PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan peruntukan RM15 juta yang diberikan bagi menyokong pembangunan sukan bola sepak negara.
Kerajaan Madani juga memperuntukkan dana itu untuk pembangunan bola sepak bagi membantu Harimau Malaya, pasukan bawah 18 (B-18) dan B-13 bagi mendapatkan jurulatih terbaik, mengikuti sesi latihan, serta diberi ganjaran yang setimpal kepada pemain.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman menjelaskan badan induk itu akan merealisasikan hasrat Perdana Menteri untuk melihat prestasi skuad kebangsaan berada pada tahap terbaik.
BACA LAGI: Belanjawan 2025: RM230 juta untuk pembangunan sukan, RM15 juta diberi kepada FAM
BACA LAGI: Belanjawan 2025: Pakar jangka Malaysia perlu 10 tahun sebelum kembali capai lebihan fiskal seimbang
"Sudah tentu FAM amat berbesar hati dengan kesungguhan dan komitmen daripada Datuk Seri Anwar dalam memberikan peruntukan RM15 juta.
"FAM akan memanfaatkan sebaiknya dana yang disediakan bagi meningkatkan prestasi dan memperkasa skuad kebangsaan.
"Beberapa penambahbaikan akan dilakukan buat skuad kebangsaan sejajar dengan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Terdahulu, Anwar yang juga merangkap Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan sebanyak RM230 juta bagi tujuan untuk menambahbaik pembangunan sukan yang meliputi program Road To Gold sehingga ke industri e-sukan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Pembangunan sukan negara terus diperhebat dengan peruntukan lebih 230 juta ringgit. Ini meliputi, Program podium, latihan atlet dan Road to Gold; Persiapan atlet para menjelang sukan para dunia termasuk Deaflympic Tokyo 2025.
"Kerja-kerja menyelenggara dan membaiki kemudahan belia dan sukan seluruh negara; serta geran padanan sukan sebagai galakan penganjuran pertandingan sukan oleh persatuan dan Pertubuhan bukan kerajaan (NGO)," katanya.
Beliau turut mengumumkan peruntukan RM20 juta untuk memperkasa ekosistem e-sukan meliputi pembangunan bakat serta naik taraf arena e-sukan serta RM1 juta untuk pembangunan sukan kriket. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram