18 (B-18) dan B-13 untuk mencari jurulatih terbaik yang diharapkan dapat menaikkan lagi reputasi dan kebolehan skuad negara.

Peruntukan sebanyak RM15 juta itu akan disalurkan kepada FAM selaku badan induk membuktikan bahawa bola sepak masih kekal menjadi sukan nombor satu tanah air.

Dalam pada itu, pertemuan Tunku Ismail dan Anwar Ibrahim turut membolehkan perbincangan mengenai pembangunan negeri Johor dengan mereka turut disertai Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

"Dalam pertemuan ini, pelbagai isu-isu terkini dan berkaitan negeri Johor telah disampaikan serta dibincangkan," tulisnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram