Metodologi tersusun, sokongan TMJ antara rahsia Akademi JDT hasil pemain persis Arif Aiman


  • Podium
  • Sabtu, 12 Okt 2024

Akademi JDT kini mula menghasilkan ramai pemain-pemain muda berkualiti. — JDT

WAKIL negara, Johor Darul Ta'zim (JDT) mencatatkan kemenangan pertama apabila menewaskan kelab China, Shanghai Shenhua FC 3-0 pada perlawanan kedua Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/25, pada 1 Oktober lalu.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor itu skuad Harimau Selatan bimbingan Hector Bidoglio selesa mendahului menerusi jaringan Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-11.

Sebelum Jorge Leonardo Obregon Rojas berjaya menanduk masuk bola ke gawang pasukan pelawat pada minit ke-26 menjadikan kedudukan 2-0.

BACA LAGI: Watak utama JDT benam Shanghai Shenhua, Juan Muniz diiktiraf AFC sebaris bekas bintang Liverpool, Real Madrid

BACA LAGI: Perkuat pasukan andai ada peluang jumpa JDT, CR7 mahu Al-Nassr segera beli kapten Manchester City

Babak kedua perlawanan menyaksikan kedua-dua pasukan melakukan serangan bertubi-tubi sebelum JDT menjaringkan gol ketiga melalui sepakan percuma Juan Muniz Gallego dari luar kotak penalti pada minit ke-80.

Kemengan 3-0 JDT itu menunjukkan JDT berada di kelas tersendiri dengan Arif Aiman tersenarai antara penjaring terbanyak ACLE dengan tiga gol selepas meledak dua jaringan semasa bertemu Shanghai Port FC pada 18 September lalu.

Arif Aiman yang hadir dari Akademi JDT membuktikan kelab tempatan boleh menghasilkan pemain terbaik walaupun ditolak oleh Akademi Mokhtar Dahari.

Penganalisis video JDT II, Pol Corpas Cuatrecasas berkata metodologi yang disusun oleh Pengarah Akademi JDT, Javi Jordan dengan sokongan pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah membuahkan hasil.

"Terima kasih kepada kerja cemerlang yang telah dilakukan selama bertahun-tahun, dengan metodologi yang tersusun serta tanggungjawab dan konsistensi dalam pelaksanaannya, Javi Jordà selaku pengarah akademi.

"Ia memberi pengaruh besar terhadap pertumbuhan akademi ini.

"Selain itu, penghargaan juga wajar diberikan kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) atas sokongan dan pengurusan yang menyokong perkembangan akademi ini.

"Akhirnya terdapat pemain-pemain berbakat yang boleh mengikuti proses latihan, melalui peringkat demi peringkat sehingga mencapai tahap tertinggi dalam struktur dalaman pasukan," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, struktur yang kukuh dalam setiap lapisan peringkat Akademi JDT sehingga ke pasukan utama memberi sumbangan terbesar kepada kejayaan Harimau Selatan.

"Saya tidak tahu tentang pasukan lain, tetapi setakat ini JDT adalah satu-satunya kelab profesional dengan akademi untuk pemain muda dengan laluan yang jelas menuju ke pasukan profesional.

"Akademi ini mempunyai struktur yang kukuh dan identiti yang jelas, bermula dari pasukan B-12.

"Latihan pemain dibina berdasarkan sistem dan metodologi yang sangat spesifik untuk penambahbaikan kemahiran pemain," ujarnya.

Bila ditanya apakah metodologi yang digunakan JDT untuk menghasilkan pemain-pemain berbakat seperti Arif Aiman, Pol memilih untuk tidak menjawab kerana ia merupakan rahsia kelab.

Untuk info, sebelum ini Pol berkhidmat sebagai penolong jurulatih Bawah-21 dan ketua analisis akademi LCS.

Tidak sampai setahun bersama kelab gergasi Singapura itu, Pol dilamar pula menjadi sebahagian keluarga JDT dengan menggalas peranan sebagai penganalisis video untuk skuad simpanan Harimau Selatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram