Atlet bertaraf dunia tapi Malaysia ketinggalan dalam industri e-Sukan


  • eSports
  • Sabtu, 08 Jul 2023

Pasukan Todak menjuarai MPL MY musim ke-11. — Facebook

PERMAINAN secara dalam talian ataupun yang lebih dikenali sebagai e-Sukan bukan lagi sesuatu yang baharu di Malaysia.

Apa yang membezakan e-Sukan dengan sukan sebenar hanyalah lebih kepada jaringan internet dan peralatan yang akan digunakan, sama ada untuk bermain atau menonton perlawanan.

Bukan sekadar menyeronokkan, tetapi e-Sukan juga menawarkan hadiah lumayan dan populariti jika benar-benar berkecimpung dalam industri ini sebagai pemain profesional.

Malaysia tidak terkecuali daripada melahirkan atlet e-Sukan bertaraf dunia yang mampu membawa cabaran serta kejayaan.

Pelbagai kejayaan yang diperoleh daripada atlet-atlet terbabit sekali gus menunjukkan betapa industri e-Sukan di negara turut berkembang pesat.

Walaupun negara ini banyak melahirkan atlet e-Sukan bertaraf dunia namun Malaysia masih ketinggalan berbanding negara lain dalam industri tersebut.

Lan Todak

Khairul Azlan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Todak, Khairul Azlan atau lebih dikenali sebagai Lan Todak merasakan Malaysia mungkin sedikit ketinggalan berbanding negara lain dalam industri tersebut.

Beliau bagaimanapun menaruh kepercayaan bahawa e-Sukan akan menjadi lebih besar pada masa hadapan.

"Kita agak ketinggalan berbanding negara-negara jiran yang lain, namun, selangkah demi selangkah dibuka ke arah kemajuan e-Sukan di negara ini," katanya kepada Majoriti.

Menurut Lan Todak, kejohanan e-Sukan serta pendedahan yang lebih baik harus dilaksanakan dalam membentuk komuniti e-Sukan yang lebih berjaya.

"Jika dilihat, komuniti e-Sukan sudah mula timbul bagaikan cendawan selepas hujan, namun jika tiada inisiatif dalam mengekalkannya seperti kejohanan yang banyak, pendedahan kepada pemain-pemain muda maka sukar juga untuk mencari dari akar umbi.

"Selain sokongan daripada kerajaan, sokongan daripada keluarga juga penting e-Sukan tidak boleh dipandang negatif, percayalah Malaysia mempunyai ramai pemain bakat terpendam yang belum digilap," jelasnya.

Barisan pemain dan kejurulatihan Todak bagi musim 2023. Facebook

Katanya lagi, komuniti e-Sukan juga perlu bijak menguruskan pemain untuk terus kekal di dalam industri.

"Banyak pihak perlu bertanggungjawab, sebelum ini, kita dapat lihat, banyak pemain dan kumpulan yang hilang selepas memenangi kejohanan, justeru itu, perancangan untuk terus kekal itu amat penting.

"Kita bukan bermain sekadar suka-suka, e-Sukan adalah satu industri besar serta sedang berkembang, pemerhatian lebih teliti perlu dilaksanakan," ujarnya. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram