‘Abang lori' antara 50,000 pengunjung serbu Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire di Kota Bharu


  • Hiburan
  • Rabu, 16 Okt 2024

Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire di Kota Bharu, Kelantan diserbu seramai 50 pemandu lori yang juga peminat setia DJ Lin.

JELAJAH Suria Kuasa 2 Yaya Empire di pekarangan AEON Kota Bharu, Kelantan mendapat sambutan hangat apabila dihadiri lebih 50,000 pengunjung pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Lebih menarik, seramai 50 pemandu lori turut hadir membuat kejutan sebagai tanda sokongan terhadap Suria FM khususnya Suria Cinta kendalian Roslinda Abd Majid atau lebih mesra disapa DJ Lin.

Kesemua mereka hadir membawa lori dihiasi lampu warna-warni yang turut mencuri tumpuan pengunjung di pusat beli-belah tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Idam 3 anak sebelum usia 30, Tya Arifin dedah pernah keguguran ketika bercuti di Turkiye

BACA LAGI: [VIDEO] Mencari Alasanmu dianggap lagu 'resign', mungkin ada kaitan isu peribadi Lukhman S — Ezad Lazim

Wakil pemandu Nik Ahmad berkata, kesemua mereka hadir sebagai pendengar setia Suria FM terutamanya DJ Lin.

"Kami semua memang pendengar Suria FM jadi bila kami tahu ada jelajah, kami hubungi pihak Yaya Empire untuk hadir sebagai sokongan.

"Syukur dapat jumpa sendiri dengan DJ Lin dan Puan Yaya yang sangat merendah diri dan sambut kita dengan baik," katanya.

6087157368396824257

DJ Lin (tengah) pada siri Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire di perkarangan AEON Kota Bharu, Kelantan.

Pengurus Besar Suria FM, DJ Lin berkata, dirinya terharu apabila dimaklumkan kumpulan pemandu lori itu hadir bagi memeriahkan jelajah yang diadakan.

"Tak sangka mereka sanggup hadir dengan membawa lori yang dihias cantik serta memeriahkan jelajah di Kota Bharu kali ini yang kali pertama diadakan.

"Kami di Suria FM juga terharu dengan sokongan diberikan malah mereka mengakui memang memutarkan Suria FM setiap kali memandu lori ke destinasi yang dituju," katanya.

Dijalankan serentak bersempena Hari Sukan Negara, kehadiran pengunjung difahamkan mencecah hampir 50,000 orang bagi kedua-dua hari jelajah diadakan pada Jumaat dan Sabtu lalu.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yaya Empire, Nadia Mat Isa menjadi buruan pengedar produk kecantikan sejak Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire berlangsung.

6087157368396824256

Lebih 50,000 pengunjung hadir pada Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire di perkarangan AEON Kota Bharu, Kelantan.

Dia yang mesra disapa Kak Ya berkongsi setiap hari menerima permintaan pengedar dari seluruh negara untuk tambahan stok kerana jualan cukup memberangsangkan.

"Terima kasih DJ Lin dan Suria FM kerana membantu jualan dan jenama kami sejak sertai jelajah ini dan setiap hari pengedar produk saya meminta stok tambahan.

"Alhamdulillah juga jualan keseluruhan mencecah lebih enam angka dan kami berjaya mendapat lebih 100 usahawan baharu produk Yaya Empire sepanjang jelajah diadakan," katanya.

Antara artis yang memeriahkan Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire di Kota Bharu ialah Poey Sting, Baggio Damasutra, Afieq Shazwan, Floor 88 dan Sri Budi Jati.

Pelbagai aktiviti dijalankan pada jelajah tersebut termasuk pertandingan sepak bola antara penyampai Suria FM, JBSK, Yaya Empire dan AEON, persembahan silat dan pertandingan nyanyian lagu Dialek Kelantan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari laman web Suria suria.my atau ikuti media sosial Suria Malaysia, Instagram: suriamalaysia l Facebook: @SuriaMalaysia l TikTok: @suriamalaysia l Youtube: SuriaTV l X: @suria_malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram