Dadah jenis stimulan pilihan golongan profesional atasi tekanan kerja melampau — AADK


  • Primer
  • Rabu, 04 Sep 2024

Siti Mariam (Gambar kecil)mengakui terdapat peningkatan ketara bilangan golongan profesional yang terlibat dalam penagihan dadah.

AKSES bekalan dadah yang semakin meluas antara faktor utama dalam peningkatan kes penagihan bahan terlarang itu.

Malahan ia juga membuatkan golongan profesional tidak terlepas daripada risiko terjebak dalam gejala ini.

Pengarah Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Siti Mariam Mursidan mengakui terdapat peningkatan ketara bilangan golongan profesional yang terlibat dalam penagihan dadah.

BACA LAGI : Lebih 3 dekad berdendam, anak angkat 'mummy' kelab malam jadi hamba dadah sejak usia 10 tahun

BACA LAGI : Anak jadi runner dadah geng kongsi gelap, ibu sentiasa ketakutan di rumah

Katanya, peningkatan itu sekali gus menunjukkan bahawa masalah pengambilan bahan terlarang itu tidak lagi terhad kepada golongan yang tidak berpendidikan atau berpendapatan rendah.

450371116_892025319630748_4978515341816559190_n

Siti Mariam Mursidan

"Mereka sedar dadah itu berbahaya tetapi ramai golongan profesional ini sering berdepan kepada tekanan kerja yang melampau dan isu gaya hidup sehingga mendorong mereka mencari penyelesaian segera melalui penggunaan dadah.

"Pada masa sama, golongan profesional mungkin mempunyai akses kepada sumber kewangan dan rangkaian sosial membolehkan mereka memperoleh dadah dengan lebih mudah.

"Ini boleh menyukarkan usaha pengesanan awal dan intervensi serta peningkatan kadar penagihan dadah dalam kalangan golongan profesional sekali gus menunjukkan betapa kompleksnya isu ini," katanya dalam temu bual khas bersama Majoriti.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, kebanyakan klien yang mengambil dadah juga berdepan masalah anxiety (kebimbangan melampau).

"Ada segelintir pekerja yang nak tunjuk diri mereka bagus sehingga sanggup mengambil dadah terutamanya jenis stimulan atau perangsang.

"Ramai menggunakan dadah moden yang boleh memberi tenaga dan fokus untuk keyakinan diri termasuk ketika menyampaikan pembentangan kertas kerja," jelas beliau.

Stress

Ramai golongan profesional sering berdepan kepada tekanan kerja yang melampau dan isu gaya hidup sehingga mendorong mereka mencari penyelesaian segera melalui penggunaan dadah. — Gambar Hiasan/Agensi

Sehubungan itu, Siti Mariam berkata dengan langkah-langkah yang sesuai, termasuk pendidikan, sokongan psikososial, kerjasama antara agensi, dan penguatkuasaan undang-undang, masalah ini dapat dikurangkan secara berkesan.

Berdasarkan statistik yang disediakan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), terdapat peningkatan jumlah penagih dadah dalam kalangan golongan profesional di Malaysia bermula 2018 hingga 2023:

Statistik mengikut tahap pendidikan

Jumlah penagih yang berpendidikan ijazah, ijazah sarjana (master) atau ijazah kedoktoran (PhD) meningkat daripada 453 orang pada 2018 kepada 717 orang pada 2023.

Statistik mengikut kategori pekerjaan

Jumlah penagih yang bekerja sendiri meningkat daripada 6,752 orang pada 2018 kepada 36,627 orang pada 2023.

Jumlah penagih yang bekerja di sektor swasta juga meningkat daripada 23,433 orang pada 2018 kepada 37,923 orang pada 2023.

Ini menunjukkan golongan profesional yang berpendidikan tinggi dan bekerja sendiri atau di sektor swasta kini lebih terdedah kepada masalah penyalahgunaan dadah.

Faktor-faktor seperti tekanan kerja, akses kepada sumber kewangan dan perubahan gaya hidup mungkin menyumbang kepada peningkatan ini.

Sehubungan itu, langkah-langkah seperti pendidikan, sokongan psikososial, kerjasama antara agensi dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat perlu diambil untuk menangani isu ini secara berkesan dalam kalangan golongan profesional. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram