[VIDEO] Bomba terpaksa guna jentera forklift kebumi jenazah lelaki seberat 300kg


  • Benua
  • Jumaat, 23 Jun 2023

Bomba terpaksa menggunakan jentera pengangkat forklift untuk memasukkannya ke dalam liang lahad. — Agensi

SEORANG lelaki yang mempunyai berat 300 kilogram (kg) dan menghidap komplikasi akibat obesiti melampau dilaporkan meninggal dunia di hospital Jakarta, Indonesia.

Muhammad Fajri, 27, meninggal dunia pada pukul 1.25 pagi (waktu tempatan) Khamis akibat jangkitan teruk di kaki selepas berat badan berlebihan dipercayai mengganggu metabolisme tubuhnya.

Proses pengebumian jenazah mengalami kesukaran kerana Jabatan Bomba dan Penyelamat Jakarta Pusat mengambil masa selama 30 minit untuk mengebumikan jenazah Fajri pada hari sama.

Menurut Komander Pasukan Bomba dan Penyelamat Jakarta Pusat Arfan Arif, pihaknya terpaksa menggunakan jentera pengangkat forklift untuk memindahkannya ke trak pikap dan membawanya ke tanah perkuburan Islam.

"Ini adalah kali pertama pihak kami menggunakan jentera tersebut untuk memindahkan jenazah seberat 300kg.

"Ketika mengebumikan jenazah, kami turut menggunakan jentera pengangkat forklift untuk memasukkan jenazah ke dalam liang lahad.

"Sembilan anggota dikerahkan dalam operasi tersebut," katanya.

Sebelum ini, Fajri dimasukkan hospital di bandar Tengerang pada 14 Jun lalu, sebelum dipindahkan ke hospital Jakarta.

Rakaman video jenazah Fajri dibawa ke hospital Tengerang menjadi tular di Indonesia selepas jentera pengangkat forklift terpaksa digunakan ketika acara pengebumian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram