DI sebalik jeriji penjara yang dingin dan gelap, tersimpan 1,001 satu kisah kehidupan penghuninya. Sesekali terdengar jeritan memecah kesunyian malam.
"Diam atau kamu semua akan didenda," jerit warden penjara sambil mengetuk jeriji besi dengan cotanya.
Ketika itu semua terdiam menurut perintah. Suasana menjadi sunyi dan hanya lolongan anjing di sebalik tirai besi itu sahaja kedengaran, seolah-olah menggambarkan keperitan setiap penghuni penjara yang ingin bebas.
BACA LAGI: Wira tanpa suara: Anjing perang dan pengorbanan di sebalik misi menentang komunis
Bagi Suzaidy Sulaiman, meringkuk dalam penjara angkara dadah durjana memberi keinsafan buat dirinya untuk berubah menjadi yang lebih baik.
"Sejujurnya, saya rasa seperti terperangkap dalam kegelapan. Setiap hari adalah perjuangan.
"Kehidupan di penjara juga memaparkan sisi lain dari realiti. Dengan kebersihan yang kurang memuaskan dan keadaan ruang yang sesak, saya berasa terasing dan kesepian walaupun ada rakan senasib di sekeliling.
"Saya terputus (hubungan) daripada keluarga. Terbayang wajah ibu apabila saya tidak dapat berada di sisi dia. Rasa bersalah itu menghantui saya setiap hari," katanya kepada Majoriti.
Suzaidy Sulaiman
Pengalaman perit kali pertama itu bagaimanapun tidak menginsafkan anak jati Selangor berkenaan, usai keluar dari penjara, Suzaidy yang lebih mesra dengan panggilan Abang Long kembali semula ke 'dunia gelap'.
"Saya serik sekejap tetapi itulah, kalah dengan godaan. Saya kembali lagi menagih dadah. Heroin itu ibarat 'cinta hati' yang tidak boleh saya lepaskan pada ketika itu.
"Kalau diingatkan kembali, saya pernah masuk penjara sebanyak tiga kali dan pusat pemulihan serenti sebanyak tiga kali.
"Kali terakhir, saya masuk pusat serenti secara sukarela pada tahun 1999 di Pusat Serenti Besi, Kuala Lumpur yang ketika itu dikenali sebagai Pemulihan Rakan Sekelompok Amalan Dayajuang Abadi (PERSADA).
"Pada masa itulah, saya mula menjalani rawatan pemulihan. Alhamdulillah, sehingga kini saya masih bebas daripada dadah," ujarnya.
Menurut Abang Long, dia tekad untuk berubah selepas melihat ibunya semakin menua dan tidak mahu mensia-siakan hidupnya lagi dengan najis dadah.
"Alhamdulilah, selepas 30 tahun saya bebas daripada bahan terlarang itu walaupun pada mulanya agak sukar untuk saya berubah.
"ALLAH masih sayangkan saya, semua ini berlaku ada hikmah. Saya tahu saya tidak boleh kembali ke masa silam dan disebabkan itulah saya menubuhkan Diari Survivor Kepulihan (DSK) untuk membantu penagih seperti saya," ujarnya.
Abang Long kini bergiat aktif berkongsi pengalaman dan memberi motivasi kepada mereka yang masih terperangkap dalam ketagihan sebagai Pembimbing Rakan Sebaya AADK.
Menurut Abang Long, Diari Survivor Kepulihan (DSK) bukan sahaja membantu penagih dari segi spiritual tetapi turut membantu mereka mendapatkan pekerjaan demi kelangsungan hidup.
"Proses pemulihan adalah sepanjang hayat, selagi kita mengikuti jalan yang betul dan ada sistem sokongan.
"Bila bercerita mengenai sistem sokongan ini sebenarnya bukan pada keluarga sahaja tetapi orang sekeliling. Saya sendiri merupakan salah seorang Pembimbing Rakan Sebaya Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
"Kalau ada masa terluang saya akan memberi ceramah tentang bahaya dadah dan cuba membantu mereka yang memerlukan," ujarnya.
Pengalaman Abang Long bukan sekadar kisah peribadi, tetapi juga cerminan realiti yang dihadapi ramai penagih dadah di Malaysia.
"Perjuangan melawan ketagihan bukan mudah, malah penjara dan pusat pemulihan sering menjadi stesen sementara sebelum mereka kembali ke dunia gelap dadah.
"Sehubungan itu, saya berharap dengan berkongsi pengalaman dan memberi motivasi kepada mereka yang masih terperangkap dalam ketagihan akan memberi harapan kepada ramai lagi yang ingin keluar daripada kegelapan dunia dadah," ujarnya menutup bicara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram