CINTA yang mendalam terhadap dunia kecantikan mendorong Farha Jainudin mengorak langkah untuk memulakan kariernya sebagai pereka fesyen pada usia 22 tahun.
Minatnya terhadap fesyen yang unik dan berbeza menjadi dorongan utama perjalannya dalam industri tersebut, bermula dengan menjahit tudung dan menambah sentuhan manik yang menjadi ciri khas karyanya.
Setelah hampir lapan tahun dalam industri, wanita berusia 29 tahun itu kini bukan hanya dikenali sebagai penjahit, tetapi juga sebagai seorang pereka fesyen yang berpengaruh.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Farha mendapat sokongan yang kuat daripada kedua ibu bapanya.
Mengenang kembali coretan kerjayanya, cerita Farha, perjalanan dalam bidang perniagaan bermula secara kecil-kecilan sewaktu dia masih bergelar penuntut di Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (KLIUC).
Dia mula berniaga sejak 2015 dengan menjual manik pada tudung dan hanya menjahit tanpa menggunakan mesin jahit.
"Saya selalu berminat dengan fesyen yang unik dan berbeza. Saya tak suka benda yang biasa atau terlalu komersial.
"Saya sebenarnya mula dengan menjual tudung yang dijahit sendiri. Kemudian, saya tambah manik pada tudung tersebut. Saya buat secara sampingan sahaja kerana ketika itu masih belajar," katanya kepada Majoriti.
Daripada hanya menjual tudung manik, wanita berasal dari Gombak, Selangor itu mula memberanikan diri dengan mengembangkan perniagaannya kepada menjual baju rekaannya sendiri bermodalkan wang simpanan sebanyak RM500.
Antara rekaan busana yang dihasilkan oleh Farha.
"Selepas menjual baju, saya mulai nampak hubung kait aliran ini dengan dunia perniagaan, jadi sewaktu itu saya memang aplikasikan apa yang dipelajari dengan kerja.
"Alhamdulillah jualan dapat sambutan. Saya kemudian aktif hasilkan koleksi raya dan mula buat rangkaian dengan pihak luar sama ada penggiat industri mahupun pelanggan," jelasnya.
Selepas tamat pengajian dalam bidang Diploma Reka Bentuk Fesyen dan Pakaian pada 2016, anak kedua daripada tiga beradik itu memutuskan untuk bekerja dengan orang terlebih dahulu bagi mengumpul pengalaman.
Selepas setahun, dia bersama rakan memberanikan diri untuk membuka perniagaan sendiri, dengan mengambil tempahan jahitan pukal terutamanya untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
"Kami kemudian mula fokus untuk mengambil tempahan busana perkahwinan, pertunangan dan pengapit pengantin," ujarnya.
Farha mengakui bahawa ibunya menjadi inspirasi utama di sebalik kerjayanya.
"Ibu memang minat menjahit sejak saya kecil. Saya belajar banyak daripada dia dan dia jugalah yang selalu memberi sokongan serta dorongan untuk saya menceburi bidang ini," tambahnya lagi.
Butik studio
Rasa minat yang mendalam mendorong Farha untuk mengembangkan perniagaannya sendiri.
Dengan modal permulaan sekitar RM30,000 dan bantuan kedua-dua ibu bapanya, Farha akhirnya berjaya membuka sebuah studio di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor pada 2018.
Wang tersebut digunakan untuk membeli mesin jahit baharu, rak pakaian, meja potong dan pelbagai peralatan lain untuk membina studio jahitannya sendiri.
Walaupun pemilik butik InRaffah itu mengakui banyak pelanggan dalam kalangan PKS, namun dia juga tidak melepaskan peluang untuk mengambil tempahan dari syarikat besar seperti Jakel dan Minaz.
Penglibatan Farha dalam industri juga berjaya menarik perhatian selebriti tempatan dan individu kenamaan.
Butik InRaffah turut mengambil tempahan busana perkahwinan, pertunangan dan pengapit pengantin.
Selain pernah menaja penyanyi, Siti Nordiana untuk sebuah rancangan televisyen pada 2016, rekaan busananya turut meraih minat kerabat Diraja Selangor, Tengku Loreta Tengku Ramli Alhaj.
Musim perayaan sama ada sambutan hari raya mahupun musim 'orang kahwin' sentiasa menjadi waktu sibuk bagi Farha dan pasukannya.
"Pernah satu tahun ketika musim raya, kami bekerja hampir 24 jam sehari untuk memenuhi permintaan pelanggan," katanya.
Beliau mendedahkan bahawa dalam sebulan sahaja, terutamanya semasa musim perayaan, jualannya boleh mencecah sehingga RM20,000.
Ragam pelanggan
Meskipun bisnesnya semakin berkembang, Farha masih menghadapi cabaran besar dalam menguruskan pelanggan yang datang dengan pelbagai ragam.
Kongsinya, dia pernah berdepan dengan pelanggan yang tidak berpuas hati dengan jahitan baju yang ditempah.
Enggan membesarkan perkara itu, Farha mengambil pendekatan untuk memberikan bayaran semula kepada pelanggan berkenaan.
"Saya tak ambil satu sen pun daripadanya, malah saya bayar semula kepada pelanggan tersebut.
"Meskipun tidak berpuas hati dengan hasil jahitan itu, dia tetap sahaja membawa pulang baju tersebut dan saya juga pernah lihat dia memakainya di sebuah majlis.
"Saya tidak tahulah motif dia berbuat demikian, tapi reda sahajalah. Perangai pelanggan ini ada macam-macam jenis," ceritanya yang menjadikan bapa tercinta sebagai idola dalam perniagaan.
Farha berhasrat untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai usahawan wanita yang berjaya.
Malah, Farha juga pernah memberi peluang kepada pelanggannya yang tidak dapat menyelesaikan bayaran secara penuh, untuk membayar secara ansuran.
Sifat pemurahnya bagaimanapun pernah dipersoalkan segelintir pelanggan, hingga ada yang beranggapan perniagaan wanita itu tidak akan maju dan berisiko muflis jika berterusan bersikap sedemikian.
Bagi Farha, kata-kata negatif itu sedikit pun tidak mematahkan semangat juangnya yang mendalam dalam dunia kecantikan dan bisnes.
"Ada saja yang saya kena tanya semula mereka sebab susah nak bayar. Ada saja pelanggan yang sampai sekarang tidak bayar. Saya reda jelah," katanya.
Wanita itu turut menyuarakan impian agar butik InRaffah akan mempunyai cawangan di setiap daerah bagi membantu memudahkan urusan pelanggan yang mahu mencari harga baju serta tempahan pukal yang mampu milik.
"Saya ada impian kecil. Kalau orang lain mungkin berimpian nak buka kilang, tetapi dalam lima tahun akan datang, saya berharap jenama Inraffah akan ada di setiap daerah," kongsinya.
Bagi Farha, dengan semangat dan ketekunan yang tinggi, dia mahu terus melangkah ke hadapan dalam industri fesyen tempatan, mengukuhkan kedudukannya sebagai usahawan wanita yang berjaya dan menjadi inspirasi kepada ramai yang lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram