WARGA emas, Michael Chew mempamerkan ketabahan, disiplin dan semangat tinggi yakni sifat-sifat yang diasah sejak berkecimpung sebagai pegawai tentera laut.
Meskipun bergelut dengan penyakit lumpuh pada usia 73 tahun, semangat gigih Michael sebagai bekas tentera laut tetap tidak berbelah bahagi.
Michael dikenali sebagai tokoh tentera laut yang mesra dalam komuniti tempatan walaupun menghadapi pelbagai cabaran, selain menawarkan naratif yang kaya dengan pengalaman, cabaran dan kejayaan.
BACA LAGI : Nyawa di hujung tanduk, Dr Mohd Khir Rezza imbau semula pengalaman rawat tentera parah akibat letupan
BACA LAGI : Cabaran penebang pokok di musim tengkujuh, 14 tahun dalam lindungan ALLAH setinggi 50 meter dari atas tanah
Dilahirkan di Kuala Kangsar, Perak, zaman kanak-kanak Michael dimeriahkan dengan penghijrahan ke pelbagai lokasi, berikutan kerjaya bapanya sebagai pegawai polis.
"Kami kerap berpindah. Batu Gajah, Sitiawan, Taiping, Ipoh (Perak) dan akhirnya Kuala Lumpur.
"Saya juga pernah tinggal bersama datuk di Kuala Lipis, Pahang. Saya masih ingat lagi dia berpakaian seperti lelaki Inggeris dengan kemeja lengan panjang dan seluar berfabrik kapas pada 1950an," katanya.
Menurut Michael, beliau melanjutkan pendidikan di Institusi Teknikal Kuala Lumpur dan ketika berusia 18 tahun , beliau memutuskan untuk menjalani latihan dengan Tentera Laut Diraja di Plymouth, England pada 1969.
"Saya menerima panggilan untuk pergi ke luar negara bagi memperoleh diploma dan sudah tentu saya meraihnya. Ia adalah perantisan lima tahun bermula dengan latihan asas dan disiplin tentera laut untuk HMS Fisgard," kongsinya.
Michael pernah terlantar di katil selama enam bulan selepas diserang angin ahmar.
HMS Fisgard adalah sebuah kapal perang tentera laut British yang digunakan dalam perkhidmatan berbeza.
Meskipun Michael sudah mendaftar dalam bidang Kejuruteraan Elektrik, beliau dan rakan-rakannya perlu menguasai kerja asas dalam bengkel yang diperlukan oleh jurutera buatan.
Jelasnya, latihan ketenteraan laut memerlukan tempoh setahun berada di laut serta menawarkan latihan industri yang unik.
"Kami belayar ke seluruh dunia. Dari Hong Kong ke Jepun sebelum kembali ke Singapura," katanya lagi.
Kapal yang dikenali HMS Scylla adalah aset penting pada tempoh tersebut, berikutan pelayaran meluas ke Australia Barat manakala sekatan Beira di Rhodesia.
Dua tahun berikutnya, Michael menyambung kembali pembelajaran di kolej dekat HMS Collingwood, Portsmouth.
"Saya melangkau satu penggal, memendekkan tempoh tinggal saya di England selama beberapa bulan," katanya.
Michael ketika menjalani latihan dengan Tentera Laut Diraja di Plymouth, England pada 1969.
Kongsinya lagi, awal pertemuan bersama rakan sejawatnya adalah detik yang mana mereka masih mengenali budaya, memahami loghat serta dialek masing-masing.
"Selama dua minggu ketika kami mula-mula tiba, kami hanya mengangguk dan tersenyum. Ada juga warga Nigeria dan selebihnya adalah pemuda Inggeris dari Britain.
"Mereka bercakap dengan loghat yang berbeza dan pada masa itu kami langsung tidak memahami sepatah kata tentang apa yang mereka perkatakan.
"Terdapat Brummies dari Birmingham, Geordies dari Newcastle, Jocks dari Scotland, Cockneys dari London dan pastinya mereka tidak bercakap bahasa Inggeris dengan warga asing pada 1969.
"Pada tahun itu juga merupakan kali pertama kami diperkenalkan kepada makanan Inggeris seperti 'bangers and mash','fish and chips' serta pai dengan kacang hijau basah.
"Kami juga disajikan stik untuk makan malam dan seorang lelaki Nigeria akan menuang krim kastard ke atas stiknya seterusnya menyebabkan semua orang berasa pelik.
"Ada kalanya mereka cuba membuatkan kami rakyat Malaysia berasa seperti berada di rumah sendiri dengan menghidangkan kari dan nasi, namun kari mereka berasa manis dan ada kismis di dalamnya," tambahnya lagi.
Michael ketika bersiar-siar di Looe, Cornwall pada masa mudanya.
Perjumpaan dengan rakan seperjuangan
Menurut Michael , beliau masih lagi berhubung dengan beberapa rakannya yang bersama-sama menjalani latihan di HMS Fisgard pada 55 tahun lalu.
"Kami cuba berjumpa sekurang-kurangnya dua kali sebulan. Kumpulan saya mempunyai 12 ahli dan tujuh daripadanya sudah meninggal dunia.
"Sehubungan itu, perjumpaan bersama rakan yang lain itu merupakan simbol penting untuk persahabatan dan tanda sokongan kami terhadap satu sama lain.
"Sebenarnya, apabila udah melangkaui usia 70 tahun, peluang untuk mengeratkan persahabatan merupakan peristiwa penting buat kami," ujarnya
Tiffy-do dan nafkah kepada keluarga
Tiffy-do dijadualkan berlangsung pada Oktober ini dan ia adalah sesuatu yang dinantikan oleh Michael .
Tiffy-do atau Tiffy adalah istilah slanga yang digunakan oleh tentera British untuk merujuk kepada 'artificer', iaitu juruteknik mahir atau jurutera teknikal yang bertanggungjawab untuk penyelenggaraan dan pembaikan peralatan kompleks seperti mesin dan sistem elektronik di kapal tentera laut diraja.
'Do' pula merujuk kepada operasi yang dilakukan oleh Tiffy. Articifers biasanya mempunyai latihan yang tinggi dan berkemahiran dalam bidang kejuruteraan mekanikal, elektrik atau elektronik.
Michael (kiri) bersama rakan-rakanya yang bersama-sama menjalani latihan di HMS Fisgard pada 55 tahun lalu.
Mengimbau kembali memori ketika menjalani latihan di Britain, Michael mengakui bahawa beliau hanya menerima elaun sebanyak RM170 pada ketika itu.
"Daripada jumlah tersebut, saya akan beri sebanyak RM90 setiap bulan kepada ibu. Jika dikenang semula, ibu selalu sedih kerana kami jarang berhubung dan ada kalanya, kami tidak dapat mendengar khabar berita daripada keluarga pada tempoh yang lama.
"Namun, pada setiap penggal, ibu akan menghantar sambal udang kering kepada saya. Saya ingat lagi, ibu akan menggoreng udang dan memasukkannya ke dalam balang jem.
"Setiap kali saya mendapat balang sambal, semua rakan kolej Malaysia akan datang dan makan bersama saya," katanya sambal mengenang pilu ibunya yang penuh sentiasa bekerja keras menyatukan keluarga sama ada susah dan senang.
Peralihan kepada kehidupan awam
Selepas tujuh tahun berkhidmat dalam tentera laut, kerjaya Michael terjejas berikutan deria pendengaran yang merosot.
"Saya menjadi pekak dan terpaksa berhenti kerja," jelasnya.
Beliau kemudian menyertai O'Connors di Singapura sebagai jurutera jualan, menggandakan gaji tentera laut dan ketika itu, dia turut diberi gelaran 'Six Million Dollar Man' atas prestasi cemerlangnya di tempat kerja.
Peranan baharunya adalah menyediakan tempat duduk barisan hadapan kepada perindustrian pesat Singapura.
"Saya melihat Singapura berubah menjadi salah satu pembuat kapal terbesar di dunia," katanya yang menjual kompas giro dan peralatan marin ke limbungan kapal.
Kerjaya Michael semakin berkembang yang mana beliau mampu membeli rumah dalam tempoh tiga tahun selepas meninggalkan dunia tentera laut.
Bercerita lanjut, Michael berkata, kehidupannya dipenuhi dengan pengalaman yang tidak boleh dijual beli termasuk mengembara sejauh 7,000 kilometer (km) merentasi Eropah, bertemu dengan rakan baharu dan berkenalan dengan jururawat Malaysia di London.
"Saya pernah menunggang skuter Lambretta 150cc dari Porstmouth ke London, malah pernah sampai ke Manchester ketika musim sejuk semata-mata untuk berjumpa ibu bapa angkat saya.
"Di Singapura, saya mereka bentuk dan mengeluarkan telefon lebuh raya kecemasan serta memasang sistem komunikasi pada kapal tentera laut di seluruh Asia.
"Di Sabah pula, kami makan secara sederhana tetapi selalu minum bir dan tapai," katanya.
Kehidupan semakin diuji
Pada masa sama, ketahanan mental dan fizikal Michael semakin diuji apabila bapa kepada tiga anak itu diserang angin ahmar pada usia 66 tahun.
"Saya memandu sendiri ke hospital dan imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) mengesahkan terdapat dua blok kecil.
"Saya terlantar di katil selama enam bulan tetapi saya tetap berjuang. Ketika ini usia saya 73 tahun, apa lagi yang boleh saya lakukan selain teruskan kehidupan.
"Hari ini saya boleh menggunakan bahagian kiri saya tetapi pergerakan sangat perlahan," katanya yang kekal positif meskipun tempoh pemulihan penyakitnya mengambil masa lama.
Beliau secara rutin mencatat sebanyak 10,000 langkah di sekitar taman Padang Asam di SS14, dekat Subang Jaya, Selangor sekiranya mempunyai masa terluang.
Ketika ini, beliau tinggal bersama isterinya, Shelly dan anak lelaki mereka yang menghidap penyakit Sindrom Down.
Sebelum ini, Michael yang pernah menjadi ahli sukan dan gemar melakukan aktiviti menyelam juga masih mempunyai keazaman untuk terus bergerak dan kekal sihat.
Apatah lagi, katanya, latar belakang ketenteraan dan didikan berdisiplin yang ada pada dirinya sangat penting dalam mengekalkan keyakinannya.
"Saya berfikir positif bahawa sifat saya berasal daripada didikan ketenteraan sekali gus menjadikan saya dan adik-beradik lain sangat berdikari," katanya.
Imbauan kenangan lama dan cita-cita
Hari ini, kehidupan Michael adalah gabungan daripada imbauan kenangan lama dan cita-citanya.
Meskipun beliau gemar mengimbau kembali cerita dari masa lalunya kepada orang ramai, Michael tetap bersemangat dan sekiranya mempunyai peluang, dia ingin mengembara ke luar negara sekali lagi.
"Saya mahu menaiki kereta api dari Vladivostok melalui Mongolia ke Moscow, semata-mata untuk merasai makanan sepanjang perjalanan.
"Saya juga sentiasa mahu menyelam ke dan melihat sendiri kapal HMS Repulse dan Prince of Wales yang karam di lautan di Kuantan, Pahang," katanya.
Kisah Michael adalah bukti kekuatan daya tahan, disiplin dan pandangan positif ketika beliau menyertai tentera laut hingga berdepan cabaran kesihatan, yang sememangnya memberi satu inspirasi.
"Hidup perlu diteruskan. Anda tidak seharusnya membiarkan masa bersama orang tersayang terbuang begitu sahaja," tambahnya. — The Star/ ANN MARIE CHANDY
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram