VIDEO tular memaparkan gelagat seorang juruterbang di Mesir diam-diam menyambut ibunya di atas pesawat yang dalam perjalanan menuju ke Arab Saudi berjaya menyentuh hati warga maya.
Difahamkan pada waktu itu, si ibu dijadualkan berangkat untuk menunaikan ibadah haji.
Berdasarkan video yang dimuat naik di laman Twitter baru-baru ini, wanita tersebut kelihatan terkejut melihat susuk anak lelakinya berada di hadapannya, sebelum kedua-dua anak beranak itu saling berpelukan.
Pastinya ramai warganet yang tersentuh melihat keakraban mereka, apatah lagi jelas terpancar kegembiraan di wajah ibu itu sebaik menerima 'hadiah' yang tidak disangka-sangka.
Turut kelihatan, beberapa kru kabin membantu menyambut dan bersama-sama mengiringinya ke tempat duduk.
Menurut laporan media, pembantu juruterbang bernama Abdullah Muhammad Bahi yang bertugas di syarikat penerbangan, EgyptAir berkata, dia sebenarnya telah merancang kejutan tersebut terlebih dahulu.
Menceritakan kejadian berkenaan, dia pada awalnya menghantar ibunya ke lapangan terbang dan memberitahu bahawa dia akan menerbangkan pesawat ke Kuwait.
Dia juga meminta tolong rakan sekerjanya merakam detik istimewa itu untuk dikongsikan dalam media sosial miliknya.
Sementara itu, tular satu lagi video di Twitter menunjukkan seorang lelaki dilihat mengipas-ngipas wanita dipercayai ibunya menggunakan pakaian ihram di hadapan Masjidil Haram.
Rata-rata warganet turut tersentuh dengan perlakuan dan keikhlasan layanan yang diberikan oleh seorang anak kepada ibunya.
"Perlakuan ini sepatutnya memotivasikan kita untuk menyenangkan ibu bapa kita," ciap pengguna Twitter Quranconnect. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram