Bukti masih sayang, bekas jurulatih serap 'roh' 2022, optimis JDT boleh jinakkan Gwangju


  • Podium
  • Isnin, 21 Okt 2024

Mora (tengah) turut mengharapkan keajaiban berlaku dalam aksi JDT bertemu Gwangju. — Facebook/JDT

PERTEMUAN sengit antara Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Gwangju FC bagi saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) pada Selasa ini antara yang ditunggu-tunggu oleh kedua-dua penyokong kelab.

Perlawanan ketiga Harimau Selatan bagaimanapun tidak semudah yang dijangka apabila wakil Korea Selatan itu akan tiba dengan mentaliti untuk meneruskan rentak kemenangan mereka selepas berhasil memungut tiga mata dalam dua aksi sebelumnya.

Manakala, Harimau Selatan yang kini berada pada kedudukan kedua dengan empat mata hasil keputusan seri menentang Shanghai Port dan menang ke atas Shanghai Shenhua pula berpeluang untuk menjadi pendahulu Kumpulan A jika berhasil menewaskan Gwangju.

BACA LAGI: Manfaat dapat 'cuti rehat' liga, JDT bertolak awal ke Korea Selatan

BACA LAGI: [VIDEO] Akui Selangor bukan lawan mudah, Gabriel Nistelrooy beri kredit buat skuad muda JDT

Hasrat untuk menyaksikan JDT merekodkan sejarah baharu menentang Gwangju bukan hanya dimanifestasikan oleh penyokong Harimau Selatan, malah, bekas jurulatih iaitu Benjamin Mora turut mengharapkan keajaiban berlaku.

Menerusi perkongsian di Insta Story, Mora yang pernah membimbing JDT dari musim 2016 hingga 2022 optimis bahawa bekas pasukannya itu boleh mencipta kejutan sebagaimana pernah dibuatnya pada 2022.

Pada saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022, JDT melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 dalam aksi terakhir Kumpulan I, yang menyaksikan mereka muncul juara kumpulan selepas menghimpun 13 mata daripada enam aksi.

"Kenangan hebat yang sangat besar. JDT sentiasa di hati saya dan kejayaan berlaku kerana mastermind daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ)," katanya menjelang perlawanan JDT menentang Gwangju.

WhatsApp Image 2024-10-21 at 16.32.40

Tangkap layar Insta Story Mora.

Hantaran berkenaan jelas menunjukkan yang Mora bukan hanya masih merindui bekas kelabnya itu namun pada masa sama, sentiasa mendoakan kejayaan JDT pada mana-mana kejohanan termasuk pentas besar seperti ACLE.

Dalam pada itu, JDT sebenarnya berupaya untuk meraih tiga menentang Gwangju susulan kini skuad kendalian Lee Jung-hyo bergelut untuk mencari rentak dalam saingan K League 1 selepas hanya mencatatkan seri 1-1 menentang Daegu.

Gwangju dilihat tidak berupaya mengekalkan rentak terbaik dalam saingan liga selepas hanya mencatatkan satu kemenangan dalam empat perlawanan terakhir mereka. Manakala, JDT pula tidak tewas dalam mana-mana perlawanan yang diharungi pada musim 2024/2025. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram