BAYANGKAN berada pada ketinggian 50 meter dari atas tanah, berdiri di atas dahan pokok yang besar, memang bukan satu tugas mudah apabila hanya beberapa langkah dari angin kuat yang meniup dedaunan.
Dari ketinggian ini, pemandangan sekeliling kelihatan jauh lebih luas, namun pada masa yang sama, risiko semakin terasa. Di bawah, kelihatan rumah-rumah kecil, jalan raya, dan kereta yang bergerak, semuanya terdedah kepada bahaya pokok tumbang.
Angin yang kuat menghentam muka, manakala cengkaman tangan pada peralatan pemotong semakin erat. Setiap langkah di atas dahan memerlukan keseimbangan yang cermat, kerana sedikit sahaja kesilapan boleh mengakibatkan kejatuhan yang membahayakan buat sang penebang pokok demi sesuap rezeki.
Berada pada ketinggian itu, Muhammad Ali Muhd Nopiah tahu bahawa setiap keputusan perlu dibuat dengan penuh berhati-hati. Pokok yang besar ini bukan sekadar kayu dan daun, tetapi simbol keselamatan dan tanggungjawab yang besar.
Sambil memeriksa dahan yang ingin dipotong, pemuda berusia 27 tahun yang lebih mesra dipanggil Ali sedar betapa pentingnya tugasnya.
Sedikit sahaja kesilapan atau dahan yang tidak ditebang dengan betul boleh membawa bencana di bawah.
"Alhamdulillah, selama 14 tahun saya mengambil upah memotong pokok, saya masih dalam lindungan ALLAH.
"Sejujurnya, ia bukanlah tugas yang mudah dan sangat mencabar tetapi niat itu yang penting sebenarnya. Kita potong dan tebang pokok bukan secara suka-suka tetapi demi keselamatan orang sekeliling," katanya kepada Majoriti.
Ali sedar setiap kali khidmatnya diperlukan, tugasnya bukan sekadar memotong pokok tetapi lebih usaha untuk mengelakkan malapetaka selain mencari rezeki yang halal.
Menurut bapa kepada seorang anak itu lagi, musim tengkujuh sering membawa angin kencang dan hujan lebat yang boleh menyebabkan pokok tumbang bila-bila masa.
Akar yang longgar dan dahan besar yang rapuh menjadi risiko serius, bukan hanya kepada harta benda, tetapi juga kepada nyawa manusia.
Bagi Ali, setiap kali dia menjalankan tugasnya, dia sedar bahawa tugas tersebut bukan sekadar memotong pokok. Ia adalah usaha untuk mengelakkan malapetaka yang boleh menimpa mereka yang tidak bersalah.
"Walaupun ia 'pekerjaan' tetapi saya rasa ia juga tanggungjawab saya memastikan keselamatan orang awam. Setiap tugas akan saya lakukan dengan teliti.
"Saya sendiri berminat dengan pekerjaan ini sejak berumur 13 tahun lagi kerana mengikut jejak arwah ayah saya yang juga seorang pemotong pokok.
"Asas pertama sekali mestilah mempunyai minat dalam bidang ini, kerana jika kita mempunyai minat kita akan berusaha mempelajari teknik-teknik menebang pokok dengan praktikal, kemahiran seperti memanjat, menebang dan teknik mengenali chainsaw (gergaji) mengikut jenis pokok.
"Mula-mula memang takut tetapi lama-kelamaan sudah terbiasa," ujarnya.
[KLIK GAMBAR UNTUK TONTON VIDEO]
Menurut Ali, setiap pokok mempunyai cabaran dan risikonya yang tersendiri.
Jelas Ali, setiap pokok yang ditebang mempunyai cabarannya yang tersendiri.
"Tiada spesifik jenis pokok yang susah... kerana kesukaran akan dikira berdasarkan risiko yang perlu dihadapi seperti pokok berdekatan struktur bangunan, wayar elektrik, rumah dan lain-lain lagi.
"Kebiasaannya saya akan survei keadaan pokok sebelum membuat pemotongan," katanya.
Cerita anak jati Batu Kurau, Perak itu lagi dia banyak menerima tempahan di sekitar negeri Perak, Selangor dan Kuala Lumpur bergantung kepada tempahan pelanggan.
"Sebelum memulakan kerja, adalah penting untuk menilai keadaan pokok yang ingin ditebang.
"Ini termasuk mengenal pasti sama ada pokok tersebut berbahaya atau mempunyai risiko yang perlu diambil kira.
"Orang awam mungkin melihat pokok yang tinggi dan besar boleh memberikan teduhan yang indah, tetapi bagi saya ia juga berpotensi menjadi ancaman serius jika dalam keadaan tidak stabil.
"Terdapat beberapa tanda-tanda pokok yang berisiko tumbang atau membahayakan keselamatan sekeliling, terutamanya semasa musim tengkujuh atau apabila terdapat cuaca ekstrem," ujarnya.
Menutup bicara, Ali sempat menitip pesanan buat masyarakat di luar sana tentang bahaya pokok.
"Antara yang perlu diperhatikan tanda-tanda seperti kerosakan pada batang, akar yang reput, atau dahan yang rapuh yang mungkin mengancam keselamatan mereka.
"Kalau tak pasti boleh hubungi saya di Facebook Wooden Ali, saya bersedia berkhidmat. Upah pemotongan mengikut keadaan pokok dan juga risiko yang perlu dihadapi," selorohnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram