ARENA bola sepak tempatan dikejutkan sebelum ini dengan penubuhan sebuah kelab bernama Carabat FC yang ditunjangi oleh pelakon terkenal, Sharnaaz Ahmad.
Penubuhan kelab itu terus meraih tumpuan meluas pengikut bola sepak tempatan ditambah dengan populariti Sharnaaz sebagai seorang anak seni.
Menurut Sharnaaz, dia menubuhkan kelab tersebut bersama-sama beberapa rakan yang lain dan masih lagi 'hijau' dalam bola sepak.
"Carabat FC ini ditubuhkan menerusi idea bersama dengan kawan-kawan saya yang turut meminati bola sepak. Kalau diikutkan, kami sangat baharu dalam bola sepak, baru mula secara sepenuhnya pada September.
"Kami mulakan dengan melakukan sesi pemilihan 22 pemain dan daripada situ, kami adakan perlawanan persahabatan dan ALHAMDULILLAH, dengan rekod dua kemenangan diperoleh kami membakar lagi semangat para pemain," kata Sharnaaz kepada Majoriti.
Merupakan kelab yang berpangkalan di Shah Alam, Selangor dan Kuala Lumpur, Sharnaaz berkata pasukannya dalam proses untuk menyertai Liga Super FAS anjuran Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Menurutnya, Liga FAS merupakan saingan berprestij yang cukup dikenali dalam kalangan kelab-kelab amatur di Lembah Klang.
"Liga Super FAS ini sangat berprestij buat kelab-kelab amatur dan kami berminat untuk menyertainya. Buat masa sekarang kami masih dalam proses rundingan dengan FAS untuk memenuhi beberapa kriteria yang diperlukan. Namun begitu, semuanya berjalan dengan lancar.
"Ia adalah misi jangka pendek buat Carabat untuk layak bertanding dalam liga," jelasnya.
Carabat FC dalam proses untuk menyertai Liga Super FAS.
Minat saja tidak mencukupi untuk menjadi pemilik kelab bola sepak, sebaliknya ia memerlukan inspirasi bagi memastikan aspirasi berjaya.
Disebabkan itu, Sharnaaz secara terbuka menjadikan pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim sebagai inspirasinya.
"Idola saya dalam kalangan pemilik kelab ini sudah pastinya TMJ. Saya banyak belajar daripada caranya menguruskan kelab.
"Kalau diikutkan, saya bukannya membeli kelab sebaliknya menubuhkan kelab dan bermula daripada bawah. Misi saya adalah memastikan kelab ini terus bersaing dalam liga dan boleh pergi ke peringkat lebih tinggi di masa akan datang.
"Dalam jangka panjang, saya mahu kelab ini mempunyai pasukan di peringkat kanak-kanak dan pasukan wanita," ujar Sharnaaz. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram